Saturday 22 December 2012

0 apa yang menjamin ?




Amalan zikir jamin puasa sempurna, dorong diri sentiasa berusaha untuk kebaikan
PUASA adalah urusan peribadi seorang hamba dengan Allah. Begitu rahsia sifatnya kerana tiada siapa yang tahu apakah seseorang itu benar-benar berpuasa atau dia hanya berpura-pura. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Puasa juga berperanan membentuk kasih sayang dalam diri hamba kepada Allah. Ibadat yang istimewa itu berhasil mengajar kita mengenai rahsia ketundukan dan kesabaran di atas perintah-Nya.
Bukan senang mendapat pahala puasa yang dijanjikan Allah. Entah-entah ibadat puasa itu mungkin rosak oleh pengaruh persekitaran dipenuhi gangguan hawa nafsu yang bersekutu.
Ada beberapa tanda menunjukkan puasa seseorang itu cacat seperti dijelaskan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan dusta maka Allah tidak berhajat kepada usahanya meninggalkan makan dan minum (puasanya).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Mengapakah Allah amat membenci lidah yang suka bermaksiat sehingga memberi amaran kepada orang yang berpuasa dengan amaran begitu keras? Tidak dinafikan jenayah lisan bukan hanya menjadi penyebab rosaknya puasa, tetapi ia juga menjadi sumber kerosakan segala ibadat.
Jenayah lisan juga menjadi racun yang mematikan kasih sayang dalam pergaulan sesama insan, menyuburkan benih dendam dan kebencian dalam persaudaraan. Apabila manusia terdedah kepada bahaya fitnah, saling mencela, berprasangka buruk atau menghina secara terang-terangan maka akan rosaklah kehidupan yang asalnya aman dan damai.
Justeru, strategi paling berkesan bagi menghindari maksiat lisan sudah diajar Baginda SAW melalui penyaksian Ummul Mukminin Aisyah yang berkata:
“Sesungguhnya Rasulullah sentiasa berzikir kepada Allah setiap saat.” (Hadis riwayat Muslim)
Alangkah eloknya apabila kita boleh memujuk diri dan membulatkan tekad untuk sentiasa berzikir seperti mana amalan Baginda SAW.
Walaupun tujuan sebenarnya ialah untuk menghadirkan Allah pada setiap perbuatan, supaya lurus segala amal zahir dan batin, amalan zikrullah juga diyakini boleh menyibukkan lidah dan hati sehingga keduanya tidak berpeluang melakukan maksiat.
Zikrullah menjamin puasa yang sempurna, hati hidup dan jasad sentiasa bergerak untuk kebaikan.
Selepas memahami tanda puasa yang cacat dan ubat mujarab untuk mengubatinya, seharusnya kita juga menggali kefahaman mengenai tanda puasa yang sempurna iaitu:
Ikhlas beramal secara sembunyi dan terang-terangan.
Setiap mukmin yang beramal ada kalanya terpaksa menghadapi bisikan hati yang ragu-ragu terhadap amalannya itu. Bisikan itu memujuk supaya menyembunyikan amal daripada pandangan manusia sebagai syarat keikhlasan.
Padahal fitrah manusia suka kepada pergaulan, saling mempengaruhi dan berhubungan satu sama lain.
Maka tidak menjadi kesalahan melakukan amal secara terang yang dilakukan berjemaah atau di hadapan khalayak ramai. Amal yang terang di hadapan orang lain tidaklah kecil kedudukannya di samping amalan tersembunyi.
Kesan dari melakukan amal secara terang amatlah baik untuk persekitaran kita. Bukankah amal itu boleh menjadi teladan untuk diambil peringatan?
Nyata silapnya pandangan mengenai amal yang dilakukan dengan terang-terangan kononnya dapat merosakkan niat. Sedangkan hadis Rasulullah SAW menjelaskan yang mafhumnya:
“Sesiapa yang menunjukkan kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Tetapi hasutan syaitan tidak akan pernah menyerah untuk memperdaya manusia, dibisikkan ke dalam hati orang yang beramal secara terang-terangan itu mengenai bahaya riak supaya orang itu mengalami keraguan dan akhirnya langsung meninggalkan amal.
Cara ubati was-was yang dihembus syaitan seperti diterangkan al-Imam Fudail bin ‘Iyyad katanya: “Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riak. Beramal kerana manusia itu adalah syirik. Adapun ikhlas ialah Allah menyelamatkan kamu daripada keduanya.”
Reda dan gembira
Tanda puasa yang sempurna selain ikhlas kepada Allah ialah reda dan gembira. Tidak merasa berat melakukan ibadat bahkan merasa gembira dengan mengingat janji Allah kepada orang yang berpuasa.
Janji-janji Allah itu dikhabarkan Rasulullah SAW dalam hadis Baginda antaranya:
Pertama ialah pahala istimewa yang menjadi rahsia Allah disimpan untuk orang yang berpuasa. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Allah berfirman:
Puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Janji Allah yang kedua, diampun segala dosa seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa dengan keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ketiga, dijauhkan dari api neraka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidaklah seorang hamba yang mengerjakan puasa satu hari kerana Allah, melainkan Allah menjaga dirinya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun kerana puasanya yang sehari itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keempat, imbalan tunai dan kesihatan jasmani. Sebelum pakar kesihatan mengkaji dan menemukan manfaat puasa,
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Berpuasalah nescaya kamu akan sihat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kelima, doa yang tidak akan ditolak. Rasulullah SAW menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud:
“Tiga orang yang doanya tidak akan ditolak; pemimpin adil, orang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang teraniaya.” (Riwayat Ahmad, al-Nasai, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Keenam ialah masuk syurga melalui Bab al-Rayyan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang termasuk golongan orang mengerjakan sembahyang maka ia akan dipanggil dari pintu solat.
Barang siapa termasuk golongan orang melakukan jihad, maka ia akan dipanggil dari pintu jihad. Barang siapa termasuk golongan orang yang berpuasa maka dia akan dipanggil dari pintu al-Rayyan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Enam ganjaran tadi boleh menjadi pemacu ke arah kesempurnaan puasa. Saat menahan lapar dan dahaga, ketika menghidupkan malam dengan ibadat, membaca al-Quran pada siang hari, bersedekah, bekerja dan menuntut ilmu, ketika zikrullah tidak terlucut dari hati dan lisan, ingatlah enam ganjaran ini.

Sunday 16 December 2012

0 periksa semula



hari ini 2 safar
bererti sudah masuk bulan dua dalam tahun hijrah
bagaimanakah pula dengan hijrah kita
adakah masih dengan perangai lama ?
yang banyak mengingkari perintah ALLAH dan RASUL
atau kita sudah mula berubah sedikit demi sedikit
untuk mentaati dan mematuhi segala perintah ALLAH dan RASUL dengan semampu yang mungkin

terus membaca

Thursday 13 December 2012

0 wujudkah perasaan takut ?




Orang yang tidak takut dengan Tuhan, dia akan mempertuhankan dirinya sendiri. Sekalipun mulutnya tidak membuat pengakuan. Sedangkan bersikap ketuanan pun satu kesalahan, betapalah bersikap ketuhanan tentulah lebih salah, kerana dia telah melakukan perbuatan syirik yang tersembunyi. – Abuya Sohibuzzaman
Orang yang tidak takut dengan Tuhan, ia akan mempertuhankan dirinya sendiri. Sekalipun mulutnya tidak membuat pengakuan. Sedangkan bersikap ketuanan pun satu kesalahan, betapalah bersikap ketuhanan tentulah lebih salah, kerana dia telah melakukan perbuatan syirik yang tersembunyi. Di dunia hari ini, orang menilai masalah tidak sama. Masalah yang dimaksudkan di sini ialah sesuatu yang orang tidak suka. Sesuatu yang menekan dan menyusahkan orang. Sesuatu yang menghimpit, yang membuatkan orang risau, bimbang dan susah hati. Kebanyakan masalah tidak disukai orang. Jadi, masalah yang tidak disukai oleh manusia itu dinilai tidak sama. Kadang-kadang masalah tidak dikatakan masalah. Manakala yang bukan masalah dikatakan masalah.
Pandangan orang secara umum hari ini, ada di antara masalah itu sangat ditakuti bahkan hendak dibanteras. Di antaranya ialah masalah kemiskinan, sakit atau kemunduran. Sedangkan pada Tuhan dan pada orang bertaqwa, sakit, miskin dan kemunduran bukan masalah. Tuhan tidak kata, siapa mundur berdosa atau masuk Neraka. Adakah Hadis atau ayat Al Quran yang mengatakan, “Siapa sakit masuk Neraka,” atau “Siapa sakit Tuhan benci?” Kalau tidak ada, itu menunjukkan ia bukan masalah.
Jadi kenapa manusia menganggap sesuatu yang Tuhan katakan bukan masalah itu sebagai satu masalah. Mengapa kebanyakan manusia sama ada pemimpin, ulama atau rakyat biasa menganggap perkara-perkara yang disebutkan tadi itu sebagai masalah. Malah apa yang menjadi masalahnya di sini ialah bilamana masalah yang bukan masalah itu dijadikan masalah, maka ia menimbulkan masalah yang lebih besar lagi. Jadi apakah masalah yang sebenarnya?
Apakah masalah yang paling besar? Siapakah yang boleh menjawab persoalan ini? Sebenarnya masalah yang paling besar ialah tidak takut Tuhan. Namun tidak pernah orang sebut bahawa masalah tidak takut Tuhan itu masalah yang paling besar. Walhal, masalah yang paling besar di dunia hari ini ialah orang tidak kenal dan tidak takut Tuhan.
marilah kita sama sama perbanyakkan mengingati ALLAH SWT ,samaada dengan zikrullah atau solat dengan ikhlas  agar kita tidak tergolong orang yang tidak takutkan ALLAH SWT 

Monday 10 December 2012

0 Pengabaian



23 Ramadhan 1431H. Masjid Rawwas, Kaherah. Solat Tahajjud. Imam Dr. Khaled Abu Shady khusyuk membacakan ayat-ayat suci al-Quran.  Pada suatu ketika tiba pada ayat 27-30, surah al-Furqan, yang bermaksud:

27. dan (ingatlah) pada hari orang-orang zalim menggigit kedua-dua tangannya (menyesali dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama Rasul.
28. "Wahai celakanya aku! Alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu (syaitan atau orang yang menyesatkannya di dunia) menjadi sahabat karib.
29. "Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan syaitan itu sentiasa mengecewakan (pengkhianat) manusia".
30. Dan berkatalah Rasul (Nabi Muhammad s.a.w): "Wahai Tuhanku. Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini diabaikan (satu panduan hidup yang ditinggalkan)".
(Al-Furqan: 27-30)


Ayat ke-30 diulang-ulang bacaannya oleh imam. Suara imam mula bercampur tangisan, menggambarkan hati yang khusyuk, faham dan sedar akan mesej ayat tersebut. Baginda Rasulullah s.a.w. mengadu kepada Allah s.w.t. tentang pengabaian terhadap Al-Quran. Suasana malam yang hening disapa angin keinsafan.

Peringatan yang menusuk jiwa. Tajam.   

‘Ibrah

Sesungguhnya ‘ibrah (pengajaran) pada ayat-ayat Allah turut diambil pada umum lafaz.
العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب
Pengajaran (diambil) pada umum lafaz, bukan sekadar khususnya sebab (penurunan ayat)

Pengabaian Terhadap Al-Quran

Al-Quran dan As-Sunnah itu menerangkan deen Islam. Prinsip-prinsip Islam.
As-Syahid Imam Hasan al-Banna menyatakan usul(prinsip) pertama dalam rukun bai’ah al-Fahmu :

Quote
Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang merangkumi semua aspek kehidupan.
Ia adalah daulah dan tanahair ataupun kerajaan dan umat.
Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan.
Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman.
Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan.
Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah.
Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.


Sejauh mana pengamalan al-Quran dalam kehidupan? Sejauh mana pengamalan prinsip-prinsip Islam dalam kehidupan?
Kita amati diri, keluarga, masyarakat dan ummah. Masih ada pengabaian.

Allah s.w.t memberi perintah dan amaran:
"Dan ikutlah sebaik-baik apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai pedoman hidup) dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.”
(Az-Zumar: 55)

Masih ada pengabaian. Buktinya, apa yang kita lihat pada hari ini. Pelanggaran larangan Allah, maksiat kepadaNya. Pengabaian solat, zakat dan puasa. Pakaian tidak menutup aurat dan tidak menepati syara'. Ikhtilat tidak syar’ie, khalwat, zina, rogol, rempit, curi, arak, judi, rokok, dadah, bunuh, homoseksual, murtad, pecah amanah, rasuah dan Al-Quran tidak diambil sebagai perlembagaan.

Allah s.w.t memberi perintah dan amaran:
Dan peliharalah diri kamu daripada bala bencana yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah sangat berat azab seksaNya.
(Al-Anfaal: 25)

Tindakan Kita

Kita beramal, mengambil pelajaran daripada Al-Quran, merawat jiwa.
Kita sebarkan peringatan, dakwah ilAllah.
Kita berjuang! Moga masyarakat dan tanahair kita, aman damai di bawah panji Islam dan Iman, dinaungi hidayah dan rahmah Allah s.w.t.

Firman Allah Ta’ala:
Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan penawar bagi penyakit dalam dada kamu, dan hidayah petunjuk (untuk keselamatan), serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.
(Yunus: 57)


Rintihan


Dan berkatalah Rasul (Nabi Muhammad s.a.w): "Wahai Tuhanku. Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini diabaikan (satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai)".
(Al-Furqan: 30)

Ayat ke-30 diulang-ulang bacaannya oleh imam. Suara imam mula bercampur tangisan, menggambarkan hati yang khusyuk, faham dan sedar akan mesej ayat tersebut. Baginda Rasulullah s.a.w. mengadu kepada Allah s.w.t. tentang pengabaian terhadap Al-Quran. Suasana malam yang hening disapa angin keinsafan.

sumber

jadi marilah kita sama sama mulakan sedikit demi sedikit menjinakkan diri kita dengan al quran 
membaca al quran dan terjemahannya 
menghayati makna makna ayat yang kita baca 
cuba mengamalkan di dalam kehidupan semampu yang mungkin daripada apa yang kita faham pada ayat yang dibaca 


Thursday 6 December 2012

0 Sukses Dalam Hidup ...




Dr. Kholid bin Abdul Karim Al-Lahim berkongsi di dalam bukunya Mafatih Tadabburil Qur’an wan Najah fil Hayah (Kunci Tadabbur Al-Qur’an & Sukses Dalam Hidup) 10 kunci untuk mentadabburi Al-Quran supaya ianya memberikan kesan yang mendalam terhadap kehidupan kita.
1. Hati yang cinta pada Al-Qur’an
Hati ada raja, dan alat untuk menghayati Al-Quran adalah hati, bukannya aqal. Sedangkan hati seringkali berbolak balik antara tarikan keimanan dan syaithan. Jika hati kita memang inginkan kepada Allah swt., signal-signal rabbani akan mudah untuk diterima walhal jika hati kita rosak akibat virus dunia, bagaimana mungkin signal-signal rabbani ini akan masuk dengan baik ?
  1. Hati yang cintakan kepada Al-Quran akan memiliki tanda-tanda berikut:
  2. Senang bertemu dengannya
  3. Duduk bersamanya dalam waktu yang panjang tanpa bosan
  4. Rindu padanya
  5. Banyak bermusyawarah dengannya, percaya penuh dengan bimbingan-bimbingannya, dan kembali padanya ketika ada masalah dalam kehidupan baik yang kecil maupun yang besar.
  6. Mentaatinya baik perintah maupun larangan.
Justru kita perlu senantiasa memohon kepada Allah agar diberikan hati yang jernih, hati yang hidup, hati yang sentiasa terawat dan dijaga. Antara doa yang di ajarkan adalah, “ Yaa Muqollibal Quluub Tsabbit Qolbii Alaa diiinik.”
2. Tujuan-tujuan membaca Al-Qur’an
Apakah tujuan anda membaca Al-Quran ? Untuk menghabiskan target tilawah ? atau kerana janji Allah terhadap 10 kebaikan pada setiap hurufnya ? atau kerana pelbagai yang lain kerana apa yang kita akan dapatkan daripada Al-Quran adalah sesuai dengan motivasi yang menolak kita untuk membacanya.
Justru kita akan mendapatkan manfaat yang lebih daripada Al-Quran apabila tujuan yang kita letakkan adalah untuk mendapat cahayanya yang akan memandu kita dalam menjalani kehidupan.
3. Berdiri sholat dengan membaca Al-Qur’an
Kita dianjurkan untuk melakukan proses tadabbur di dalam solat kerana sewaktu solat, kita dituntut untuk menghadirkan hati, mengkhusyu’kan jiwa dan memusatkan penumpuan kita sepenuhnya kepada Allah.
Allah Ta’ala berfirman :
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَى أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَاماً مَّحْمُوداً -الإسراء : 79 
“Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji”. (Surah Al-Isroo’:79)
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda :
لا حسد إلا في اثنتين رجل أتاه الله القرآن فهو يقوم به آناء الليل وآناء النهار ، ورجل آتاه الله مالا فهو ينفقه آناء الليل وآناء النهار. متفق عليه
“Tidak ada hasad kecuali pada dua orang; seseorang yang Allah anugerahkan Al-Qur’an kemudian dia berdiri membacanya sepanjang siang dan malam, dan seseorang yang Allah anugerahkan harta kemudian dia menginfaqkannya sepanjang siang dan malam”. (Muttafaqun ‘alaih)
4. Membacanya pada waktu malam
Al-Hasan bin Ali رضي الله عنه berkata : Sesungguhnya orang sebelum kalian melihat Al-Quran adalah surah-surah dari Rob mereka, maka mereka mentadabburinya pada waktu malam, dan mereka mencarinya pada waktu siang. (At-Tibyan Fi Adabi Hamalatil Qur’an, hal.29)
Inilah yang dikatakan fitrahnya. Allah swt. menciptakan malam untuk istirehat, baik istirehat fizikal mahupun jiwa. Kerana pada waktu malam, suasananya tenang, damai, bebas daripada kebisukan dan hingar bingar dunia dan akan membuatkan signal-signal rabbani mudah untuk masuk kepada penerimanya iaitu hati manusia.
5. Mengulang-ulang mengkhatamkan Al-Qur’an dalam seminggu atau sebagiannya
Ya, menjadi kewajipan bagi setiap ikhwan untuk mentargetkan khatam Al-Quran sekali dalam seminggu !
Di awalnya mungkin kita merasakan berat berbanding novel, cerpen dan facebook yang mampu kita berikan penumpuan lebih daripada sejam. Tetapi insyallah dengan latihan setahap demi setahap, kita mampu untuk melakukannya. Daripada 3 bulan sekali khatam, kepada 2 bulan dan seterusnya hingga semingu sekali khatam akan terasa mudah sekali.
Abdulloh bin Mas’ud berkata : Al-Qur’an janganlah dibaca kurang dari tiga hari, bacalah dalam tujuh hari, dan seseorang menjaga hizibnya.
An-Nawawi رحمه الله berkata : Pekerjaan kebanyakan kalangan salaf
6. Membacanya dengan hafalan
Apakah tujuang kita menghafaz Al-Quran ? Adakah sekadar menghafaz ayat-ayat tanpa mengambil sebarang manfaat darinya ? Sedangkan hak Al-Quran yang lebih utama untuk kita penuhi adalah menjaganya dan mengambil manfaat darinya sebagai cahaya yang menerangi kehidupan.
Dengan hafazan, ianya akan memudahkan bacaan tersebut untuk meresapi jiwa kita dan kita tidak disibukkan untuk membolak-balik mushaf dan hurufnya.
7. Mengulang-ulang ayat
Membaca dengan berulang kali penting untuk memastikan ayat-ayat Allah dapat meresap masuk ke dalam jiwa kita. Pengulangan akan membuatkan kita ingat, cuba untuk menikmati lafaz tersebut dengan lebih lama dan mampu melahirkan penghayatan yang lebih terhadap apa yang dibaca, baik sebuah kisah atau kalimah.
Inilah yang menjadi amalan Nabi saw dan generasi kemudiannya.
Abu Dzar رضي الله عنه berkata, Nabi صلى الله عليه وسلم berdiri dengan satu ayat dan beliau mengulang-ulangnya sampai shubuh :
إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ -المائدة : 118 
“Jika Engkau menyiksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah Al-Maidah: 118)
Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Al-Hakim, dan beliau menshohihkannya serta disepakati oleh Adz-Dzahabi, dan dihasankan oleh Al-Albani.
Al-Hasan Al-Bashri رحمه الله pada suatu malam mengulang-ngulang ayat berikut sampai shubuh :
وَإِن تَعُدُّواْ نِعْمَةَ اللّهِ لاَ تُحْصُوهَا إِنَّ اللّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ -النحل : 18 
“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah An-Nahl: 18)
8. Mengaitkan lafadz-lafadz dengan makna-makna
Supaya tadabbur lebih berkesan, perlu kita untuk mengaitkan setiap bacaan dengan realiti yang sedang kita hadapi. Dengan cara ini, kita dapat memastikan kehidupan kita selari dengan arahan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Quran hidup di dalam hati kita. Apatah lagi apabila kita mampu untuk mengaitkan setiap permasalahan dengan kitabullah, kerana nescaya dalam setiap permasalahan itu, selalunya Al-Quran ada penyelesaiannya.
9. Membaca dengan tartil
Jangan tergesa-gesa ketika membaca Al-Quran hanya kerana mahu mencapai target tilawah atau mengejar orang lain.
Firman Allah swt.,
وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً  
“Atau lebih dari seperdua itu. dan bacalah Al-Quran itu dengan tartil (perlahan-lahan)”. (Surah Al-Muzammil: 4)
Ibnu Katsir رحمه الله berkata : Bacalah dengan perlahan, sesungguhnya yang demikian itu akan membantu untuk memahami Al-Qur’an dan mentadabburinya.
Inilah kaedah bagaimana Rasulullah saw. membaca Al-Quran. Aisyah radiyallhu’anha berkata, “Beliau (Nabi saw.) membaca Al-Quran dengan tartil seolah-olah menjadi surah terpanjang.”
10. Membaca dengan keras
Bacalah dengan suara yang keras, kerana ia akan lebih membantu untuk memberikan penumpuan dan perhatian.
Dari Abu Hurairah رضي الله عنه , Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda :
عن أبي هريرة رضي الله عنه : قال النبي صلى الله عليه وسلم : “ليس منا من لم يتغن بالقرآن يجهر به”. رواه البخاري
“Bukanlah sebahagian daripada golongan kami orang yang tidak melagukan Al-Qur’an dan mengeraskannya”. (Hadis Riwayat Al-Bukhori)

Saturday 1 December 2012

0 bagaimana disiplin etika dan tata tertib



Disiplin itu maknanya etika atau tata tertib, dari segi syariat kita panggil Adab atau Akhlak dan dari sudut bahasa Melayu kita sebut Seni. Kita boleh gunakan ketiga-tiga bahasa ini. Disiplin atau Adab atau Seni ada 2 bahagian, ada jasad, ada roh, ada luar ada dalam (ada lahir ada batin) ada fizikal, ada Spiritual. Kalau di luar kita boleh nampak disiplin atau seni atau adabnya, macam mana pula yang dalam? Yang luar ini ramai yang boleh berlakon.

Disiplin dalam atau batin atau spritual ini terbahagi kepada 3 bahagian juga iaitu:
Disiplin Hati, Disiplin Akal dan Disiplin Nafsu.

DISIPLIN HATI

Hati adalah tempat untuk rasa bertuhan, rasa kasih sayang, rasa pemurah, rasa takut, rasa gerun, rasa cemas dan ribuan lagi rasa.terlalu banyak rasa. Hati sangat sensitif, sangat seni dan di situ jugalah kita sebut "Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih". Hatilah yang mencorakkan kehidupan manusia.

Rasulullah SAW ada menyebut, "Dalam diri manusia ada seketul daging, kalau baik daging itu baiklah seluruh kehidupan manusia, kalau jahat maka jahatlah kehidupan manusia itu, ketahuilah kamu itulah hati". Kalau seorang itu, lahirnya jahat maka jahatlah hatinya. Mengapa seorang itu jadi jahat, mestilah ada sebabnya.

Bagaimana nak mendisiplinkan hati?

1. Cara yang pertama ialah kita kenalah menajamkan Rasa Bertuhan. Apabila manusia ada rasa bertuhan, ia tidak mudah putus asa atau kecewa walaupun orang kafir, cuma lebih elok kalau dia beriman. Untuk ada rasa bertuhan kita mesti kenal Tuhan. Kalau kita tak kenal Tuhan tetapi lebih kenal kuman, batu, kayu katak dll, ini dah kira parah. Macam mana nak kenal dan percaya Tuhan? Kena belajarlah. Kita kena percaya Rukun Iman yang 6 tanpa dicelah oleh jahil, syak, zan dan waham. Orang yang digelar beriman ialah orang yang percaya dan yakin 100%. 

Jahil maksudnya golongan tak tahu atau tak berilmu tentang hal-hal iman.

Syak pula golongan yang percaya dan yakin 50%, tak yakin 50%. Akhirat ini ada ke tidak? Kalau tak ada macam mana? Kita bahas ikut logik akal, bukankah elok kita buat baik di tengah manusia dan tak rugi juga sekiranya Akhirat itu tak ada. Kita mesti yakin Akhirat itu ada, dan kita juga selalu berdoa minta kebaikan untuk dunia dan akhirat. Kalau betul-betul Akhirat itu ada kita tak rugi sebab kita dah berbuat. Kita tak buat baik sebab kita rasa Akhirat itu tak ada, kemudian Akhirat itu betul-betul ada, kan kita dah rugi dan tak boleh balik ke dunia untuk buat baik lagi!

Zan pula golongan yang percaya 75%, tak yakin 25%.. dia percaya semua rukun Iman cuma dia tak yakin tentang qadak dan qadar, dia tak yakin tentang rezeki, takut masa depan yang susah, takut sakit hingga kena beli insuran dan sebagainya.

Waham pula golongan percaya 25%, tak yakin 75%. upacara nikah kahwin, kematian, naik haji, sembahyang sunat hari raya itu semua dia percaya. Tetapi dia berpendapat orang sembahyang ke tak sembahyang semua sama sahaja, tak sembahyang pun tak apa, entah Tuhan ada ke tidak!

Rukun Iman ada 6:
- Percaya kepada Allah. kita kena belajar ilmu ketuhanan, ilmu rasa namanya.
- Percaya adanya Malaikat, tentera-tentera Allah yang kita tak nampak tetapi ada. Musnah iman kita kalau kita tak percaya.
- Percaya kpd Kitab-kitab Allah
- Percaya kpd Nabi dan Rasul-Rasul dan menjadikan mereka idola dan suri tauladan kita. Kalau kita nak berjuang menegakkan kalimah Allah kenalah kita ikut mereka.
- Percaya kpd hari Kiamat. Kalau tak adalah hari Kiamat seperti yang disebutkan Tuhan sudah tentu beruntunglah orang-orang yang buat jahat di dunia ini.
- Percaya kpd Qadak dan qadar Allah.

2. Cara yg kedua untuk mendisiplinkan hati ialah menebalkan rasa kehambaan kita. Selagi kita tak kenal kita ini hamba Allah selagi itulah kita tak mempunyai disiplin hati. Kalau kita tak rasa yang kita ini hamba sudah tentulah kita ini rasa kita ini Tuhan. ini merbahaya. Untuk merasakan kita ini hamba kenalah selalu merintih kepada Allah, mengaku yang kita selalu buat silap. Walaupun kita tak buat silap, tetapi sebagai seorang hamba kita kena faham yang Allah suka mendengar hambanya merintih.

Sebagai manusia sememangnya kita tak lepas dengan sifat lalai dari mengingati Allah dan tak terlepas dari dosa maka cepat-cepatlah kita bertaubat dan minta ampun dari Allah. Sekiranya kita tak ada sifat hamba segala yang kita buat di dunia ini kita rasa yang kita yang punya, kita rasa kita yang memiliki. Seorang manusia yang sedar dirinya hamba, dia berasa tidak memiliki apa-apa pun tanpa keizinan Allah. kalau Allah tak jadikan dia manalah dia boleh hidup, oksigen
yang Allah beri secara percuma untuk bernafas pun kalau Allah tarik matilah kita.

3. Cara yang ketiga untuk mendisiplinkan hati ialah dengan menyucikan atau menghilangkan rasa cinta dunia. Dunia itu banyaklah, ada yang dapat, ada yang tak dapat dan ada yang terlepas. Cinta Allah itu adalah ibu segala kebaikan. Cinta dunia adalah ibu segala kejahatan.

4. Cara yang keempat pula ialah dengan memindahkan rasa bertuhan, rasa kehambaan ke dalam hati kita. Macam mana caranya? Katalah semasa kita
sembahyang segala perbuatan yang kita lakukan adalah yang fizikal yang kena kita jaga disiplinnya juga, tetapi yang penting adalah apa yang kita rasa di dalam hati kita.

Macam mana kita nak hubungkan hati kita dengan Tuhan sewaktu itu sebab Tuhan itu bukan berketul dan tak boleh juga kita bayangkan Tuhan itu hijau atau kuning. itu semua tak boleh. Maknanya hati sewaktu sembahyang kena berdisiplin iaitu sentiasa ingat Tuhan. Ingat Tuhan itu bermacam-macam bentuk pula. ada rasa takut, sayu, sedih, rindu, malu dan bermacam-macam rasa lagi. Rasa-rasa ini sentiasa berpindah-pindah dan berubah. Macam warna langit yang sentiasa bertukar warna. kejap biru, kejap hijau, kejap kuning. Jadi sentiasalah hati itu tidak terlalai dari mengingati Allah, itulah dikatakan disiplin. Ini memang susah nak dibuat.

Katalah kita nak masukkan rasa malu di hati kita, cuba kita bayangkan segala nikmat Tuhan dalam diri, nikmat Tuhan diluar diri kita. Dia bagi kita semua anggota yang bermacam-macam, kita tak payah bayar pun. Allah beri kita rumah, isteri dan anak-anak, kereta dan bermacam-macam lagi. cuba kita tanya ini semua siapa yang punya, siapa yang bagi? Malu tak kalau hari-hari ada orang yang beri kita $10 setiap hari tanpa kita buat apa-apa. sekali dua boleh lagi tetapi kalau lebih 10 kali tentu kita naik malu. Nikmat oksigen juga dah cukup untuk membuat kita rasa malu dengan Allah. Jadi dalam nak mendisiplinkan hati kenalah dalam bentuk rasa dan pada peringkat permulaan kenalah kita menghitung-hitung.

Macam mana pula kita nak masukkan rasa takut di dalam hati kita? Allah boleh matikan dan hidupkan kita, Dia juga boleh sakitkan kita, Allah boleh miskinkan kita, macam-macam Allah boleh buat.

Rasa cemas macam mana pula? Sembahyang yang kita buat, segala ibadah
yang kita buat banyak-banyak itu adakah betul semua itu Allah terima? Adakah Allah terima taubat kita? Dosa kita dengan Allah adakah sudah diampun? Sebagai hamba Allah yang beriman kita yakin dengan sifat Allah yang Maha Pengampun, maka kita kena yakin Allah akan ampunkan dosa-dosa kita tetapi kita juga yakin dengan sifat Qahhar dan Jabbar Tuhan yang membuat kita rasa cemas dengan hukuman Tuhan.

Inilah ada-adab atau disiplin atau seni-seni hati yang kita perlu
perolehi.

wallahu a'lam, segala yang baik dariNya, dan segala yang tidak baik
adalah dari kesilapan aku sendiri... semoga mendapat manfaat...

sumber
Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates