Wednesday, 1 May 2013

0 berhati hati jangan sampai kita terjerumus




Islam - sebagaimana yang telah dijelaskan- adalah agama Tauhid yakni agama yang berasaskan iman kepada keEsaan Allah Yang Maha Kuasa.  Maka ukuran sempurna atau tidaknya Islam seseorang adalah bergantung kesempurnaan Tauhidnya.
Tauhid yang sempurna itu apabila ke dalam hati nurani seseorang akan melahirkan kesan-kesannya kepada seluruh tingkah laku dan bawaan hidupnya, dan akan memberi kesedaran kepadanya untuk sentiasa waspada terhadap godaan syaitan dalam setiap amalannya supaya ia tidak diselewengkan kepada yang lain dari Azza wa Jalla. 
Boleh dikatakan sebahagian besar dari orang-orang yang mengaku dirinya beriman dan bertauhid kepada Allah dan mengakui bahawa Allah jualah yang mencipta mereka dan menciptakan langit dan bumi tetapi tauhid mereka tidak penuh membulat kepada Allah Yang Maha Esa kerana ada di antaranya -semasa mengerjakan ibadat- tujuan ibadat itu tidak bersih kepada Allah semata-mata.
Ada pula yang menumpukan taat setia kepada Allah dengan menjalankan hukum-hukum syariat-Nya tetapi serentak dengan itu mereka mengubah hukum syarak itu dengan menokok tambah atau menguranginya menurut hawa nafsunya. Semuanya itu adalah merupakan syirik.
Bagi menjelaskan setakat mana buruknya akibat syirik itu, maka di bawah ini diturunkan beberapa ayat suci dan hadis Nabi mengenainya.
Di antara ayat-ayat itu:
Firman Allah Taala ertinya: "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Marilah supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Dia sesuatu pun ...'(151 Surah al-Maidah)
"... Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain) maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka ...." (72 Surah al-Maidah)
" ... Dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan lain Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh rombongan burung (sehingga ia hancur berkecai-kecai) atau dihumban oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan)" (31, Surah al-Hajj)
"Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (110 Surah al-Kahfi).
Ayat yang pertama: Menyatakan hukum melakukan syirik,  iaitu Allah s.w.t. mengharamkan manusia melakukan sebarang rupa syirik, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi. 
Ayat yang kedua: Menyatakan balasan buruk yang dijanjikan kepada orang yang melakukan syirik.
Ayat yang ketiga: Menggambarkan bagaimana dahsyatnya keadaan dan balasan orang yang melakukan syirik.
Ayat yang keempat: Menyatakan bahawa dengan amalan salih serta ketiadaan syirik sahajalah yang membolehkan seseorang berharap mendapat nikmat mengadap Tuhannya.
Perkara : Akibat Buruk Yang Akan Menimpa Orang Yang Melakukan Syirik
Dan di antara hadis-hadis pula:
5عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ مَاتَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا دَخَلَ النَّارَ. (البخاري ومسلم )
5- Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w, bersabda: "Sesiapa mati dalam keadaan melakukan sebarang syirik terhadap Allah,  masuklah dia ke dalam neraka. "
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kelima ini. menerangkan: 
Akibat buruk yang akan menimpa orang yang melakukan syirik. 
Huraiannya
Syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah Taala pada sifat "Uluhiyah"Nya atau sifat "Rububiyyah"Nya.
Sifat "Uluhiyah" Allah `Azza wa Jalla ialah sifatNya berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintahNya, ditumpui dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan dan menolak sebarang mala petaka dan perkara-perkara yang tidak diingini.
Sifat "Rububiyyah"Nya pula ialah sifat mentadbir dan menguruskan cara menjaga dan memelihara, mengasuh dan mendidik sekalian alam yang telah diciptakan-Nya, iaitu dengan mengadakan segala keperluan yang dihajati oleh wujud tiap-tiap satunya, mengatur dan menyusun undang-undang dan peraturan bagi kesuburan, perkembangan dan kesempurnaan masing-masing, serta menyatakan dan menunjukkan hukum-hukum halal haram dan sah batal untuk kebaikan jasmani dan kebahagiaan rohani manusia. 
Maka sesiapa yang menganggap bahawa mana-mana satu dari sifat-sifat itu ada pada sesuatu yang lain daripada Allah Taala nescaya ia telah melakukan syirik dengan Allah,  walaupun ia pada masa itu masih beriman kepada Allah.  Tentang ini Allah Taala berfirman dalam Surah Yusof, ayat 106. maksudnya: Meskipun kebanyakan mereka beriman kepada Allah dalam pada itu mereka tidak sunyi dari perbuatan syirik.
Dengan itu nyatalah amat buruknya seseorang mendewa-dewakan sebarang makhluk dengan mengasihinya dan menurut perintahnya sebagaimana ia mencintai dan mentaati Allah,  atau meminta dan mengharapkan hasil sesuatu hajat dari sesuatu makhluk atau dengan sesuatu cara,  kecuali setelah diketahui bahawa makhluk atau cara yang tersebut diharuskan oleh Allah bagi seseorang menggunakannya sebagai jalan,  sebab, atau alat untuk menjayakan maksudnya.
Demikian juga amatlah salahnya menerima sebarang undang-undang dan peraturan,  atau hukum-hakam yang diadakan oleh yang lain daripada Allah, kecuali sekadar yang berdasarkan aturan, kenyataan, atau pengajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Kesimpulan hadis ini, mengingatkan manusia daripada terjerumus ke dalam sebarang i'tiqad atau perbuatan syirik supaya terselamat daripada balasan buruk yang dijanjikan.

6عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ ... . ( البخاري ومسلم )
6- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhkan dan singkirkanlah perkara-perkara yang membinasakan. " Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Apakah dia perkara-perkara itu ya Rasulullah? " Baginda s.a.w.menjawab:  "(Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik terhadap Allah .
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang keenam ini memerintahkan supaya:
Menjauhi syirik dalam segala bentuknya.
Setelah kita mengetahui setakat mana buruknya akibat syirik,  maka dengan ini kita diperintahkan supaya menjauhi dan menyingkirkan segala jenis syirik terhadap Allah, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi. 
Syirik yang besar atau yang nyata itu ialah: mempercayai adanya sesuatu yang setara dan sebanding dengan Allah s.w.t., yang ditujukan kepadanya doa permohonan,  yang diuntukkan kepadanya satu-satu cara ibadat,  dan yang ditakuti bala bencananya.
Dengan adanya syirik yang demikian, maka akidah Tauhid orang yang melakukannya telah berbelah bagi, dan orang Musyrik inilah yang dijanjikan Allah dengan neraka. 
Syirik yang kecil atau yang tersembunyi itu pula ialah kepercayaan perkataan atau perbuatan yang menyebabkan berlakunya syirik terhadap kekuasaan atau undang-undang peraturan Allah. 
Syirik yang tersembunyi itu amat banyak,  di antaranya:
(1) Membesarkan diri sendiri ,yakin kepada diri tidak yakin kepada ALLAH dahulu ,merujuk segala hal kepada diri bukannya bermohon kepada ALLAH mencari penyelesaian
(2) Mempercayai sesuatu yang menjadi sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan baik atau buruk. 
(3) Menaruh perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain dari Allah.
(4) Menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain dari Allah.
(5) Bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama atausifat Allah.
(6) Mengatakan: Kalaulah tidak kerana pertolongan Allah dan pertolongan Si anu,  tentulah aku tidak berjaya. 
(7) Mengatakan: Kalaulah tidak kerana ayam berkokok, polis meronda atau sebagainya, tentulah rumahku dimasuki pencuri. 
(8) Melakukan sesuatu ibadat,  atau daya usaha pengorbanan, atau perjuangan bukan kerana menjunjung perintah Allah semata-mata, tetapi juga untuk tujuan-tujuan yang lain.

7عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً. ( الإمام أحمد )
7- Dari Mahmud bin Labid r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah? " Baginda s.a.w., menjawab:  "(Syirik yang kecil itu) ialah ria' - Allah Taala akan berfirman pada hari Qiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing "Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan ria' di dunia dahulu (untuk menunjukkan kepada mereka), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"
(Imam Ahmad)
8عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُما، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ أَشْرَكَ. ( الترمذي )
8- Dari Ibn Umar, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada nama atau sifat Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan syirik terhadap Allah. "
(Tirmizi)
9عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ. ( أبو داود والإمام أحمد)
9- Dari Ibn Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik"
( Abu Daud dan Imam Ahmad)
Hadis yang kesembilan ini menunjukkan bahawa tiga perkara yang tersebut adalah dari perkara-perkara syirik kecil atau syirik yang tersembunyi yang wajib dijauhi oleh tiap-tiap seorang. 
Pendeknya, tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram kiranya mengandungi perkataan yang tidak difaham maknanya, atau yang berdasarkan sihir,  atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis,  atau yang mengandungi benda-benda najis atau kotor. 
Dengan penjelasan ini, selesailah perselisihan yang nampak pada zahirnya berlaku di antara dalil-dalil yang melarang dan dalil-dalil yang membenarkan perkara-perkara yang tersebut.
Kesimpulannya, bagi menyelamatkan seseorang daripada syirik yang tersembunyi ini hendaklah:
(1) Jangan menggunakan sesuatu benda,  atau perkataan,  ataupun sesuatu cara sebagai sebab bagi mendapat kebaikan atau menolak perkara-perkara yang tidak diingini, kecuali setelah diketahui bahawa sesuatu itu telah berlaku adat Tuhan menjadikannya sebab bagi musabab yang tertentu, serta diketahui pula bahawa menggunakan sesuatu itu tidak dilarang oleh hukum Allah. 
(2) Jangan i'tiqadkan sesuatu sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan menghasilkan musababnya, bahkan memberi kesannya itu bergantung kepada takdir dan izin Allah Yang Maha Kuasa. 
(3) Jangan melakukan sesuatu amal ibadat dengan tujuan mendapat penghargaan atau balasan daripada yang lain dari Allah Azza wa Jalla
Perkara : Baginda S.A.W. Menjadi Tumpuan Pertanyaan Sahabat Sahabatnya
10عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الذَّنْبِ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ قَالَ أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ … . ( البخاري ومسلم )
10- Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Aku telah bertanya kepadaNabi Muhammad s.a.w.,: "Apakah satu-satunya dosa yang terbesar di sisi Allah.?" Baginda s.a.w., menjawab:  "(Dosa yang terbesar di sisi Allah itu) ialah: Engkau mengada-adakan bagi Allah sesuatu yang menyamaiNya pada hal Dia menciptakanmu..."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kesepuluh ini mengandungi:
(1) Rasulullah s.a.w. menjadi tumpuan pertanyaan sahabat-sahabat Baginda.
(2) Syirik adalah satu-satunya dosa yang terbesar.
Huraiannya:
Baginda s.a.w. menjadi tumpuan pertanyaan sahabat sahabatnya.
Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.  dalam masa menjalankan tugasnya membuka dengan seluas-luasnya pintu pertemuan dengannya kepada segalalapisan masyarakat untuk mereka menanyakan apa yang mereka musykilkan berhubung dengan soal-soal agama. 
Dalam hadis ini, Abdullah bin Mas'ud seorang sahabat Nabi yang terkenal bertanya kepada Baginda s.a.w. tentang dosa yang terbesar di sisi Allah,  iaitu satu perkara yang sangat mustahak diketahui oleh setiap orang
Islam dalam setiap masa,  lebih-lebih lagi dalam masa - yang boleh dikatakan-manusia leka dengan soal-soal hidup semata-mata, tidak mahu mengambil berat mempersoalkan perkara-perkara dosa dan pahala. 
Soal syirik. 
Bagi menjawab pertanyaan sahabat Baginda yang tersebut, Baginda s.a.w. menegaskan bahawa di antara dosa-dosa yang terbesar ialah melakukan syirik terhadap Allah s.w.t. serta Baginda s.a.w. menerangkan bahawa amatlah tidak patut seseorang itu mempersekutukan atau menyamakan Allah Taala dengan sesuatu yang lain, sedang Allah yang menciptakannya dari tiada kepada ada.
Orang Musyrik yang demikian bukan sahaja tidak patut menurut timbangan akal yang siuman,  bahkan telah berlaku zalim terhadap dirinya sendiri kerana dengan bawaan syiriknya ia telah mendedahkan dirinya kepada azab seksa yang tidak terperi yang akan diterimanya kelak.

0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates