"Sesungguhnya Akulah ALLAH ,tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Aku .Rahmat (kasih sayang)Ku mendahului kemurkaanKu .Barang siapa yang naik saksi bahawa tiada Tuhan sebenarnya berhak disembah kecuali ALLAH dan Nabi Muhammad adalah hamba dan utusanNya ,nescaya ia berhak mendapat syurga."
(hadis qudsi riwayat ad-Dailami dari ibnu Abbas r.a)
Erti rahman dalam perkataan 'rahmati' adalah kasih sayang .
Rahman atau rahmat manusia berbeza dari Rahmah ALLAH.
Pada manusia rahmah bererti kasih sayang yang mendorong seseorang untuk melakukan kebaikkan atau kebajikan kepada orang yang dikasihi .
Ianya kadang kadang digunakan untuk perbuatan kebajikan sahaja ,tanpa ada dorongan kasih sayang .
Rahmat dari ALLAH bererti pemberian nikmat dan kurnia bukan dalam erti belas kasihan .
ALLAH bernama dan bersifat 'Ar-Rahman' yang kasih sayangNya meliputi segala yang ada ,dan bersifat 'Ar-Rahim' yang menunjukkan kasih sayang ,kurnia dan rahmatNya yang banyak .
Asal erti 'ghadab' dari perkataan 'ghadaba' ,ialah meluap dan mendidihnya darah dalam hati atau jantung ,yang begitu cepat naik ke kepala ,sehingga dapat dilihat pengaruhnya pada muka dan matanya yang menjadi merah padam .
Musuhnya atau orang yang dimarahi itu menjadi kecil pada pandangannya ,seolah olah dapat ditelannya bulat bulat .
Telinganya juga kelihatan merah dan kadang kadang tidak dapat mendengar nasihat orang lain ,mulutnya kelihatan gementar dan menyemburkan cacian makian dan sumpah seranah dan kata kata yang tidak sopan ,otak dan akal fikirannya hilang pertimbangan yang waras ,kerana dikuasai oelah amarahnya yang melampaui batas .
Darah yang mendidih itu juga merebak ,sehingga tangannya gementar dan mengepal serta diacukan kepada lawannya .
Kakinya pun membuat langkah persiapan untuk menyerang .
Kerana itulah Nabi SAW menyebutkan dalam hadis
"Jagalah dirimu dari ghadab (marah) kerana ia laksana bara api yang dinyalakan di dalam hati manusia .Bukankah kamu lihat mengembangnya leher dam merahnya kedua biji matanya ?"
Adapun kemurkaan ALLAH ,dijelmakan dalam bentuk seksaan yang diberikan kepada orang yang bersalah ,sehingga orang itu merasa gundah ,sakit dan sebagainya ,atau orang itu dikembalikan ke jalan yang diredhai ALLAH.
ALLAH telah memberitahu hambaNya bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar benarnya kecuali Dia .Juga Dia memberitahu bahawa sifat kasih sayang kepada hambaNya berupa pahala dan kurniaNya didahukan daripada hukuman dan seksaanNya .
Kerana itulah ALLAH berirman dalam surah al-Hijr
"Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).
Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya)."
(Al-Hijr 15:49-50)Didahulukan rahmat atas kemurkaanNya itu adalah kurnia dan kemurahanNya .
Barang siapa yang beriman dan percaya kepadaNya ,iman yang benar dan percaya dengan bersungguh sungguh ,serta mengaku dan menetapkan keesaanNya ,mengaku dan menetapkan dengan sepenuh hatinya kerasulan Nabi Muhammad serta menerima dan melaksanakan apa sahaja yang datang dari baginda ,maka ALLAH SWT akan menempatkannya di dalam syurga ,suatu nikmat dan kurnia yang besar lagi kekal dan abadi .
Dapatlah kita ambil pengajaran bahawa sudah tentu tidaklah cukup dengan hanya semata mata penyaksian lisan sahaja ,sebab 'iman' adalah iktikad dan percaya dengan hati ,pengakuan dengan lidah ,dan perlaksanaan dengan seluruh anggota .
Kalau sudah percaya dengan hati akan keesaan ALLAH dan diucapkan pula pengakuan itu dengan lidah (dua kalimat syahadat) ,hendaknya ia melaksanakan semua ajaran berupa perintah dan larangan ALLAH dengan tulus ikhlas dan sepenuh hati .
Dengan demikian barulah ia berhak mendapat syurga seperti yang telah dijanjikan dalam hadis qudsi di atas .
Syahadatul Tauhid atau penyaksian terhadap keesaan ALLAH dengan ucapan "La ilaha illallah" itu ,menuntut beberapa hak ,beberapa ketentuan ,dan beberapa kewajipan .
Demikian juga Syahadaturrisalah "wanna Muhammadar Rasullallah," menuntut kewajipan mengikuti petunjuk baginda dan melaksanakan sunahnya .
Barang siapa yang telah memenuhi syarat syarat tersebut dengan penuh keikhlasan ,ia berhak mendapat balasan syurga sebagaimana yang telah dijanjikan .
Mengenai keesaan ALLAH ,dalam al quran terdapat beberapa ayat sebagai berikut :
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya) ...
(Al-Baqarah 2:255)
... Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa ..,
(An-Nisaa' 4:171)
...Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(A-li'Imraan 3:6) ...Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa...
(Al-Maaidah 5:73)
Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya...
(Al-An'aam 6:102)
Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik.
(Taha 20:8)
"Allah! - Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar ".
(An-Naml 27:26)
"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
(Taha 20:14)
Demikianlah semoga ALLAH SWT mengukuhkan di dalam jiwa kita kepercayaan tauhid dan iman yang benar dan ikhlas ,dan semoga Dia menjadikan kita termasuk golongan orang orang yang taat dan mengerjakan kebajikan .Amin
sumber hadis qudsi
penerbit Victory Agancie
bab 6 Jalan Ke Syurga ms47-52
marilah sama sama kita perbanyakkan kalimah tauhid di dalam hati kita dengan penuh keikhlasan ,semoga ALLAH akan memberi kekuatan kepada kita untuk melaksanakan segala perintahNya dan dapat mengekang segala laranganNya
wallahhualam
in sya allah ...
0 comments:
Post a Comment