Friday 31 May 2013

0 hakikatnya apa ?




SOALAN

Bagaimana pandangan Imam al-Ghazali berkenaan dengan hakikat tauhid?

JAWAPAN

Dalam kitab al-Ihya’, Imam al-Ghazali telah menghuraikan hakikat tauhid (Ibid. Jil. 4, hal. 212) dan telah mengemukakan pendapatnya dalam masalah ini. Beliau telah membahagikan tauhid kepada empat peringkat: 

1. Mengucapkan “Lailahaillallah” dengan lidahnya, tetapi hatinya lalai daripada memahami maknanya. Ini adalah tauhid orang munafik.
2. Ia mempercayai makna lafaz seperti yang dipercayai oleh orang Islam. Ini adalah kepercayaan orang awam.
3. Menyaksikan yang demikian itu dengan cara kasyaf dengan perantaraan cahaya kebenaran. Ini adalah maqam orang yang hampir (muqarrabun), iaitu ia melihat perkara yang banyak itu adalah lahir daripada yang satu.
4. Ia tidak melihat yang wujud ini kecuali satu sahaja. Ini adalah penyaksian siddiqin yang dinamakan oleh ahli tasawwuf dengan fana dalam tauhid.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa martabat yang keempat ini adalah yang paling tinggi, kerana orang itu tidak melihat dalam syuhudnya kecuali satu, ia tidak melihat semua yang wujud itu banyak bahkan ia adalah satu. Ini adalah martabat yang paling tinggi dalam tauhid.

SOALAN    
                                                                                            
Apakah yang dimaksudkan dengan mujahadah? 

JAWAPAN 

Mujahadah adalah saluran terpenting bagi seorang untuk mencapai tujuannya yang suci. Dengan kekuatan mujahadah ini, akan dapat menghancurkan runtunan dan pujukan nafsu dan lintasan-lintasan jahat di hati. Ibrahim bin Adham berkata: 

Seseorang itu tidak akan dapat mencapai darjat solihin melainkan ia terlebih dahulu mestilah melepasi enam halangan. 
Halangan pertama ialah pintu nikmat akan terkunci dan pintu kesusahan akan dibuka. 
Kedua, pintu kerehatan akan ditutup dan pintu usaha keras akan dibuka. 
Ketiga, pintu kebanggaan akan ditutup dan pintu kehinaan akan dibuka. 
Keempat, pintu tidur akan ditutup dan pintu berjaga malam akan dibuka. 
Kelima, pintu kekayaan akan ditutup dan pintu kefakiran akan dibuka. 
Keenam, pintu angan-angan akan ditutup dan pintu persediaan menghadapi maut akan dibuka. 

Gambaran perjalan yang dijelaskan sebentar tadi adalah merupakan satu jihad yang sukar. Bahkan ia juga adalah satu langkah untuk mencapai kerehatan yang sebenar dengan ma’rifatullah. Hakikat ma’rifatullah inilah yang menjadi matlamat yang diburu oleh mukmin yang berakal di dunia ini. Tidak ada di sana yang paling tinggi, cantik, indah, bahagia dan kekal selain daripada seorang insan itu dapat mengenal Pencipta alam semesta yakni Allah. Adakah seorang insan itu akan kehilangan sesuatu lagi jika ia telah sampai ke matlamat tertinggi itu? 

Sesungguhnya bermujahadah melawan godaan nafsu adalah satu-satunya jalan bagi seorang insan itu untuk menang mengawal hawa nafsunya. 
Hakikat ini dijelaskan oleh firman Allah s.w.t dalam surah al-Ankabut, ayat 69 yang bermaksud:  

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”  
Seorang murid itu boleh dikatakan kuat dan mantap ma’rifahnya kepada Allah selagi dia belum dapat membebaskan dirinya daripada godaan nafsu syahwat dan keinginan nafsu jahatnya. Para sufi mengatakan bahawa jihad melawan nafsu adalah jihad akbar, kerana jihad menentang hawa nafsu ini samalah ertinya memerangi musuh yang tidak kelihatan. Ia juga dianggap satu peperangan yang sangat sukar kerana terpaksa menggunakan senjata-senjata yang luar biasa.

aku menyeru diri aku sendiri dan pembaca pembaca blog MK 
marilah kita mentauhidkan ALLAH SWT dengan sebenar benar tauhid 
tidak menyekutukan ALLAH walau dengan diri kita sendiri 
perbanyakkanlah kalimah tauhid di dalam hati kita dengan keikhlasan mencari rahmat dan redha ALLAH semata mata 

wallahhualam

in syaa allah ...

Sunday 26 May 2013

0 siapa yang kuat ni



الحمد لله الذي خلقنا وجعلنا من المسلمين. وجعل لنا الإيمان وزينها فى قلوبنا كره إلينا الكفر والعصيان . والصلاة والسلام على سيد الأنبياء والمرسلين وخاتمهم عليهم الصلاة والسلام وأصحابه اللذين جاءوا معه بالإسلام والإيمان منتشرين إلى العالم وتابعيهم وتابع التابعين بإحسان إلى يوم الدين . أما بعد : 

 Bahawa manusia telah diciptakan lemah dan pelupa. Akan tetapi ramai manusia menyangka diri mereka kuat dan berkuasa. Oleh kerana manusia adalah ciptaan Allah yang paling lemah, maka Allah sendiri suka untuk membantu mereka yang merasai lemah dan memang manusia itu makhluk yang paling lemah pada hakikatnya.

Firman Allah Taala,

أَأَنتُمْ أَشَدُّ خَلْقًا أَمِ السَّمَاءُ بَنَاهَا .النازعات: ٢٧

Adakah kamu paling kuat ciptaan ataukah langit yang kami bina?

Namun dari itu, manusia diberi suatu kekuatan yang mendorong dan mengalahkan makhluk ciptaan yang lain. Ia bukan kekuatan dari luaran(jasmani) tetapi ia kekuatan dari dalaman (akal fikiran, ruh dan seumpamanya) yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Kekuatan dalaman itu pula hakikatnya didorong oleh kudrat Allah yang maha berkuasa.

Kekuatan dalaman itu ialah dinamakan Iman. Semakin nyata sifat hamba yang lemah, maka semakin nyata sifat kudrah Allah yang maha berkuasa. Semakin nyata sifat hamba yang miskin, maka semakin nyata sifat Allah yang maha kaya. Semakin nyata sifat hamba yang hina, maka semakin nyata sifat Allah yang maha mulia. Maka hendaklah kau nyatakan sifat-sifatmu yang sebenar nescaya Allah akan menyatakan sifat-sifatNya yang sebenar lalu menyelebungimu dengan sifat-sifatNya sehingga kau kuat dengan kudrat Allah, kau kaya dengan kekayaan Allah dan kau mulia dengan kemuliaan Allah.

Iman adalah urusan Allah dan tugas kita memohon dan berusaha untuk memupuk Iman selepas itu bertawakal bahawa Allah sahaja yang memberi taufik hidayat untuk kita beriman dan untuk memelihara iman kita.Nyatakan kelemahanmu nescaya kau akan menyaksikan Maha Berkuasa. Nyatakan kebodohanmu, nescaya kau akan menyaksikan Maha Pemberi Petunjuk.

Firman Allah Taala

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ .القصص: ٥٦

Sesungguhnya engkau (hai Muhammad) tidak boleh memberi hidayat kepada orang yang engkau cintai tetapi Allah yang memberi hidayat kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang telah diberi petunjuk.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.”
Riwayat Muslim

Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

ALLAH SWT lah yang paling kuat jadi kenapa kita hendak mengikut selain daripada ALLAH kenapa kita senang senang mengikut bisikan syaitan yang selalu mengajak kita supaya ingkar akan segala perintah ALLAH dan RASUL sedangkan syaitan tidak kuat 
jadi kita tidak perlu takut 
taat dan patuhlah semampu yang mungkin kepada segala perintah ALLAH dan RASUL 
dengan menafikan bahawa tiada yang lebih berkuasa selain ALLAH di dalam hati kita dengan kalimah tauhid sebanyak banyaknya dan jangan sekali kali kita menyekutukanNya
mudah mudahan kita diberi kekuatan dari ALLAH dapat tunduk hanya kepadaNya dan mencari hanya rahmat redhaNya dengan ikhlas

wallahhualam 

in syaa allah ...

Friday 24 May 2013

0 mari kita hayati sejenak



Dan (ingatlah), hari (kiamat yang padanya) Kami himpunkan mereka semua, kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: "Manakah orang-orang dan benda-benda yang dahulu kamu sifatkan (menjadi sekutu Allah):?"

Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: "Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".

Lihatlah bagaimana mereka berdusta terhadap diri mereka sendiri, dan bagaimana hilang lenyapnya dari mereka apa yang telah mereka ada-adakan (sebagai sekutu Allah) itu.

Dan di antara mereka ada yang mendengarkanmu (membaca Al-Quran), pada hal Kami telah jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, yang menghalang mereka daripada memahaminya, dan Kami jadikan pada telinga mereka penyumbat (yang menjadikan mereka pekak); dan kalaupun mereka melihat tiap-tiap keterangan (dan mukjizat yang membuktikan kebenaran Rasul), mereka tidak juga akan beriman kepada keterangan itu; sehingga apabila mereka datang kepadamu, sambil membantahmu, berkatalah orang-orang yang kafir itu: "Ini tidak lain hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu".

Dan mereka pula melarang orang ramai dari mendengar Al-Quran dan mereka juga menjauhkan diri daripadanya, padahal mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya.

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: "Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman".

(Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.

Dan tentulah mereka akan berkata pula: "Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati".

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: "Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: "Benar, demi Tuhan kami!" Allah berfirman lagi: "Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar".

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; "Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
(Al-An'aam 6:22-32)

Marilah sama sama kita menghayati ayat ini dengan keikhlasan semoga kita diberi kefahaman apakah yang ALLAH maksudkan atau apakah yang ALLAH hendak sampaikan kepada kita atau apakah yang tersirat ilmu di sebalik ilmu pada firman ALLAH ini 
kerana di dalam ayat ini ALLAH SWT menceritakan sifat sifat orang yang syirik kepadaNya 
dan perlulah kita mempertingkatkan tauhid kita kepada ALLAH SWT 
dengan penuh keikhlasan perbanyakkan kalimah tauhid di dalam hati 
perlu juga kita perbanyakkan mengingati ALLAH SWT samada dengan zikrullah atau solat dengan ikhlas 
semoga kita terpimpin dan tidak melakukan syirik kepada ALLAH SWT 

wallahhualam 

in sya allah ...

Sunday 19 May 2013

0 satu masej ! [wajib baca]




Satu mesej

Para nabi dan rasul diturunkan untuk membawa satu mesej sahaja. Ya, satu mesej sahaja dan mesej ini tidak berubah-rubah sepanjang perubahan sejarah, masa dan geografi manusia. Tamadun boleh berubah. Masa boleh berubah. Tempat boleh berubah. Tetapi mesej ini tidak pernah berubah. Mesej ini di akhiri oleh Muhammad bin Abdullah yang mengambil masa 13 tahun menanam mesej tersebut ke dalam hati penduduk mekah dan para sahabat. Al-Quran mengulang-ulang mesej ini dalam kaedah bahasa yang berbeza tetapi berkisar pada persoalan yang sama. Mesej ini tidak lain adalah kalimah la illah haillah, hakikat mengenal Allah, menjawab persoalan dari mana kita datang, apa kita buat di dunia ini dan kemana kita akan pergi. Mesej ini adalah hakikat Islam yang membawa maksud ketundukan yang total kepada satu sahaja Al - Illah dan Ar Rab yakni Allah swt.

Tarbiyah

Setelah tarbiyah selama 13 tahun, mesej ini berakar utuh di dalam hati sanubari para sahabat. Kemudian, turun perintah Allah kepada nabi saw dan para sahabat untuk berhijrah ke tapak baru. Sebelum itu, tapak baru ini yang di kenali sebagai Yatrib juga telah di dakwahkan dengan kalimah ini. Dakwah oleh dua sahabat nabi saw, yakni Musab bin Umair dan Abdullah bin Umm Maktum yang berjaya mengumpukan dan mentarbiyah beberapa orang sahabat dari kalangan penduduk madinah yang kemudiannya di kenali sebagai golongan ansar. Setelah itu, Allah mengurniakan nabi saw dengan kemenangan pertama, yakni tertegaknya daulah Madinah Mukaramah. Setelah penghijarhan ini berlaku, maka di turunkan sistem-sistem bagi menjaga daulah yang baru ini dan diturunkan ayat-ayat mengenai hukum hakam. 10 tahun kemudian turunnya ayat-ayat mengenai pentadbiran, mengenai peperangan, mengenai undang-undang dan dilengkapkan Islam dengan turunnya ayat 3 surah al Maidah dan kewafatan nabi saw. Setelah 13 tahun usaha nabi menanam kalimah tayyibah (la illah haillalah) dan 10 tahun di jaga dengan syariatnya, nabi di wafatkan, dan kemenangan sebenar di berikan dan ini di ceritakan di dalam surah an nasr. Kemenangan mendapatkan Mekah dan manusia berbondong-bondong memeluk agama Islam.

Setelah 13 tahun dakwah nabi saw yang menyentuh soal keimanan, akidah dan hati ini menyerap masuk ke dalam pemikiran dan perilaku para sabahat, penerapan syariat tidak menjadi suatu yang masalah. Diceritakan bahawa dengan turunnya ayat pengharaman arak, seluruh madinah banjir dengan arak-arak yang di buang. Setelah turunnya ayat hijab, kaum-kaum wanita di ceritakan menarik langsir untuk menutup rambut mereka tanpa melenggah-lengahkan sebarang suruhan. Dengan kata lain, dengan kalimah ini tertegak di dalam hati mereka, tidak ada lain terpancar di bibir dan perbuatan mereka melainkan kalimah: Samina wa atana (Kami dengar dan kami patuh).


Pencapaian tingkat iman

Tingkat iman sebegini tidak boleh dicapai dengan hanya momokan kosong dan teori-teori. Ia tidak boleh di capai dengan ceramah-ceramah atau cakap-cakap sahaja. Ia tidak lain hanya dapat di capai bila dijelmakan di dalam bentuk praktik. Akidah ini seharusnya di ulang-ulang, di tanam, di jaga dan di didik di dalam setiap diri individu yang mahu dirinya di didik. Dan ia pada kebiasaanya akan mengambil masa yang lama dan panjang. Tidak ramai yang akan menerima dan beriman dengannya. Tetapi mereka yang berpegang dengannya akan mati dengannya dan tidak akan berganjak walau sedikitpun. Inilah tabiat atau nature dakwah yang telah di lukiskan di dalam sejarah para nabi dan manusia.

Kalau inilah caranya kenapa manusia menggunakan cara yang lain utk mengembalikan Islam?

Kini manusianya bagaimana? Umat Islamnya bagaimana? Kita mengetahui umat Islam kini berada di jurang kehancuran. Adakah sejarah manusia telah berulang kembali? Adakah sakit umat Islam kini sama seperti sakit umat-umat terdahulu? Kalau sama kenapa ubat yang dicari dan di beri adalah ubat yang berbeza?

Adakah umat Islam kini sakit kerana kehilangan kuasa? Adakah umat Islam kini sakit kerana tidak melaksanakan syariat dan undang-undang Allah? Adakah Umat Islam kini sakit kerana tidak di laksanakan ekonomi Islam? Hukum hakam Islam?

Kalau kerana ketiadaan kuasa dan kita perlukan pengambilan kuasa, kenapa rasullulah saw dahulu tidak memilih kuasa apabila di tawarkan oleh kaum Quraisyh? Sebaliknya dengan wahyu Allah swt, nabi saw bersabda bahawa seandainya bulan dan matahari di letakkan di tangan baginda, baginda tidak akan meninggalkan dakwah yang sedang dilakukannya. Dakwah apa? Inilah dakwah menyeru kepada la illaha illalah. Dan kaum arab tahu dengan pengetahuan bahasa arab mereka bahawa kalimah ini bermakna pencabutan kuasa di tangan manusia dan mengembalikannya kepada Allah swt.

Ini kerana hukum hakam, kuasa, pangkat, ekonomi dan lain-lain cabang Islam bukannya menjadi sebab sebenar keIslamnya seseorang. Seharusnya keimanan dan sifat mengenal Allah yang sebenar adalah kaedah pertama penanaman Islam sebenar. Hanya dengan wujudnya kalimah ini di dalam hati sanubari umat Islam kembali maka mereka akan menyedari hakikat sebenarnya penghambaan diri kepada Allah. Kemudian mereka akan berjuang di atas jalanNya untuk mengembalikan hak Hakimiyah Alah swt. Kemudian, pabila Allah telah redha, barulah Allah akan memuliakan mereka dengan kuasa dan perundangan yang adil. Hanya dengan termetrinya kalimah ini di dalam hati sanubari umat Islam, dan tersebarnya kalimah ini di muka bumi, maka barulah ujud tunduk dan kepatuhan tanpa soal dan pertentangan. Dan akan wujudnya keadilan dan kuasa Allah di muka bumi.

Penjaga kepada Islam adalah syariat Islam. Penjaga kepada syariat adalah manusia dengan izin Allah, dan penjaga kepada manusia adalah roh keimanan dan kalimah tayyibah yang di terapkan di dalam pemikiran, hati sanubari sehingga membentuk masyarakat yang baik sehingga di redhai oleh Allah swt. Tanpa penerapan ini, kita tidak lain hanya akan melahirkan umat manusia yang mempunyai kuasa, tetapi ditakuti tidak mengenal Tuhannya yang sebenar dan akan melakukan pula penindasan kepada manusia lainnya. Inilah yang berlaku kepada sistem-sistem ciptaan manusia yang yang banyak melakukan kerosakan. Islam tabiatnya bukan begitu.

Inilah dakwah kita. Inilah tarbiyah kita. Inilah nature kepada dakwah para nabi dan tema Al-Quran. Sesiapa yang menyeru lain daripada kaedah ini yang mana telah terbukti berkesan, mereka sebenarnya belum mengenal tabiat Islam dan Al-Quran. 
Wallahu a’lam.

Friday 17 May 2013

0 jalan ke syurga



"Sesungguhnya Akulah ALLAH ,tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Aku .Rahmat (kasih sayang)Ku mendahului kemurkaanKu .Barang siapa yang naik saksi bahawa tiada Tuhan sebenarnya berhak disembah kecuali ALLAH dan Nabi Muhammad adalah hamba dan utusanNya ,nescaya ia berhak mendapat syurga."
(hadis qudsi riwayat ad-Dailami dari ibnu Abbas r.a)

Erti rahman dalam perkataan 'rahmati' adalah kasih sayang .
Rahman atau rahmat manusia berbeza dari Rahmah ALLAH.

Pada manusia rahmah bererti kasih sayang yang mendorong seseorang untuk melakukan kebaikkan atau kebajikan kepada orang yang dikasihi .
Ianya kadang kadang digunakan untuk perbuatan kebajikan sahaja ,tanpa ada dorongan kasih sayang .
Rahmat dari ALLAH bererti pemberian nikmat dan kurnia bukan dalam erti belas kasihan .

ALLAH bernama dan bersifat 'Ar-Rahman' yang kasih sayangNya meliputi segala yang ada ,dan bersifat 'Ar-Rahim' yang menunjukkan kasih sayang ,kurnia dan rahmatNya yang banyak .

Asal erti 'ghadab' dari perkataan 'ghadaba' ,ialah meluap dan mendidihnya darah dalam hati atau jantung ,yang begitu cepat naik ke kepala ,sehingga dapat dilihat pengaruhnya pada muka dan matanya yang menjadi merah padam .
Musuhnya atau  orang yang dimarahi itu menjadi kecil pada pandangannya ,seolah olah dapat ditelannya bulat bulat .
Telinganya juga kelihatan merah dan kadang kadang tidak dapat mendengar nasihat orang lain ,mulutnya kelihatan gementar dan menyemburkan cacian makian dan sumpah seranah dan kata kata yang tidak sopan ,otak dan akal fikirannya hilang pertimbangan yang waras  ,kerana dikuasai oelah amarahnya yang melampaui batas .

Darah yang mendidih itu juga merebak ,sehingga tangannya gementar dan mengepal serta diacukan kepada lawannya .
Kakinya pun membuat langkah persiapan untuk menyerang .

Kerana itulah Nabi SAW menyebutkan dalam hadis 

"Jagalah dirimu dari ghadab (marah) kerana ia laksana bara api yang dinyalakan di dalam hati manusia .Bukankah kamu lihat mengembangnya leher dam merahnya kedua biji matanya ?"


Adapun kemurkaan ALLAH ,dijelmakan dalam bentuk seksaan yang diberikan kepada orang yang bersalah ,sehingga orang itu merasa gundah ,sakit dan sebagainya ,atau orang itu dikembalikan ke jalan yang diredhai ALLAH.

ALLAH telah memberitahu hambaNya bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar benarnya kecuali Dia .Juga Dia memberitahu bahawa sifat kasih sayang kepada hambaNya berupa pahala dan kurniaNya didahukan daripada hukuman dan seksaanNya .

Kerana itulah ALLAH berirman dalam surah al-Hijr


"Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).

Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya)."
(Al-Hijr 15:49-50)


Didahulukan rahmat atas kemurkaanNya itu adalah kurnia dan kemurahanNya .

Barang siapa yang beriman dan percaya kepadaNya ,iman yang benar dan percaya dengan bersungguh sungguh ,serta mengaku dan menetapkan keesaanNya  ,mengaku dan menetapkan dengan sepenuh hatinya kerasulan Nabi Muhammad serta menerima dan melaksanakan apa sahaja yang datang dari baginda ,maka ALLAH SWT akan menempatkannya di dalam syurga ,suatu nikmat dan kurnia yang besar lagi kekal  dan abadi .

Dapatlah kita ambil pengajaran bahawa sudah tentu tidaklah cukup dengan hanya semata mata penyaksian lisan sahaja ,sebab 'iman' adalah iktikad dan percaya dengan hati ,pengakuan dengan lidah ,dan perlaksanaan dengan seluruh anggota .
Kalau sudah percaya dengan hati akan keesaan ALLAH dan diucapkan pula pengakuan itu dengan lidah (dua kalimat syahadat) ,hendaknya ia melaksanakan semua ajaran berupa perintah dan larangan ALLAH dengan tulus ikhlas dan sepenuh hati .

Dengan demikian barulah ia berhak mendapat syurga seperti yang telah dijanjikan dalam hadis qudsi di atas .

Syahadatul Tauhid atau penyaksian terhadap keesaan ALLAH dengan ucapan "La ilaha illallah" itu ,menuntut beberapa hak ,beberapa ketentuan ,dan beberapa kewajipan .
Demikian juga Syahadaturrisalah "wanna Muhammadar Rasullallah," menuntut kewajipan mengikuti petunjuk baginda dan melaksanakan sunahnya .

Barang siapa yang telah memenuhi syarat syarat tersebut dengan penuh keikhlasan ,ia berhak mendapat balasan syurga sebagaimana yang telah dijanjikan .

Mengenai keesaan ALLAH ,dalam al quran terdapat beberapa ayat sebagai berikut :

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya) ...
(Al-Baqarah 2:255

... Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa ..,
 (An-Nisaa' 4:171)


...Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(A-li'Imraan 3:6

...Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa... 
(Al-Maaidah 5:73)

Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya...
 (Al-An'aam 6:102


Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik.
(Taha 20:8)


"Allah! - Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar ".
(An-Naml 27:26


"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
(Taha 20:14)


Demikianlah semoga ALLAH SWT mengukuhkan di dalam jiwa kita kepercayaan tauhid dan iman yang benar dan ikhlas ,dan semoga Dia menjadikan kita termasuk golongan orang orang yang taat dan mengerjakan kebajikan .Amin 

sumber hadis qudsi 
penerbit Victory Agancie
bab 6 Jalan Ke Syurga ms47-52






marilah sama sama kita perbanyakkan kalimah tauhid di dalam hati kita dengan penuh keikhlasan ,semoga ALLAH akan memberi kekuatan kepada kita untuk melaksanakan segala perintahNya dan dapat mengekang segala laranganNya 

wallahhualam

in sya allah ...


Wednesday 15 May 2013

0 biar gambar berbicara







Kata Imam Ghazali, beza antara orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir, ialah umpama orang yang mati dengan orang hidup di sisi ALLAH SWT . Sudah tentu ada beza antara mayat dengan manusia. Besar sekali bezanya! Maka, begitu jugalah besarnya beza antara manusia yang berzikir dengan yang tidak, kerana zikir ialah oksigen kepada hati. 

Oleh itu, orang yang tidak memberi hatinya bekalan oksigen, maka tidak hairanlah hatinya mati. Mati hati, sebenarnya itu adalah kematian yang paling ngeri.

Marilah sama sama kita perbanyakkan mengingati ALLAH SWT di dalam hati dengan IKHLAS samada dengan zikrullah atau solat  

wallahualam  

in sya allah ...


Monday 13 May 2013

0 Dan Tuhanmu memberi ilham kepada ...



Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.

Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.
[Al-Nahl 68-69]


Bagaimana ?
Bolehkah kita taat dan patuh ?
Taat dan patuh kepada perintah ALLAH dan RASUL dengan IKHLAS ...

Jelas firman ALLAH SWT pada ayat di atas 
lebah lebah itu hanya ikut sahaja apa yang diperintah oleh ALLAH kepada mereka 
akan tetapi kita yang bernama manusia dan mempunyai akal fikiran lebih suka ingkar akan segala perintah perintah ALLAH 
dan suka memilih milih mana perintah perintah ALLAH yang sesuai dengan kehendak nafsu diri sendiri barulah hendak dilaksanakan jika ianya tidak sesuai dengan kehendak nafsu diri sendiri maka tidak akan ditunaikan perintah ALLAH itu (aku juga turut mengalami perkara ini)


Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
[AL-Baqarah 209]




Itu menunjukkan bahawa di dalam hati aku masih ada yang lebih tinggi kedukkannya daripada ALLAH  kerana aku masih mementingkan kehendak nafsu diri sendiri daripada menuruti secara bulat perintah ALLAH  
ia juga menunjukkan bahawa tauhid aku kepada ALLAH masih longgar 
begitu juga dengan keikhlasan aku di dalam setiap amal perbuatan masih tidak 'solid' kerana ALLAH 

aku lebih banyak mengikut akal fikiran yang logik daripada mengikut hati yang sentiasa bermohon kepada ALLAH di dalam setiap permasalahan 
kerana akal fikiran akan lebih cenderung kepada nafsu umarah 
di sinilah pentingnya kenapa kita mesti mengingati ALLAH SWT setiap masa di dalam hati 
kerana hati yang sentiasa mengingati ALLAH akan terpimpin pada jalan yang dirahmati dan di redhai ALLAH SWT 
dan harus berhati hati kerana apabila kita dah terbiasa mengikut akal fikiran logik dan merujuk kepada diri sendiri di dalam setiap permasalahan dan yakin pada diri bukannya yakin kepada ALLAH ianya akan membuatkan kita jadi syirik kepada ALLAH ,syirik khafi iaitu syirik tersembunyi 


"Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riya'. Pada hari kiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman, "Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?
(Riwayat Imam Ahmad)

"Syirik yang dilakukan umat ku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu yang besar." 
(Riwayat Al Hakim)


walaupun ianya syirik halus tetapi ia tetap syirik menduakan ALLAH
dan ALLAH tidak akan ampunkan dosa orang yang menduakanNya 



Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
[An-Nisaa 116]



Oleh itu kita haruslah mengenal diri kita sendiri 
bagaimana hendak mengenal diri kita ?
sentiasalah selaraskan kehendak kita mengikut kehendak ALLAH
dan sentiasalah meletakkan diri kita pada tempat yang sesuai mengikut al quran dan hadis 
kerana di dalam diri kita terdapat banyak pemandu 
pemandu yang sentiasa memandu agar kita tergelincir pada jalan ALLAH dan RASUL
jadi kita harus menguasai raja kepada segala pemandu agar kita dapat memimpin pemandu pemandu yang lain agar taat dan patuh kepada segala perintah ALLAH dan RASUL 
dan perjalanan kita mencari rahmat dan redha ALLAH juga tidak terbabas dari landasan yang hak di sisi ALLAH dan RASULNya

dengan memperbanyakkan KALIMAH TAUHID di dalam hati dengan IKHLAS juga dapat membantu kita menselaraskan kehendak kita mengikut kehendak ALLAH di dalam kehidupan seharian selain menjaga solat yang fardhu 

wallahualam 

in sya allah ...




Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates