Tuesday 31 July 2012

0 kesan bagaimana yang kita mahu





PUASA adalah urusan peribadi seorang hamba dengan Allah. Begitu rahsia sifatnya kerana tiada siapa yang tahu apakah seseorang itu benar-benar berpuasa atau dia hanya berpura-pura. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Puasa juga berperanan membentuk kasih sayang dalam diri hamba kepada Allah. Ibadat yang istimewa itu berhasil mengajar kita mengenai rahsia ketundukan dan kesabaran di atas perintah-Nya.
Bukan senang mendapat pahala puasa yang dijanjikan Allah. Entah-entah ibadat puasa itu mungkin rosak oleh pengaruh persekitaran dipenuhi gangguan hawa nafsu yang bersekutu.
Ada beberapa tanda menunjukkan puasa seseorang itu cacat seperti dijelaskan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan dusta maka Allah tidak berhajat kepada usahanya meninggalkan makan dan minum (puasanya).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Mengapakah Allah amat membenci lidah yang suka bermaksiat sehingga memberi amaran kepada orang yang berpuasa dengan amaran begitu keras? Tidak dinafikan jenayah lisan bukan hanya menjadi penyebab rosaknya puasa, tetapi ia juga menjadi sumber kerosakan segala ibadat.
Jenayah lisan juga menjadi racun yang mematikan kasih sayang dalam pergaulan sesama insan, menyuburkan benih dendam dan kebencian dalam persaudaraan. Apabila manusia terdedah kepada bahaya fitnah, saling mencela, berprasangka buruk atau menghina secara terang-terangan maka akan rosaklah kehidupan yang asalnya aman dan damai.
Justeru, strategi paling berkesan bagi menghindari maksiat lisan sudah diajar Baginda SAW melalui penyaksian Ummul Mukminin Aisyah yang berkata:
“Sesungguhnya Rasulullah sentiasa berzikir kepada Allah setiap saat.” (Hadis riwayat Muslim)
Alangkah eloknya apabila kita boleh memujuk diri dan membulatkan tekad untuk sentiasa berzikir seperti mana amalan Baginda SAW.
Walaupun tujuan sebenarnya ialah untuk menghadirkan Allah pada setiap perbuatan, supaya lurus segala amal zahir dan batin, amalan zikrullah juga diyakini boleh menyibukkan lidah dan hati sehingga keduanya tidak berpeluang melakukan maksiat.
Zikrullah menjamin puasa yang sempurna, hati hidup dan jasad sentiasa bergerak untuk kebaikan.
Selepas memahami tanda puasa yang cacat dan ubat mujarab untuk mengubatinya, seharusnya kita juga menggali kefahaman mengenai tanda puasa yang sempurna iaitu:
Ikhlas beramal secara sembunyi dan terang-terangan.
Setiap mukmin yang beramal ada kalanya terpaksa menghadapi bisikan hati yang ragu-ragu terhadap amalannya itu. Bisikan itu memujuk supaya menyembunyikan amal daripada pandangan manusia sebagai syarat keikhlasan.
Padahal fitrah manusia suka kepada pergaulan, saling mempengaruhi dan berhubungan satu sama lain.
Maka tidak menjadi kesalahan melakukan amal secara terang yang dilakukan berjemaah atau di hadapan khalayak ramai. Amal yang terang di hadapan orang lain tidaklah kecil kedudukannya di samping amalan tersembunyi.
Kesan dari melakukan amal secara terang amatlah baik untuk persekitaran kita. Bukankah amal itu boleh menjadi teladan untuk diambil peringatan?
Nyata silapnya pandangan mengenai amal yang dilakukan dengan terang-terangan kononnya dapat merosakkan niat. Sedangkan hadis Rasulullah SAW menjelaskan yang mafhumnya:
“Sesiapa yang menunjukkan kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Tetapi hasutan syaitan tidak akan pernah menyerah untuk memperdaya manusia, dibisikkan ke dalam hati orang yang beramal secara terang-terangan itu mengenai bahaya riak supaya orang itu mengalami keraguan dan akhirnya langsung meninggalkan amal.
Cara ubati was-was yang dihembus syaitan seperti diterangkan al-Imam Fudail bin ‘Iyyad katanya: “Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riak. Beramal kerana manusia itu adalah syirik. Adapun ikhlas ialah Allah menyelamatkan kamu daripada keduanya.”
Reda dan gembira
Tanda puasa yang sempurna selain ikhlas kepada Allah ialah reda dan gembira. Tidak merasa berat melakukan ibadat bahkan merasa gembira dengan mengingat janji Allah kepada orang yang berpuasa.
Janji-janji Allah itu dikhabarkan Rasulullah SAW dalam hadis Baginda antaranya:
Pertama ialah pahala istimewa yang menjadi rahsia Allah disimpan untuk orang yang berpuasa. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Allah berfirman:
Puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Janji Allah yang kedua, diampun segala dosa seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa dengan keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ketiga, dijauhkan dari api neraka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidaklah seorang hamba yang mengerjakan puasa satu hari kerana Allah, melainkan Allah menjaga dirinya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun kerana puasanya yang sehari itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keempat, imbalan tunai dan kesihatan jasmani. Sebelum pakar kesihatan mengkaji dan menemukan manfaat puasa,
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Berpuasalah nescaya kamu akan sihat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kelima, doa yang tidak akan ditolak. Rasulullah SAW menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud:
“Tiga orang yang doanya tidak akan ditolak; pemimpin adil, orang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang teraniaya.” (Riwayat Ahmad, al-Nasai, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Keenam ialah masuk syurga melalui Bab al-Rayyan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang termasuk golongan orang mengerjakan sembahyang maka ia akan dipanggil dari pintu solat.
Barang siapa termasuk golongan orang melakukan jihad, maka ia akan dipanggil dari pintu jihad. Barang siapa termasuk golongan orang yang berpuasa maka dia akan dipanggil dari pintu al-Rayyan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Enam ganjaran tadi boleh menjadi pemacu ke arah kesempurnaan puasa. Saat menahan lapar dan dahaga, ketika menghidupkan malam dengan ibadat, membaca al-Quran pada siang hari, bersedekah, bekerja dan menuntut ilmu, ketika zikrullah tidak terlucut dari hati dan lisan, ingatlah enam ganjaran ini.
Puasa itu memberi kesan kepada keperibadian.
Selepas seseorang itu bersusah payah mengawal hawa nafsunya sepanjang Ramadan, tetapi ketika berakhirnya Ramadan dia kembali menjadi orang panas baran, tamak, rakus dan gelojoh maknanya puasanya itu tidak memberi kesan kepada keperibadiannya. Dia tidak mencapai matlamat ditetapkan al-Quran.
Hal ini dijelaskan firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.”
(Surah al-Baqarah, ayat 183)
Matlamat akhir ibadat puasa ialah mendapatkan bekalan takwa yang cukup untuk menjalani hari-hari seterusnya. Maknanya pada Syawal pun kita masih merasai nikmat beribadah seperti dirasai pada bulan Ramadan.
Tetapi ramai melepaskan pakaian takwanya ketika memasuki Syawal dan seterusnya tenggelam mengikut arus kecuali orang yang diberi cahaya petunjuk Allah.
Berhasilkah puasa membentuk keperibadian? Hal ini bergantung kepada sejauh mana kesungguhan seseorang menghiasi diri dengan pakaian takwanya atau dia mengganti pakaiannya itu dengan fesyen tidak diredai Tuhannya. Aduhai, alangkah ruginya manusia itu di dunia dan akhirat.
Amalan zikir jamin puasa sempurna, dorong diri sentiasa berusaha untuk kebaikan


0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates