Thursday, 6 September 2012

0 tiada jalan lain ,hanya kembali kepadaNya



Hatinya hiba. Duduk beralaskan surat khabar di penjuru rumah bersandarkan dinding kayu yang usang. Kosong jiwanya. Fikirannya tidak tentu arah. Wajahnya nampak sugul dengan terdapat kesan lebam di bawah mata kerana terlalu banyak menangis. Malamnya sering terjaga dan tersentak. Sesekali, dia memandang ke langit. Melihat lintasan si merpati di awan gemawan yang kebiruan. Jauh di sudut hatinya mengenang nasib yang menimpanya kebelakangan ini. Dia tunduk kembali melihat ke tanah. Sayu di hatinya tidak bisa ditanggung lagi, maka mengalir deraslah airmata kesayuan…

Cerita yang digambarkan melalui penulisan di atas adalah keadaan hati seseorang yang gelisah dan gundah gulana hatinya. Memang sukar digambarkan betapa peritnya kisah insan di atas. Berat kita yang melihat atau mendengar, berat lagilah bahu yang menggalas bebannya sendiri. Islam ada caranya tersendiri untuk mengubat hati yang resah gelisah. Berikut ialah antara tips & adab tatkala menerima musibah.

Solat
Solat adalah suatu terapi yang baik buat manusia. Sesuatu yang baik tidak terhasil dengan perlaksanaan yang sambil lewa. Kebaikan berbuah daripada kesungguhan dan keikhlasan. Lakukanlah solat wajib tanpa melupakan yang amalan yang sunat sebagai ibadah sampingan. Intipati di dalam ibadah solat sebenarnya sudah mencukupi untuk mengubati perasaan dukacita, resah gelisah dan sebagainya. Hal ini kerana, bacaan dan doa yang terdapat didalamnya sekiranya dihayati, amat-amat menginsafkan diri.
Perlu diingat, bahawa resah gelisah boleh jadi datang daripada dosa kita. Apabila solat kita mampu menginsafkan diri, maka, InsyaAllah, ketenangan pasti hadir. Kebahagiaan pasti berbunga dan kehidupan pasti lagi indah dan mudah.
Lakukanlah qiyamulail dengan melaksanakan solat taubat, tahajjud dan ibadah-ibadah lain. Rasulullah s.a.w pernah bersabda di dalam hadis sahih, antara lain maksudnya ialah, bahawasanya, sekiranya seseorang hamba bangun malam, lalu mengingati Allah (samada lisan atau hati), kemudian berwudhuk dan melakukan solat, dengan izin Allah, ia akan menjadi bersemangat dan bersih jiwanya. Kebersihan jiwa mampu menghilangkan gundah di dalam dada. InsyaAllah.
Membaca & Tadabbur Al Quran
…sesungguhnya telah datang kepadamu sebuah pelajaran daripada tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) di dalam dada… 
(Yunus : 57)
Al quran mengandungi hikmah. Itulah antara kata-kata hikmah yang dipetik daripada Al quran. Ya, terlalu banyak hikmah yang terdapat di dalamnya. Namun jika hanya pembacaan sahaja, tanpa dihayati isinya, maka tidaklah dapat kita merasai kemanisan kalamullah tersebut. Untuk menghayatinya, sebagaigolongan yang tidak memahami bahasa Arab, kita hendaklah membaca Al Quran bersama-sama terjemahannya.
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), Kitab yang mempunyai banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayat-Nya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna sebagai peringatan dan iktibar.
(Shaad: 29)

Tadabbur Al Quran. Bagaimana? iaitu dengan menghayati isi kandungan sehingga mampu mengalirkan airmata. Berikut ialah contoh-contohnya :
Ketika membaca ayat-ayat mengenai azab Allah :
Rasakan diri kitalah yang dimaksudkan oleh Allah Taala. Kitalah yang diazab, kitalah yang termasuk golongan-golongan yang berdosa. Sekiranya, terdapat ayat mengatakan putus asanya orang-orang yang berdosa pada hari Qiamat, maka, bayangkanlah kita sedang berputus asa sehingga melahirkan keinsafan.
Ketika membaca ayat-ayat mengenai nikmat :
Rasakan bahawa kita tidak layak untuk menerima semua nikmat yang tersebut kemudian berdoa agarAllah menyelamatkan kita daripada azab-azabnya.

Perbanyakkan berzikir.
Mengingati Allah mendekatkan kita dengan Dia pemilik segala cinta. Ketenangan seseorang hamba hadir ketika ia dekat dengan tuhannya. Hal ini kerana ketenangan wujud lantaran kestabilan hati dan perasaan aman dan tenteram. Dr Sheikh ‘Aidh Bin Abdullah Al Qarni menulis di dalam kitabnya mengajak kita mengingati Allah :
Berzikir kepada Allah adalah syurga Allah di bumi-Nya. Maka sesiapa yang tidak pernah memasukinya, ia tidak akan dapat memasuki syurganya di akhirat kelak. Berzikir kepada Allah merupakan penyelamat jiwa daripada pelbagai kerisauan dan kegundahan, kekesalan dan goncangan, dan zikir merupakan jalan yang paling mudah untuk meraih kemenangan dan kebahagiaan yang haqiqi.
Redha.
Sabda Rasulullah S.A.W :
Terimalah dengan keredhaan dengan apa yang telah Allah berikan kepadamu, nescaya kamu menjadi manusia paling kaya. (Al Hadith)
Belajarlah untuk redha terhadap ketentuan Allah. Belajarlah untuk redha sekalipun sekecil-kecilmusibah atau nikmat yang dikurniakan Allah terhadap kita. Ingatlah bahawa, Kesusahan, keperitan hidup, dan musibah itu sememangnya pahit kerana syurga itu manis. Allah Swt bersabda :
… sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang aku berikankepadamudan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur.
(Al A’raf : 144)

0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates