Friday, 31 May 2013

0 hakikatnya apa ?




SOALAN

Bagaimana pandangan Imam al-Ghazali berkenaan dengan hakikat tauhid?

JAWAPAN

Dalam kitab al-Ihya’, Imam al-Ghazali telah menghuraikan hakikat tauhid (Ibid. Jil. 4, hal. 212) dan telah mengemukakan pendapatnya dalam masalah ini. Beliau telah membahagikan tauhid kepada empat peringkat: 

1. Mengucapkan “Lailahaillallah” dengan lidahnya, tetapi hatinya lalai daripada memahami maknanya. Ini adalah tauhid orang munafik.
2. Ia mempercayai makna lafaz seperti yang dipercayai oleh orang Islam. Ini adalah kepercayaan orang awam.
3. Menyaksikan yang demikian itu dengan cara kasyaf dengan perantaraan cahaya kebenaran. Ini adalah maqam orang yang hampir (muqarrabun), iaitu ia melihat perkara yang banyak itu adalah lahir daripada yang satu.
4. Ia tidak melihat yang wujud ini kecuali satu sahaja. Ini adalah penyaksian siddiqin yang dinamakan oleh ahli tasawwuf dengan fana dalam tauhid.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa martabat yang keempat ini adalah yang paling tinggi, kerana orang itu tidak melihat dalam syuhudnya kecuali satu, ia tidak melihat semua yang wujud itu banyak bahkan ia adalah satu. Ini adalah martabat yang paling tinggi dalam tauhid.

SOALAN    
                                                                                            
Apakah yang dimaksudkan dengan mujahadah? 

JAWAPAN 

Mujahadah adalah saluran terpenting bagi seorang untuk mencapai tujuannya yang suci. Dengan kekuatan mujahadah ini, akan dapat menghancurkan runtunan dan pujukan nafsu dan lintasan-lintasan jahat di hati. Ibrahim bin Adham berkata: 

Seseorang itu tidak akan dapat mencapai darjat solihin melainkan ia terlebih dahulu mestilah melepasi enam halangan. 
Halangan pertama ialah pintu nikmat akan terkunci dan pintu kesusahan akan dibuka. 
Kedua, pintu kerehatan akan ditutup dan pintu usaha keras akan dibuka. 
Ketiga, pintu kebanggaan akan ditutup dan pintu kehinaan akan dibuka. 
Keempat, pintu tidur akan ditutup dan pintu berjaga malam akan dibuka. 
Kelima, pintu kekayaan akan ditutup dan pintu kefakiran akan dibuka. 
Keenam, pintu angan-angan akan ditutup dan pintu persediaan menghadapi maut akan dibuka. 

Gambaran perjalan yang dijelaskan sebentar tadi adalah merupakan satu jihad yang sukar. Bahkan ia juga adalah satu langkah untuk mencapai kerehatan yang sebenar dengan ma’rifatullah. Hakikat ma’rifatullah inilah yang menjadi matlamat yang diburu oleh mukmin yang berakal di dunia ini. Tidak ada di sana yang paling tinggi, cantik, indah, bahagia dan kekal selain daripada seorang insan itu dapat mengenal Pencipta alam semesta yakni Allah. Adakah seorang insan itu akan kehilangan sesuatu lagi jika ia telah sampai ke matlamat tertinggi itu? 

Sesungguhnya bermujahadah melawan godaan nafsu adalah satu-satunya jalan bagi seorang insan itu untuk menang mengawal hawa nafsunya. 
Hakikat ini dijelaskan oleh firman Allah s.w.t dalam surah al-Ankabut, ayat 69 yang bermaksud:  

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”  
Seorang murid itu boleh dikatakan kuat dan mantap ma’rifahnya kepada Allah selagi dia belum dapat membebaskan dirinya daripada godaan nafsu syahwat dan keinginan nafsu jahatnya. Para sufi mengatakan bahawa jihad melawan nafsu adalah jihad akbar, kerana jihad menentang hawa nafsu ini samalah ertinya memerangi musuh yang tidak kelihatan. Ia juga dianggap satu peperangan yang sangat sukar kerana terpaksa menggunakan senjata-senjata yang luar biasa.

aku menyeru diri aku sendiri dan pembaca pembaca blog MK 
marilah kita mentauhidkan ALLAH SWT dengan sebenar benar tauhid 
tidak menyekutukan ALLAH walau dengan diri kita sendiri 
perbanyakkanlah kalimah tauhid di dalam hati kita dengan keikhlasan mencari rahmat dan redha ALLAH semata mata 

wallahhualam

in syaa allah ...

0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates