Saturday, 21 April 2012

0 Ringkasan Kisah Nabi Muhammad SAW bhg 3




Penghijrahan Beberapa Orang Islam Ke Habsyah

Peta Habsyah (credit to: sirahnabawiyyah.blogspot)
Penindasan oleh musyrikin Makkah semakin dahsyat pada pertengahan tahun ke-5 kenabian.  Orang-orang Islam mula berasa tidak selamat tinggal di Makkah.  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sangat memahami keadaan ini.  Pada saat itu, turunlah surah al-Kahfi yang menceritakan tentang 3 hal, iaitu tentang Ashabul-Kahfi, kisah antara Nabi Musa dengan Nabi Khidir dan kisah Zulkarnain.  Ketiga-tiga kisah ini memberikan jawapan kepada Baginda dalam berhadapan dengan situasi yang semakin sempit itu.
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam telah mengetahui tentang kisah seorang raja Habsyi yang adil bernama Ashamah al-Najashi.  Tidak ada seorang pun yang dizalimi olehnya.  Lalu Baginda sallAllahu `alaihi wasallam telah menyuruh sebahagian ummat Islam agar melarikan diri ke Habsyah untuk menyelamatkan diri.  Peristiwa ini berlaku pada bulan Rejab tahun ke-5 kenabian.  Kumpulan ini terdiri daripada 12 orang lelaki dan 4 orang wanita.  Mereka diketuai oleh `Uthman bin `Affan.  Ruqayyah, puteri Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam turut bersama di dalam kumpulan ini.  Di Habsyah, mereka mendapat tempat kediaman yang lebih baik.
Penindasan yang semakin berat oleh musyrikin Makkah telah membuat Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam mencadangkan agar sebahagian ummat Islam berhijrah ke Habsyah seperti kumpulan pertama.  Hijrah kali ini lebih sukar kerana musyrikin Makkah telah bersiap sedia lebih awal untuk menggagalkannya.  Namun, dengan izin ALLAH Ta’ala, mereka dapat juga meloloskan diri berhijrah ke Habsyah.  Kumpulan ke-2 ini lebih ramai, iaitu seramai 83 orang lelaki dan 28 orang wanita.

Wakil Quraisy ke Habsyah

Musyrikin Makkah tidak senang dengan kesenangan yang diperolehi oleh orang-orang islam di Habsyah.  Mereka telah menghantar 2 orang yang gagah dan pintar iaitu `Amru bin al-`As dan `Abdullah  bin Abi Rabi’ah (sebelum mereka berdua masuk Islam).  Mereka berdua telah diutuskan untuk bertemu dengan Raja Najashi dengan membawa pelbagai hadiah.
Ja’far bin Abu Talib yang menjadi jurucakap kepada kumpulan ummat Islam di Habsyah telah berdialog dengan Raja Najashi dengan penuh hikmah.  Hasilnya mereka telah mendapat perlindungan dan jaminan daripada Raja Najashi sehingga mereka digelar Shuyum oleh beliau.  Shuyum dalam bahasa Habsyah bererti orang-orang yang selamat.  `Amru bin al-`As dan `Abdullah  bin Abi Rabi’ah terpaksa balik dengan kecewa, malah dipulangkan balik hadiah-hadiah yang mereka bawa sebagai tanda ketidaksudian Raja Najashi.

Orang Quraisy Mengancam Abu Talib

Abu Talib yang merupakan bapa saudara Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam telah diberi kata dua oleh musyrikin Makkah, iaitu akan berlaku pertumpahan darah sekiranya dakwah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tidak dihentikan.  Ancaman itu sangat berat untuk ditanggung oleh Abu Talib lalu menyampaikannya kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjawab kepada Abu Talib, “Hai bapa saudaraku!  Demi ALLAH, jika mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, sehinggalah ALLAH menzahirkan kemenangannya atau aku terkorban di jalannya, nescaya aku tidak akan meninggalkannya”.  Kemudian Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menangis dan bangun.  Mendengarkan kata-kata Baginda, lantas Abu Talib memanggil Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang ingin beredar dan berkata, “Wahai anak saudaraku, katalah apa yang kamu suka, demi ALLAH, aku tidak akan menyerahkan engkau kepada sesiapa pun selama-lamanya.”
Melihat Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam terus berdakwah, maka tahulah musyrikin Makkah bahawa Abu Talib tetap memberikan perlindungan kepada Baginda.  Pujukan demi pujukan dan tawaran demi tawaran yang diberikan, Abu Talib tetap dengan keputusannya untuk melindungi anak saudaranya, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Tindakan Semakin Ganas Terhadap Rasulullah SAW

Dengan kegagalan untuk memujuk Abu Talib agar bekerjasama dengan pembesar Quraisy, perasaan benci mereka semakin meluap-lupa untuk membunuh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Mereka tekad dengan kebencian mereka.
Antaranya Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah di tarik baju dan diludah oleh `Utaybah bin Abu Lahab, tetapi ludahan itu tidak mengena muka mulia Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.  Pernah juga Baginda dipijak lehernya ketika sedang sujud oleh `Uqbah bin Abi Mu`ayyat.  Abu Jahal pernah mengangkat seketul batu yang besar untuk dihempap ke atas Baginda ketika sedang sujud.  Tetapi dia tidak meneruskan niatnya kerana ketakutan apabila terlihat seekor unta jantan yang sangat garang menghalangnya.  Abu Jahal juga pernah memukul Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dengan seketul batu hingga berdarah kepala Baginda.  Pernah juga Baginda dikepung dan dicekik oleh sekumpulan lelaki, namun diselamatkan oleh Abu Bakar as-Siddiq.

Hamzah dan Umar Al-Khattab RadhiAllahu ‘anhuma Memeluk Islam

Dalam keadaan yang genting di mana Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam selalu diancam akan keselamatan nyawanya, pada ketika itulah ALLAH Ta`ala telah mentaqdirkan 2 orang yang gagah perkasa serta digeruni oleh seluruh kaum Quraisy memeluk Islam.  Hamzah bin `Abd al-Muttalib radhiAllahu ‘anhu telah memluk Islam pada bulan Zulhijjah tahun ke-6 kenabian.  Manakala `Umar al-Khattab radhiAllahu `anhu telah memeluk Islam 3 hari selepas Hamzah radhiAllahu `anhu memeluk Islam.
Dengan keIslaman 2 individu ini, maka Islam telah dikuatkan.  Ummat Islam semakin berani untuk beribadah secara terang-terangan dan malah beribadah di sisi Ka`bah.  Mereka tidak takut lagi untuk berkumpul dan duduk berhalaqah di sekitar masjid dan untuk bertawaf di Ka`bah.  KeIslaman 2 individu ini memberikan keuntungan yang besar kepada perjuangan dakwah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Pembesar Quraisy Berdepan Dengan Rasulullah SAW

Setelah Hamzah bin `Abd al-Mutallib dan `Umar bin al-Khattab radhiAllahu `anhuma memeluk Islam, pembesar-pembesar Makkah mula mengambil pendekatan diplomasi dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.  Namun , semua itu tidak berjaya.  Tawaran-tawaran yang diberikan oleh musyrikin Makkah, antaranya oleh `Utbah bin Rabi’ah tidak diendah oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.  Jawapan yang diberikan oleh Baginda dengan membacakan ayat 1-5 dari surah Fussilat telah membuatkan `Utbah terdiam dan kaku.  Di dalam riwayat lain, dikatakan apabila Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sampai pada ayat ke-13 dari surah Fussilat, `Utbah merayu agar diberhentikan ayat itu kerana bimbang ancaman itu tertimpa kepada kaum musyrikin.

Melihat perkembangan yang terjadi terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, Abu Talib semakin risau dengan keselamatan anak saudaranya.  Kerana nampaknya penduduk Makkah semakin tekad dengan usaha jahat mereka untuk menghapuskan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan dakwah Baginda.  Dengan itu, Abu Talib telah mengumpulkan Bani Hashim dan Bani `Abd Al-Muttalib untuk mengajak agar diberi perlindungan kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Mereka bersetuju dengan cadangan Abu Talib atas dasar semangat kekeluargaan Arab.  Tetapi, Abu Lahab berkecuali.  Dia berpihak dengan kaum Quraisy yang lain.

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad…

0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

Blogger news

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates