Showing posts with label rasa takut. Show all posts
Showing posts with label rasa takut. Show all posts

Thursday, 13 December 2012

0 wujudkah perasaan takut ?




Orang yang tidak takut dengan Tuhan, dia akan mempertuhankan dirinya sendiri. Sekalipun mulutnya tidak membuat pengakuan. Sedangkan bersikap ketuanan pun satu kesalahan, betapalah bersikap ketuhanan tentulah lebih salah, kerana dia telah melakukan perbuatan syirik yang tersembunyi. – Abuya Sohibuzzaman
Orang yang tidak takut dengan Tuhan, ia akan mempertuhankan dirinya sendiri. Sekalipun mulutnya tidak membuat pengakuan. Sedangkan bersikap ketuanan pun satu kesalahan, betapalah bersikap ketuhanan tentulah lebih salah, kerana dia telah melakukan perbuatan syirik yang tersembunyi. Di dunia hari ini, orang menilai masalah tidak sama. Masalah yang dimaksudkan di sini ialah sesuatu yang orang tidak suka. Sesuatu yang menekan dan menyusahkan orang. Sesuatu yang menghimpit, yang membuatkan orang risau, bimbang dan susah hati. Kebanyakan masalah tidak disukai orang. Jadi, masalah yang tidak disukai oleh manusia itu dinilai tidak sama. Kadang-kadang masalah tidak dikatakan masalah. Manakala yang bukan masalah dikatakan masalah.
Pandangan orang secara umum hari ini, ada di antara masalah itu sangat ditakuti bahkan hendak dibanteras. Di antaranya ialah masalah kemiskinan, sakit atau kemunduran. Sedangkan pada Tuhan dan pada orang bertaqwa, sakit, miskin dan kemunduran bukan masalah. Tuhan tidak kata, siapa mundur berdosa atau masuk Neraka. Adakah Hadis atau ayat Al Quran yang mengatakan, “Siapa sakit masuk Neraka,” atau “Siapa sakit Tuhan benci?” Kalau tidak ada, itu menunjukkan ia bukan masalah.
Jadi kenapa manusia menganggap sesuatu yang Tuhan katakan bukan masalah itu sebagai satu masalah. Mengapa kebanyakan manusia sama ada pemimpin, ulama atau rakyat biasa menganggap perkara-perkara yang disebutkan tadi itu sebagai masalah. Malah apa yang menjadi masalahnya di sini ialah bilamana masalah yang bukan masalah itu dijadikan masalah, maka ia menimbulkan masalah yang lebih besar lagi. Jadi apakah masalah yang sebenarnya?
Apakah masalah yang paling besar? Siapakah yang boleh menjawab persoalan ini? Sebenarnya masalah yang paling besar ialah tidak takut Tuhan. Namun tidak pernah orang sebut bahawa masalah tidak takut Tuhan itu masalah yang paling besar. Walhal, masalah yang paling besar di dunia hari ini ialah orang tidak kenal dan tidak takut Tuhan.
marilah kita sama sama perbanyakkan mengingati ALLAH SWT ,samaada dengan zikrullah atau solat dengan ikhlas  agar kita tidak tergolong orang yang tidak takutkan ALLAH SWT 

Tuesday, 27 November 2012

0 mesti dibendung agar tidak terus malap



MAKSIAT memiliki pengaruh bahaya dan buruk bagi hati serta fizikal manusia. 

Antara pengaruh buruk serta bahaya dosa, ia akan memadamkan cahaya ilmu yang dikurniakan Allah dalam hati. Imam Malik pernah mengagumi kecerdasan Imam Syafie yang masih muda, memiliki ketajaman otak dan kesempurnaan pemahaman. 

Imam Malik berkata: “Aku melihat Allah meletak cahaya dalam hatimu, kerana itu jangan kamu padamkan dengan kegelapan maksiat.” 

Sementara itu, Imam Syafie pernah menceritakan pengalaman peribadinya dalam bait syair; Saya mengadu pada guru Waqi’ mengenai mutu hafalanku yang buruk, maka ia mengarahkan supaya aku meninggalkan maksiat. Ia berkata, “Ketahuilah ilmu adalah kemuliaan dan kemuliaan Allah tidak diberikan kepada ahli maksiat.” 

Rezeki tidak lancar 
Dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan.” 

Seperti ketakwaan kepada Allah mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat akan mendatangkan kekafiran. 

Keterasingan antara Allah 
Seorang yang melakukan maksiat akan menemukan perasaan terasing antara dirinya dan Allah dalam hatinya. Keterasingan ini tidak boleh diganti dan dinilai dengan kenikmatan apa pun. Andainya semua kelazatan di dunia disatukan, maka tetap tidak boleh mengubati perasaan keterasingan itu. Perasaan itu hanya ada pada hati yang hidup, sementara hati mati tidak mempunyai perasaan itu. 

Ada seorang lelaki mengadu perasaan keterasingan pada dirinya kepada ahli makrifat lalu dijawab: “Jika kamu menemukan keterasingan dalam dirinya kerana berbuat dosa, segeralah tinggalkan dosa itu dan temui ketenteraman hati dalam berbuat taat. Ketahuilah, tidak ada hati yang rasakan keterasingan kecuali kerana dosa.” 

Keterasingan antara manusia 
 Perasaan terasing bukan hanya terjadi dengan Allah tetapi juga manusia terutama dengan mereka yang melakukan kebaikan. 

Allah akan menyulitkan urusannya 
Orang yang melakukan maksiat akan selalu menemui jalan buntu pada setiap urusannya. Orang yang bertakwa kepada Allah akan menemui kemudahan pada urusannya sebaliknya mereka yang jauh daripada takwa disulitkan urusannya. 

Kegelapan dalam hati 
Kegelapan itu nyata dalam hatinya seperti melihat dan berasakan gelapnya malam. Ini kerana ketaatan adalah cahaya sementara maksiat adalah kegelapan. Semakin kuat kegelapan dalam hati maka seseorang itu terus dalam kebingungan. Akibatnya ia terjatuh dalam kesesatan dan hal yang menghancurkan tanpa disedari. 

Maksiat melemahkan kekuatan hati 
Maksiat melemahkan hati dan kelemahan fizikal disebabkan lemahnya hati. Semakin kuat hatinya, semakin kuat fizikalnya. Ahli maksiat, meskipun fizikalnya kuat tetapi apabila diperlukan dan dalam keadaan terdesak, kekuatan fizikal mereka tidak berdaya. 

Renungkan bagaimana kekuatan fizikal kaum Rom dan Parsi yang mengkhianati mereka ketika memerlukannya hingga dengan mudah orang beriman menakluki kekuatan fizikal dan hati mereka. 

Malas mengerjakan ibadat 
Orang yang melakukan maksiat akan malas melaksanakan amal ibadat. Sedangkan setiap bentuk ketaatan kepada Allah nilainya melebihi dunia dan segala isinya. 

Terbiasa berbuat dosa 
Maksiat melunturkan persepsi buruk mengenai dosa dalam hati seseorang. Ertinya, dia tidak akan berasa bahawa dosa yang dilakukan adalah perbuatan buruk. Akibatnya, dosa menjadi sebahagian daripada kebiasaan. Keadaan ini membahayakan diri sendiri. 

Walaupun dilihat dan dicerca, dia tidak rasakan dirinya terhina. Perasaan seperti itu adalah kesenangan dan kenikmatan daripada pelaku maksiat. Bahkan, ada yang bangga menceritakan maksiat yang dilakukan. 

Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan dimaafkan oleh Allah kecuali muhajirun (yang terang-terangan berbuat maksiat. Termasuk mujaharah adalah ketika Allah menutupi seseorang berbuat maksiat, tapi pagi harinya ia membuka aibnya sendiri. Ia mengatakan, “Hai teman, semalam aku melakukan ini dan itu.” Dia merobek kehormatannya sendiri ketika Allah menutupnya.” 
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

marilah kita sama-sama perbanyakkan mengingati ALLAH SWT di dalam hati 
dengan zikrullah atau solat dengan ikhlas 
semoga kita diberi kekuatan dapat mentaati dan mematuhi segala perintah ALLAH dan RASUL 
inshaallah ...

sumber

Friday, 16 November 2012

0 renungan bersama di awal tahun 1434



Ibnu Abbas memberitahu, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Pada akhir zaman nanti akan muncul golongan-golongan manusia yang berwajah manusia berhati syaitan. Mereka diibaratkan seperti serigala buas, hati mereka tidak mempunyai sedikit pun belas kasihan. Mereka tidak suka menjauhi segala yang buruk dan mereka lebih suka melakukan pertumpahan darah. Kalau engkau ikut mereka, mereka akan mendekati kamu, kalau engkau jauhi mereka, maka mereka akan mengumpat kamu. Kalau engkau memberi amanat kepada mereka, mereka akan melakukan khianat padamu".

"Kalau meminta sesuatu dari mereka adalah kemiskinan. Hukum di kalangan mereka adalah bid"ah dan bid"ah di kalangan mereka adalah sunnah dan tatkala itu orang menganggap sunnahku sudah usang dan memperbaharui bid"ah. Maka barangsiapa mengikut sunnahku pada waktu itu, dia akan menjadi asing dan tinggal seorang diri dan barangsiapa mengikut bid"ah, dia akan mendapat lima puluh orang teman atau lebih".

Para sahabat bertanya, "Apakah mereka melihatmu Jawab Nabi, "Tidak"

Para sahabat bertanya lagi, "Apakah turun wahyu kepada mereka?" Nabi menjawab, "Tidak"

Para sahabat bertanya lagi, "Bagaimana keadaan mereka?" Jawab Nabi, "Seperti ulat dalam cuka".

Para sahabat bertanya lagi, "Ya Rasulullah, bagaimana mereka menjaga agama?"

Jawab Nabi, "Seperti bara api di tangan. Kalau diletak dia akan padam dan kalau diambil dengan tangan dia akan terbakar".

marilah kita perbanyakkan mengingati ALLAH SWT di dalam hati 
dengan zikrullah atau solat dengan ikhlas 
mudah-mudahan kita dapat sentiasa selaraskan kehendak kita 
mengikut kehendak ALLAH SWT dan RASUL

Tuesday, 2 October 2012

0 ANCAMAN [wajib baca]



jam menunjukkan pukul 7.00 petang
tetapi aku tetap meneruskan juga tugasan aku kerana hanya tinggal sedikit sahaja lagi untuk disiapkan
padahal waktu magrib akan masuk hanya beberapa minit saja lagi
pada waktu itu aku beranggapan bahawa tanggungjawab kerja adalah segala-galanya mengatasi panggilan ALLAH SWT
dalam masa yang sama hati kecil aku sedikt demi sedikit sudah membuahkan bibit-bibit riak
kerana waktu magrib pun teruskan juga kerja (rajin la kunun)
pasti kerani aku akan melihat klaim 'over time' nanti
dan aku bertanggapan mesti mereka berkata "rajin la dia ni ,magrib-magrib pun kerja juga"
malah aku merasa sangat bangga apabila tugasan aku siap
padahal dah mula masuk waktu isya

begitu juga apabila aku dirundung masalah
aku bukannya mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dengan mengikut sunah-sunah rasullallah SAW
kawan-kawan aku yang macam aku juga aku merujuk tanya pendapat mencari jalan penyelesaian
mulalah macam-macam pandangan kurafat dilontarkan oleh mereka
masalahnya
aku boleh ikut dengan bersungguh-sungguh apa yang kawan-kawan aku khabarkan
bidaah lah syirik lah kurafat lah semua lengkap aku terima bulat-bulat
tanpa ragu-ragu dan tanpa merujuk kepada al quran dan hadis

begitulah jahilnya aku
apabila tidak pernah membaca al quran
jauh lagilah hendak menghayati makna-maknanya
melaksanakan di dalam kehidupan langsung tak nampak bayanglah jawabnya

padahal
itulah kehendak ALLAH SWT dan itu yang diamalkan oleh junjungan besar kita nabi muhammad SAW  
ianya menjadi amat sukar untuk aku laksanakan
kerana ikhlas itu hanya ALLAH sahaja yang tahu ,orang takkan tahu jika aku mengamalkannya
aku tidak boleh riak dengan mengamalkannya
jadi ia menjadi perkara yang amat berat untuk ditunaikan

sememangnya aku tidak pernah tahu
bahawa al quran itu diturunkan untuk dibaca dan dihayati makna-maknanya
begitu jugalah dengan hadis atau sabda baginda rasullallah SAW
terdapat ilmu di sebalik ilmu sebenarnya jika kita menghayati
tetapi jika kita 'direct translate' ilmunya akan jadi sempit

sila baca dengan teliti artikel ini
tengok tarikhnya dikeluarkan dan fahami dan hayati betul-betul
klik sini untuk imej lebih besar


adakah kita perasan bahawa ini adalah tanda kiamat yang paling akhir
sebelum tanda ini adalah
munculnya dajjal
munculnya yakjut dan makjut
turunnya nabi isa a.s
dan imam mahdi

bererti
kesemua yang tersebut sudah wujud dan tak perlulah kita menunggu ia keluar secara nyata baru kita hendak beriman kepada ALLAH dan RASULNYA
kita perlu ingat bahawa dajal yang bermata satu itu bukanlah raksaksa
ia adalah sifat
sifat dajal iaitu memberi rahmat ,memberi kemewahan dan menolak keesaan ALLAH SWT
bermata satu itu bererti ia melihat sesuatu perkara itu hanya sekali pandang dan hanya sesuai pada pandanganya sahaja ,tidak akan tengok dua kali atau dengan lebih teliti

sifat yakjut dan makjut pula
umpama ulat memakan daun ,secara zahirnya kita kelihatan sempurna
masih menunaikan solat fardu ,masih berpuasa ,masih membayar zakat ,masih menunaikan haji
akan tetapi akidah kita kepada ALLAH SWT hancur
tauhid kita kepada ALLAH SWT juga tiada lagi
segala amalan kita hanya jadi rutin
bukannya mencari rahmat dan redha ALLAH kerana hendak mentaati dan mematuhi segala perintahNya lagi

oleh itu sebelum terlambat dan sebelum matahari terbit dari barat
marilah sama-sama kita kembali perbetulkan niat kita dalam setiap amal
kerana
apabila terbitnya matahari dari barat
yang zalim akan bertambah zalim
dan yang yakin kepada ALLAH SWT dengan mentaati dan mematuhi segala perintah ALLAH dan RASUL dengan ikhlas akan makin bertambah keimanannya

begitu juga dengan maksud hadis bahawa taubat kita tidak akan diterima lagi
bukanlah pada ketika itu taubat kita tidak akan diterima
ianya pada sekarang ini
jika kita tidak dapat nak selaraskan kehendak kita mengikut kehendak ALLAH dan RASUL pada sekarang ini
itu bererti bahawa taubat kita sudah tidak diterima oleh ALLAH  SWT kerana kita asyik mengulang-ulang kesalahan yang sama
taubat yang dierima oleh ALLAH pasti kita tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi

dan tidak ada jalan lain iaitu
kita mestilah memaksa hati kita supaya tunduk kepada segala perintah ALLAH dan RASUL dengan ikhlas dalam setiap amal dengan mentaati dan mematuhi segala perintah ALLAH dan RASUL dan juga sentiasa selaraskan kehendak kita sesuai dengan kehendak ALLAH SWT

wallahhualam



Saturday, 29 September 2012

0 persoalannya ...






Nasa Mengeluarkan Kenyataan Matahari Akan Terbit Dari Barat – Kenyataan dari NASA berhubung Matahari keluar dari arah sebelah BARAT. Sains astronomi ada menyebut bahawa kelajuan putaran planet Marikh sedang perlahan sedikit demi sedikit ke arah laluannya ke timur. Para saintis agensi angkasa lepas kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) pula mendapati pergerakan planet itu terhenti ke arah laluan tersebut.

NASA kemudian mendapati planet Marikh telah menukar laluannya ke arah yang bertentangan, iaitu ke arah Barat, ini bermakna matahari akan terbit dari arah barat Marikh. Fenomena yang ganjil itu disebut sebagai “retrograde motion”.

Kebanyakan saintis Barat berpendapat bahawa semua planet akan melalui fenomena yang serupa dan ini termasuklah planet Bumi. Apabila ianya berlaku, maka matahari akan terbit dari Barat!

Subhanallah! Kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bahawa salah satu tanda besar yang hari kiamat akan tiba ialah apabila matahari terbit dari Barat.

Pihak NASA telahpun mendapati tanda-tanda matahari akan terbit dari Barat semasa ahli sains astronominya mengkaji pergerakan planet Marikh. Yang mereka tidak dapat pastikan ialah tempoh masa yang bakal diambil sehinggalah semua planet melalui fenomena yang serupa.


Dapatan sains oleh NASA itu semestinya memperkukuhkan lagi iman umat Islam akan tanda-tanda kiamat. Manusia tidak tahu bila ianya akan berlaku walaupun sudah ada banyak tanda-tandanya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

persoalannya 
apakah tindakkan kita 
apa yang kita rasa selepas membaca berita ini 
adakah sekadar baca tanpa merasai apa-apa ancaman dari ALLAH SWT
atau adakah kita masih hendak meneruskan tindakkan-tindakkan bodoh kita yang asyik melanggar segala perintah ALLAH SWT dan RASULNYA 

atau 
kita masih hendak menunggu dajjal yang dikatakan bermata satu muncul secara nyata 
barulah kita hendak berubah 
tak perlu juga kita menunggu nabi isa turun dari langit dan baru kita hendak berubah 
begitu juga dengan yakjut dan makjut 
dan imam mahdi 
tak perlu tunggu kesemua perkara itu muncul barulah kita yakin kepada janji ALLAH dan benarnya sabda nabi  SAW 
sebelum terlambat 
mulalah dari sekarang beriman kepada ALLAH dan RASUL 
dengan mentaati dan mematuhi segala perintah ALLAH dan RASUL dan mengekang sungguh-sungguh nafsu umarah di dalam diri kita yang selalu membuatkan kita menyembah kepada diri sendiri tanpa kita sedari


kerana 
apabila terbitnya matahari dari barat 
yang zalim akan bertambah zalim
yang mentaati perintah ALLAH dan RASUL akan makin mantap keimanannya

wallahhualam 

Sunday, 23 September 2012

1 jangan jadi bodoh ,buatlah pilihan dengan tepat




Pada diri manusia terdapat tiga kekuatan yang dibekalkan Allah untuk menghadapi kerasnya ujian di dunia. Selain akal fikiran yang cerdas, tubuh badan yang sihat dan hati yang berfungsi sebagai pengeluar bermacam-macam perasaan, ada benci, rindu, kasih sayang, dendam, sedih, gembira yang kesemuanya mengawal gerak tubuh manusia.
Kecerdasan akal tidak akan sempurna tanpa hati yang cerdas. Berapa banyak orang cerdik pandai jadi sampah masyarakat kerana ilmu yang dimiliki dikawal oleh hati yang rosak sehingga dengan ilmunya ia banyak memudaratkan orang. Demikian juga kekuatan tubuh badan tidak akan sempurna kecuali dengan hati yang kuat. Jika hati sihat nescaya tidak ada fenomena penganggur yang berbadan sihat. Betapa berpengaruhnya hati pada diri manusia.
Untuk dapat memiliki kecerdasan dan kekuatan hati yang sentiasa menyala hendaklah dipastikan agar pintunya selalu terbuka untuk mendapat hidayah Allah. Ada empat hidayah Allah yang dicurah pada tasik hati manusia. Jika mereka menutup pintunya maka hidayah itu tidak dapat meresapi dasar hati.
Pertama, Buka pintu hati ketika ilmu Allah datang.
Kesedaran menuntut ilmu di kalangan kaum muslimin hari ini semakin meningkat. Majlis-majlis ilmu yang dibuka semakin ramai peminatnya. Demikian halnya dengan program-program dakwah di televisyen dan radio cukup mewarnai nuansa keilmuan umat Islam. Tetapi adakah kepelbagaian cara dan konsep yang diajarkan itu berkesan pada peribadi individu muslim yang belajar? Jawapannya ialah bergantung pada keikhlasan yang bersumber dari hati ia akan menyerap ilmu menjadi kuasa hebat yang merubah peribadi sesorang. Jangan tutup pintu hati ketika ilmu datang, terimalah kebenaran itu dengan sikap ketaatan mutlak kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Amalkanlah apa yang kita pelajari kerana ilmu Allah itu bukan untuk makanan otak sahaja tetapi ia lebih diperlukan oleh hati orang beriman, kerana tanpanya hati akan mati. Jangan beralasan bahawa belum masanya kita berubah, kenapa biarkan hati terhijab oleh nafsu dan kepentingan diri? Allah SWT berfirman: ” Tidaklah patut orang yang beriman apabila datang ketentuan Allah dan Rasul-Nya mereka mengambil hukum yang lain daripada itu………
Kedua, Buka pintu hati ketika sahabat yang salih dan salihah ingin berkenalan.
Jangan memisahkan diri dengan orang yang mengingatkan kita kepada Allah. Terimalah nasihat orang-orang yang salih dengan hati terbuka. Firman Allah SWT: ”Dan bersabarlah kamu bersama-sama orang yang mengajak ke jalan Tuhanmu di pagi dan petang hari kerana mengharapkan keredhaan Tuhannya. Dan janganlah pandanganmu berpaling dari mereka kerana inginkan perhiasan dunia. Dan janganlah kamu taat kepada mereka yang telah kami palingkan hatinya dari mengingati Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka. Dan sesungguhnya keadaan mereka itu amatlah melampaui batas.” (Al-Kahfi: 28)
Ada beberapa sifat yang dimiliki oleh seorang sahabat yang baik. Pertama, beriman dan sentiasa mahu kita mempertingkatkan iman. Kedua, rajin bekerja dan beramal salih, suka membantu kita dalam berbuat baik. Ketiga, amat berminat kepada ilmu agama. Keempat bersifat jujur dan ikhlas dalam bersahabat.
Jika kita memiliki sahabat yang berciri-ciri seperti ini maka bukalah pintu hati untuk mengambil manfaat daripadanya, kerana sahabat kita itu akan mencorakkan hati, perasaan dan pemikiran kita menjadi lebih baik daripada sebelum kita berkenalan dengannya.
Ketiga, Buka pintu Hati ketika gerak taubat semakin kuat, jangan ditunda lagi. Ilmu yang merupakan hidayah dari Allah dan sahabat yang menguatkan iman kita rupanya belumlah cukup untuk memperbaiki diri kita selagimana dorongan hasrat tidak benar-benar kuat. Orang yang menunda taubat biasanya berfikir masih ada modal untuknya menyelamatkan diri iaitu masa. Tunggu sampai anak besar baru hendak sembahyang, tunggu sampai kaya baru hendak sedekah, tunggu masa lapang baru hendak belajar agama, tunggu rambut telah gugur nanti baru bertudung, tunggu masa tua baru bertaubat. Akhirnya tragedi anak Nabi Nuh berulang lagi, peluang taubat di hadapan mata tetapi kerana masih berasa ada modal menyelamatkan diri ke gunung yang tertinggi ia menjadi buta hati. Begitu juga dengan nasib sipenunda taubat lama kelamaan hatinya menjadi buta disebabkan terlalu banyak berdosa. Maka terhijablah antara dirinya dengan hidayah Allah. Sepertimana firman Allah menegaskan: ”Mereka itu sama sahaja kamu beri peringatan atau kamu tidak beri peringatan mereka tetap tidak mahu beriman.” (Yasin )
Demikianlah tiga usaha memperoleh hidayah Allah iaitu dengan ilmu, sahabat yang salih dan cepat bertaubat. Semua itu bermula dari hati. Dengarlah bisikannya kerana kata hati itu adalah kebenaran. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ”Dosa itu ialah perasaan ragu-ragu dalam hatimu dan engkau tidak suka orang lain mengetahuinya.”
Hati yang cerdas dan kuat adalah hati yang memiliki sensitiviti yang tinggi dengan dosa dan maksiat. Perasaan bersalah dan kemurungan akan berlaku apabila berbuat dosa. Sedih bila terlepas sembahyang subuh, murung apabila tidak sempat membaca al-Quran. Risau apabila terlepas lidah mengumpat kawan, takut dengan dosa hari ini dan pilu dengan amal yang sedikit.
Begitulah kata hati yang sihat dan selamat sesuai dengan firman Allah SWT: ”Pada hari itu (hari kiamat) sudah tidak berguna lagi harta benda dan anak-pinak kecuali siapa yang datang menghadap Allah dengan hati yang sihat (bersih). (Al-Syuara: 88-89)



Sunday, 16 September 2012

0 apakah yang membezakan antara mayat dan manusia



Kata Imam Ghazali, beza antara orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir, ialah umpama orang yang mati dengan orang hidup di sisi ALLAH SWT . Sudah tentu ada beza antara mayat dengan manusia. Besar sekali bezanya! Maka, begitu jugalah besarnya beza antara manusia yang berzikir dengan yang tidak, kerana zikir ialah oksigen kepada hati. 

Oleh itu, orang yang tidak memberi hatinya bekalan oksigen, maka tidak hairanlah hatinya mati. Mati hati, sebenarnya itu adalah kematian yang paling ngeri. 


Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.
(Al-Israa' 17:44)



Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.
(Al-Israa' 17:72)

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud 
"Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali"(Hadis Riwayat Muslim).


Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud 
"Barang siapa memperbanyak Istighfar maka Allah akan membebaskannya dari kedukaan, dan memberinya jalan keluar bagi kesempitannya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak diduga-duga"(Hadis Riwayat Abu Dawud).

Sahabat yang dikasihi,
Basahkanlah lidah kita dengan istighfar setiap hari lebih daripada 100 kali kerana Nabi s.a.w yang bersifat maksum dan tidak berdosa pun beristighfar 100 kali sehari, maka kita yang penuh dengan noda dan dosa perlu beristighfar lebih banyak lagi oleh itu lakukanlah sebanyak-banyak yang boleh.

Lidah yang sentiasa beristighfar akan di benci oleh syaitan dan syaitan tidak akan hadir bersama kita.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud 
"Wahai Iblis, apakah senjata yang dapat menghancurkan engkau?"Berkata Iblis, "Ya Nabi Allah. Orang-orang yang banyak berzikir dan banyak bersedekah dengan bersembunyi (ikhlas hati) serta berbanyak-banyak taubat (beristighfar) dan banyak membaca al-Qur'an Kalam Allah, dan banyak sembahyang di tengah malam. Itu semua akan menghancurkan aku".

Thursday, 6 September 2012

0 tiada jalan lain ,hanya kembali kepadaNya



Hatinya hiba. Duduk beralaskan surat khabar di penjuru rumah bersandarkan dinding kayu yang usang. Kosong jiwanya. Fikirannya tidak tentu arah. Wajahnya nampak sugul dengan terdapat kesan lebam di bawah mata kerana terlalu banyak menangis. Malamnya sering terjaga dan tersentak. Sesekali, dia memandang ke langit. Melihat lintasan si merpati di awan gemawan yang kebiruan. Jauh di sudut hatinya mengenang nasib yang menimpanya kebelakangan ini. Dia tunduk kembali melihat ke tanah. Sayu di hatinya tidak bisa ditanggung lagi, maka mengalir deraslah airmata kesayuan…

Cerita yang digambarkan melalui penulisan di atas adalah keadaan hati seseorang yang gelisah dan gundah gulana hatinya. Memang sukar digambarkan betapa peritnya kisah insan di atas. Berat kita yang melihat atau mendengar, berat lagilah bahu yang menggalas bebannya sendiri. Islam ada caranya tersendiri untuk mengubat hati yang resah gelisah. Berikut ialah antara tips & adab tatkala menerima musibah.

Solat
Solat adalah suatu terapi yang baik buat manusia. Sesuatu yang baik tidak terhasil dengan perlaksanaan yang sambil lewa. Kebaikan berbuah daripada kesungguhan dan keikhlasan. Lakukanlah solat wajib tanpa melupakan yang amalan yang sunat sebagai ibadah sampingan. Intipati di dalam ibadah solat sebenarnya sudah mencukupi untuk mengubati perasaan dukacita, resah gelisah dan sebagainya. Hal ini kerana, bacaan dan doa yang terdapat didalamnya sekiranya dihayati, amat-amat menginsafkan diri.
Perlu diingat, bahawa resah gelisah boleh jadi datang daripada dosa kita. Apabila solat kita mampu menginsafkan diri, maka, InsyaAllah, ketenangan pasti hadir. Kebahagiaan pasti berbunga dan kehidupan pasti lagi indah dan mudah.
Lakukanlah qiyamulail dengan melaksanakan solat taubat, tahajjud dan ibadah-ibadah lain. Rasulullah s.a.w pernah bersabda di dalam hadis sahih, antara lain maksudnya ialah, bahawasanya, sekiranya seseorang hamba bangun malam, lalu mengingati Allah (samada lisan atau hati), kemudian berwudhuk dan melakukan solat, dengan izin Allah, ia akan menjadi bersemangat dan bersih jiwanya. Kebersihan jiwa mampu menghilangkan gundah di dalam dada. InsyaAllah.
Membaca & Tadabbur Al Quran
…sesungguhnya telah datang kepadamu sebuah pelajaran daripada tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) di dalam dada… 
(Yunus : 57)
Al quran mengandungi hikmah. Itulah antara kata-kata hikmah yang dipetik daripada Al quran. Ya, terlalu banyak hikmah yang terdapat di dalamnya. Namun jika hanya pembacaan sahaja, tanpa dihayati isinya, maka tidaklah dapat kita merasai kemanisan kalamullah tersebut. Untuk menghayatinya, sebagaigolongan yang tidak memahami bahasa Arab, kita hendaklah membaca Al Quran bersama-sama terjemahannya.
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), Kitab yang mempunyai banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayat-Nya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna sebagai peringatan dan iktibar.
(Shaad: 29)

Tadabbur Al Quran. Bagaimana? iaitu dengan menghayati isi kandungan sehingga mampu mengalirkan airmata. Berikut ialah contoh-contohnya :
Ketika membaca ayat-ayat mengenai azab Allah :
Rasakan diri kitalah yang dimaksudkan oleh Allah Taala. Kitalah yang diazab, kitalah yang termasuk golongan-golongan yang berdosa. Sekiranya, terdapat ayat mengatakan putus asanya orang-orang yang berdosa pada hari Qiamat, maka, bayangkanlah kita sedang berputus asa sehingga melahirkan keinsafan.
Ketika membaca ayat-ayat mengenai nikmat :
Rasakan bahawa kita tidak layak untuk menerima semua nikmat yang tersebut kemudian berdoa agarAllah menyelamatkan kita daripada azab-azabnya.

Perbanyakkan berzikir.
Mengingati Allah mendekatkan kita dengan Dia pemilik segala cinta. Ketenangan seseorang hamba hadir ketika ia dekat dengan tuhannya. Hal ini kerana ketenangan wujud lantaran kestabilan hati dan perasaan aman dan tenteram. Dr Sheikh ‘Aidh Bin Abdullah Al Qarni menulis di dalam kitabnya mengajak kita mengingati Allah :
Berzikir kepada Allah adalah syurga Allah di bumi-Nya. Maka sesiapa yang tidak pernah memasukinya, ia tidak akan dapat memasuki syurganya di akhirat kelak. Berzikir kepada Allah merupakan penyelamat jiwa daripada pelbagai kerisauan dan kegundahan, kekesalan dan goncangan, dan zikir merupakan jalan yang paling mudah untuk meraih kemenangan dan kebahagiaan yang haqiqi.
Redha.
Sabda Rasulullah S.A.W :
Terimalah dengan keredhaan dengan apa yang telah Allah berikan kepadamu, nescaya kamu menjadi manusia paling kaya. (Al Hadith)
Belajarlah untuk redha terhadap ketentuan Allah. Belajarlah untuk redha sekalipun sekecil-kecilmusibah atau nikmat yang dikurniakan Allah terhadap kita. Ingatlah bahawa, Kesusahan, keperitan hidup, dan musibah itu sememangnya pahit kerana syurga itu manis. Allah Swt bersabda :
… sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang aku berikankepadamudan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur.
(Al A’raf : 144)

Saturday, 25 August 2012

1 bagaimana kita melaluinya




Dan sesungguhnya akan kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa (pengikut) dan buah-buahan (biji-bijian). Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Yaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan ‘Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadanyalah kami akan kembali’. Meraka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.
(Al Baqarah : 155-157 )
 Ujian kehidupan adalah satu yang pasti ketika kita menongkah arus kehidupan. Itu lumrah sebagai khalifah ALLAH di muka bumi. Sesuai dengan sifat manusia yang memang mudah lupa. Maka ujian musibah diturunkan oleh ALLAH SWT sebagai peringatan kepada hambanya.

Sabar adalah akhlak yang amat dituntut di dalam ajaran agama Islam. Ianya mendapat tempat di dalam kalamullah, iaitu Al Quran. Islam menitikberatkan sifat sabar kerana beranggapan setiap perkara yang baik mahupun berupa musibah merupakan ujian daripada Allah SWT.  Islam juga mendidik umatnya menerima ketentuan ianya termasuk dalam rukun Iman iaitu, beriman kepada qada’ dan qadar.
Rasulullah S.A.W bersabda :
Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata :
Jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya.
Melainkan hendaklah kamu katakan :
Allah telah mentakdirkan dan apa yang Dia suka, ia perbuat!
Kerana sesungguhnya perkataan :
Andaikata… Itu memberi peluang kepada syaitan.
(Riwayat Muslim)

ALLAH SWT menguji hambanya, bukan untuk menzalimi, tetapi sebaliknya, sebagai tarbiah kepada hambanya. Ianya hanya untuk kebaikan terutamanya orang beriman yang sabar ketika diuji.
Rasulullah, di dalam sabdaanya :
Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya! Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seseorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin. Jika ia memperoleh kegembiraan dia bersyukur, bererti kebaikan baginya dan jika ia ditimpa kesusahan, dia bersabar bererti kebaikan baginya.
(Riwayat Muslim)
Memang mudah menyatakan sabar, tapi bagaimana keimanan kita bila ditimpa musibah? 
Adakah berlandaskan al quran dan hadis atau berlandaskan akal nafsu logik sendiri untuk menyelesaikannya . 
Wallahu’alam
Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates