Tuesday 30 December 2014

0 mohonlah taubat bukanya solat hajat



Dalam surah Al-Ankabut ayat ke-40, ALLAH SWT menjelaskan bahawa bala bencana yang ditimpakan ke atas manusia adalah disebabkan oleh dosa-dosa yang manusia lakukan sendiri. Allah tidak sesekali menzalimi mereka, tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan.
Maka apa jua bala bencana yang berlaku, sama ada kemarau, runtuhan, taufan, tsunami, penyakit dan sebagainya, manusia pertama sekali wajib beriman kepada perkara-perkara ghaib yang Allah tetapkan ini dan bermuhasabah bahawa ia terhasil dari dosa-dosa manusia. Di antara cara untuk mengangkat musibah yang ditimpakan ke atas manusia sama ada secara khusus atau umum adalah dengan beristighar dan bertaubat, yakni memohon keampunan daripada Allah serta kembali kepadaNya.
Rasulullah SAW adalah orang yang telah dijamin oleh ALLAH bahawa diampunkan dosa-dosa Baginda yang telah lalu dan akan datang melalui firmanNya, “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata, supaya Allah memberi ampunan bagimu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang, serta menyempurnakan nikmatNya ke atasmu dan menunjukkan kamu kepada jalan yang lurus.” (Surh Al-Fath: 1-2)
Imam Ibnu Katsir rahimahullah dalam kitab Tafsir Al-Quran Al-Adzim mengatakan, “Inilah kekhususan Nabi SAW yang tidak ada seorang pun yang menyamainya. Tidak ada dalam satu hadis sahih pun yang menceritakan tentang balasan amalan kepada selain Baginda SAW yang menyatakan bahawa dosanya yang telah lalu dan yang akan datang akan diampuni.
Inilah yang menunjukkan kemuliaan Baginda SAW dalam segala perkara ketaatan, kebaikan dan keistiqamahan yang tidak didapati oleh manusia selain Baginda, baik dari orang yang terdahulu mahupun orang yang kemudian. Bagindalah manusia yang paling sempurna secara mutlak dan Bagindalah pemimpin seluruh manusia di dunia dan Akhirat.”
Pun begitu, walaupun dosa-dosa Baginda semuanya telah dijamin diampuni oleh ALLAH, Baginda SAW adalah orang yang paling banyak beristighfar dan bertaubat kepada ALLAH pada setiap masa dan keadaan. Baginda bersabda, “Wahai sekalian manusia. Bertaubatlah (beristighfar) kepada Allah kerana aku selalu bertaubat kepadaNya dalam sehari sebanyak 100 kali.” (Riwayat Muslim)
Dari Ibnu Omar radhiyallahu ‘anhu, dia mengatakan bahawa jika kami menghitung zikir Rasulullah SAW dalam satu majlis, Baginda mengucapkan “Rabbighfirli wa tub ‘alayya innaka Anta Al-Tawwabu Al-Rahim” (Ertinya: Ya Allah ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang) sebanyak 100 kali. (Sahih, Riwayat Abu Daud, Silsilah Al-Sahihah)
ISTIGHFAR SEBAB DITURUNKAN HUJAN
Diriwayatkan dari Al-Sya’bi, dia berkata, “Omar bin Al Khatthab radhiyallahu ‘anhu suatu masa meminta diturunkan hujan, namun dia tidak membaca lebih dari sekadar istighfar sehingga dia kembali. Lalu ada yang berkata kepadanya, ”Kami tidak melihatmu meminta hujan.” Saidina Omar pun mengatakan, “Aku sudah meminta diturunkan hujan dari langit”.
Kemudian Omar membaca ayat, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat” (Surah Nuh: 10-11)
Omar lantas berkata, “Wahai kaumku, mintalah ampunan daripada Rabb kalian. Kemudian bertaubatlah kepadaNya, nescaya Dia akan menurunkan pada kalian hujan lebat dari langit.” (Riwayat Al Baihaqi 3/352)
Para Ulama Tafsir, antaranya Imam Ibnu Katsir rahimahullah ketika mentafsirkan ayat firman Allah “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan Dia akan membanyakkanmu dengan harta dan anak-anak, dan menjadikan bagimu kebun-kebun dan menjadikan bagimu sungai-sungai.”” (Nuh: 10-12) mengatakan bahawa di dalam ayat ini Allah memerintahkan manusia supaya kembali kepada Allah dan tinggalkanlah apa yang selama ini mereka lakukan serta bertaubatlah kepadaNya dengan segera, kerana sesungguhnya barang siapa bertaubat kepadaNya, pasti Allah akan menerimanya, walau sebanyak mana dan sebesar apa pun kekufuran dan kemusyrikan yang telah dikerjakannya.
Maksudnya, Allah akan menurunkan hujan lebat dan terus menerus dengan sebab istighfar tersebut. Oleh kerana itu juga, disunnahkan untuk membaca surah Nuh ini di dalam solat istisqa’ (solat meminta hujan).
Dan jika manusia kembali kepada Allah dan memohon ampunan kepadaNya serta mentaatiNya, nescaya Dia akan memperbanyakkan rezeki dan mencurahkan hujan dari langit untuk menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dari bumi, juga menumbuhkan pelbagai jenis tanaman, melipatgandakan susu ternak, serta melimpahkan harta dan juga anak.
Dalam ertikata lain, Allah akan memberikan harta kekayaan dan juga anak serta menjadikan kebun-kebun yang di dalamnya terdapat berbagai-bagai jenis buah-buahan, dialiri pula oleh sungai-sungai yang mengalir. (Tafsir Al-Quran Al-Adzim, Imam Ibnu Kathir)
ISTIGHFAR JALAN KELUAR PADA SETIAP KESUSAHAN
Adapun dalil dari Sunnah Rasul SAW yang menunjukkan keutamaan istighfar dalam mengeluarkan seseorang daripada kesusahan adalah sebuah hadis di mana Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang memperbanyakkan istighfar, nescaya Allah akan memberikan jalan keluar bagi setiap kesedihannya, kelapangan untuk setiap kesempitannya dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”  (Sahih, Riwayat Ahmad)
Terdapat juga sebuah atsar dari Imam Al-Hasan Al-Basri, seorang tabiin, tentang keutamaan istighfar yang luar biasa. Diriwayatkan bahawa pernah seseorang mengadu kepada Al-Hasan Al-Basri tentang musim kemarau yang terjadi. Imam Al-Hasan menasihatkan, “Beristighfarlah kepada Allah.” Kemudian orang lain mengadu lagi kepadanya tentang kemiskinannya. Lalu Al-Hasan menasihatkan, “Beristighfarlah kepada Allah.”
Kemudian orang lain mengeluh lagi kepadanya tentang kekeringan pada kebunnya. Lalu al-Hasan menasihatkan, “Beristighfarlah kepada Allah.” Kemudian datang lagi orang lain mengadu kepadanya kerana belum mempunyai anak. Al-Hasan menasihatkan, “Beristighfarlah kepada Allah.”
Kemudian Al-Hasan membaca ayat dalam surat Nuh, ayat 10-12, “Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan lebat kepadamu, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan menjadikan untukmu kebun-kebun dan mengadakan pula untukmu sungai-sungai.” (Fath Al-Baari, 11/98, Ibnu Hajr Al-Asqalani)
CARA ISTIGHFAR
Istighfar adalah doa dan doa adalah ibadah. Maka cara dan lafaz dalam beristighfar hendaklah sesuai dengan petunjuk sunnah Nabi SAW, iaitu yang ada contohnya dari Al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW. Antara lafaz istighfar yang datang dari Nabi SAW adalah, 1. Astaghfirullaah (Riwayat Muslim); 2. Astaghfirullaha Al-‘Azhim alladzi Laa ilaaha illa huwa Al-Hayyu Al-Qayyuum wa atuubu ilaih. (Sahih, Riwayat Al-Tirmizi)
Secara umumnya tidak ada hadis yang menghadkan atau menetapkan jumlah tertentu dalam mengucapkan istighfar, misalnya beberapa ribu atau puluh ribu. Yang ada, perbanyakkanlah istighfar pada bila-bila masa dan di mana kita berada tanpa dibatasi jumlah tertentu, kecuali jika memang ada hadis sahih dari Nabi SAW yang menetapkan sebegitu.
Marilah kita memperbanyakkan mengingati ALLAH SWT dengan kalimah tauhid ,selawat keatas Baginda Nabi SAW dan istigfar dengan penuh keikhlasan 
Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates