Friday, 18 May 2012

0 Seseorang hamba baru dapat merasakan ...




“Ada tiga perkara, yang apabila ketiga-tiganya ada dalam diri seseorang, maka dia akan merasakan manisnya iman: 1) Orang yang mencintai Allah dan RasulNya melebihi segalanya. 2) Orang yang mencintai orang lain hanya kerana Allah, dan 3) Orang yang enggan kembali kafir setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran, sebagaimana dia enggan untuk dilemparkan ke dalam api neraka.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibnu Abi Jamrah berkata: “Bukhari meletakkan hadis ini dalam bab manisnya iman, kerana Allah menggambarkan iman atau kalimat tauhid bagaikan pohon yang baik. Pohon yang baik ini adalah ‘La ilaha Illallah’. Cabangnya adalah rukun Islam. Rantingnya ibadah fardhu dan sunat. Daunnya adalah perbuatan ketaatan. Buahnya adalah yang dihasilkan oleh orang yang taat kepada Allah. Rasa manisnya adalah setelah berterusan melaksanakannya.
Seperti yang dinyatakan dalam hadith di atas, ada tiga golongan yang mendapat atau merasakan manisnya iman:
1. Mencintai Allah dan RasulNya.
Dua persoalan yang mungkin timbul di benak pemikiran kita:
i) Bagaimana menimbulkan rasa cinta kepada Allah SWT?
Pertama: Seorang hamba hendaklah menjaga IBADAH-IBADAH WAJIB kerana ibadah ini merupakan kunci pertama dan jalan utama menuju Allah.
Muslim yang mendirikan solat secara berjemaah, sentiasa melaksanakan ibadah-ibadah lahiriah yang wajib secara sempurna rukun dan syaratnya, maka kita bersaksi bahawa mereka termasuk orang yang beriman. Namun untuk urusan batinnya, kita serahkan kepada Allah.
Sedangkan orang-orang yang tidak melaksanakan dan melalaikan kewajipan ini, maka kita bersaksi bahawa mereka termasuk orang yang derhaka dan fasik. Dan perkaranya akan dikembalikan kepada Allah SWT.
Oleh kerana itulah Allah berfirman dalam sebuah hadith qudsi: “Tak ada cara yang lebih Aku sukai dari hambaKu yang mendekatkan diri kepadaKu, dari ibadah yang Aku wajibkan kepadanya.” (Hadith riwayat Bukhari dan Ibnu Hibban)
Kedua: MEMBACA AL-QURAN dengan tadabbur, kerana Al-Quran itu merupakan kalam Allah di muka bumi.
Seorang Muslim tidak disyaratkan menghafal seluruh isi Al-Quran. Hafalan sedikit dan diamalkan, sudah dapat membuat seseorang dapat digolongkan di kalangan mereka yang bertakwa, insya Allah.
Ketiga: Sentiasa BERZIKIR kepada Allah kerana ia dapat mengusir syaitan, mendapatkan perlindungan dari Yang Maha Pemurah, taat, dan redha, dan jauh dari segala yang menyebabkan murkaNya.
Keempat: Sering melaksanakan IBADAH SUNAT seperti solat, puasa, sedekah dan sebagainya.
ii) Bagaimana menimbulkan rasa cinta kepada Rasulullah s.a.w.?
Pertama: Mengetahui hikmah diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. kepada kita kerana kita berada dalam zaman jahiliah atau kejahilan yang sesat. Allah SWT telah mengangkat panji Islam dan meninggikan harga diri masyarakat Arab ketika itu dengan kemuliaan Islam.
Kedua: Mengkaji sejarah hidup Rasulullah s.a.w. melalui Al-Quran, hadis, dan kutipan biografi kerana dengan pengkajian tersebut, akan timbul pengakuan bahawa baginda merupakan manusia paling mulia, paling agung, serta paling penyayang.
Ketiga: Menyedari bahawa ibadah hanya akan sempurna dengan mencinta Rasulullah s.a.w. Orang yang tidak menyempurnakan rasa kepada Rasulullah dan tidak mengikuti perilakunya, bererti ibadahnya tidak sempurna.
2. Mencintai seseorang hanya kerana Allah SWT.
Seseorang di sini maksudnya adalah seorang Muslim. Orang yang mentaati Allah, harus dicintai dan didekati.
“Sesungguhnya pada hari kiamat, Allah akan berseru: Di mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini aku akan menaunginya dalam naunganKu, hari yang tiada naungan selain naunganKu.” (Hadith riwayat Muslim, Ahmad dan ad-Darimi)
“Dua orang yang mencintai di jalan Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibnu Umar berkata: “Demi Allah, sekalipun aku berpuasa setiap hari dan tidak pernah berbuka, bangun malam untuk melaksanakan solat dan tidak tidur, dan menyumbangkan seluruh harta di jalan Allah, tetati aku tidak mencintai orang yang mentaati Allah dan tidak membenci orang yang suka berbuat maksiat kepadaNya, aku khuatir Allah akan menuangkan api neraka ke wajahku.”
Kewajipan seorang Muslim adalah mencintai dan mendekati orang soleh, bukan membenci mereka. Membenci mereka bererti kehancuran kerana membenci mereka sama dengan membenci sunnah. Akan tetapi, kalau membenci mereka kerana perilaku yang tidak bertepatan dengan Islam, seperti kasar, keras dan kejam, maka dibolehkan dengan syarat yang dibenci adalah sifatnya, bukan orangnya. Kewajipan kita adalah menasihati dan menerangkan kesalahan mereka kerana mereka semua adalah manusia yang kadang-kadang berbuat benar dan kadang-kadang berbuat salah.
3. Takut kembali menjadi kafir.
“Wahai Tuhan kami! Janganlah engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah ruah pemberianNya.” (Ali-Imran: 3:8)
Di setiap kesempatan, hendaklah setiap Muslim selalu mengucapkan:
“Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku dalam agamaMu.” (Hadith riwayat Tirmizi dan Ahmad)
Semoga dengan doa, konsisten dalam berusaha dan bertawakal dengan benar, Allah sudi menetapkan kita dalam keteguhan, dan tidak akan menyimpang selama-lamanya.
Salah satu faktor yang dapat membuat tergelincir atau kembali kafir, adalah kerana terlalu mencintai kerosakan dan selalu melakukan kerosakan. Allah SWT berfirman:
“Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasik – derhaka.” (As-Shaff: 5)
——————————————————————————————————————————————————
Seseorang hamba baru dapat merasakan manisnya iman, jika Allah memberinya taufik dengan disempurnakannya tiga perkara ini. Jika tiga perkara itu kurang sempurna dalam diri seseorang, maka manisnya iman yang dia rasakan juga berkurang.
Kita memohon kepada Allah agar dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang dapat merasakan manisnya iman di dunia dan juga akhirat, jadi marilah sama sama kita perbanyakkan mengingati ALLAH swt di dalam hati kita dengan zikrullah atau solat dengan ikhlas 




0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

Blogger news

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates