Showing posts with label hadis qudsi. Show all posts
Showing posts with label hadis qudsi. Show all posts

Tuesday, 24 September 2013

0 mengajak yang bagaimana



"Serulah (manusia) berbuat kebajikan dan cegahlah mereka dari melakukan kemungkaran sebelum tiba saatnya di mana kamu berdoa kepadaKu ,tetapi Aku tidak mengkabulkan doa kamu .Kamu meminta sesuatu daripadaKu ,tetapi Aku tidak memberinya dan kamu meminta pertolonganKu ,tetapi aku tidak menolong kamu ."

(Hadis qudsi riwayat Dailami dari 'Aisyah r.a)

ALLAH SWT memerintahkan kepada kita untuk menyeru kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran .Kita diperingatkan oleh suatu masa di mana maksiat dan kemungkaran itu berleluasa .
Di saat itu tidak ada orang yang berani menegur dan melarang ,dan sebagai balasannya terjadi bala bencana dan ujian yang bertubi tubi dari ALLAH SWT .
Pada saat itu ,tidaklah berguna doa ,tidak bermanafaat permintaan kepada ALLAH dan tidak akan berhasil permohonan bantuan daripada ALLAH ,kerana tidak akan didengari lagi ,tidak akan diperhatikan dan tidak akan dipedulikan sedikit pun .

"Wahai sekalian manusia ! Sesungguhnya ALLAH SWT berfirman kepada kamu : "Serulah  manusia melakukan kebajikan dan cegahlah mereka dari perbuatan mungkar sebelum datangnya saat di mana kamu berdoa tapi Aku tidak mengurniakannya kepada kamu ,kamu meminta daripadaKu ,tapi Aku tidak akan mengabulkannya ,kamu memohon pertolongan daripadaKu ,tapi aku tidak menolong kamu ."

(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban dalam sahihnya dari Nabi SAW)

Dalam hadis qudsi di atas terdapat isyarat agar setiap kejahatan dan kemaksiatan dalam masyarakat mestilah dicegah atau diubah di saat kejahatan itu bermula .Kalau tidak dicegah ,akan menular menjadi penyakit kronik yang akan mengakibatkan kehancuran ,bahkan akan menimpa mereka yang tidak melakukan kejahatan tersebut .

Rasullallah SAW bersabda

"Apabila manusia melihat kemungkaran dan ia tidak berusaha mengubahnya ,ditakuti ALLAH akan menimpakan azab siksaanNya secara menyeluruh ."

Banyak contoh contoh yang terjadi dalam sejarah tentang kehancuran sesuatu kaum atau bangsa kerana mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar .ALLAH mengemukakan contohnya mengenai nasib Bani Israil dari abad ke abad ,seperti diterangkan dalam al quran

Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.
Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.
(surah al maidah 78-79)

Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!
(surah at takatsur 8)

Amar makruf dan nahi mungkar  itu adalah satu perjuangan yang memerlukan kekuatan hati dan keteguhan pendirian kerana pada umumnya pekerjaan ini menghadapi risiko dan bahaya terutama jika berhadapan dengan kekuatan kekuatan yang merupakan 'tembok' tebal .

Tetapi walaupun tugas itu sangat berbahaya namun ianya mulia di hadapan ALLAH .Membasmi kemungkaran adalah satu jihad ,iaitu satu perjuangan suci yang diredhai ALLAH SWT .

Perhatikan hadis berikut

"Jihad yang paling utama ialah menyampaikan kebenaran (hak) terhadap penguasa yang zalim ."

(Hadis riwayat Abu Daud ,Tirmizi dan Ibnu Majah r.a)

Semoga ALLAH memberi kekuatan kepada kita untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar sehingga terhindar dari malapetaka berleluasanya kemungkaran tersebut .Berilah mereka taufik dan hidayat untuk kembali ke jalan yang benar .Amin

rujukkan hadis qudsi
terbitan victory Agencie
bab 63 menyuruh kebaikkan dan mencegah kemungkaran
ms 485-488


p/s
janganlah kita sekutukan ALLAH SWT
marilah kita mantapkan tauhid kepada ALLAH dengan memperbanyakkan kalimah tauhid di dalam hati dengan ikhlas
LA'ILLAH  HA'ILLALLAH  MUHAMMADA RASULLALLAH
teruskanlah di dalam hati kita


Thursday, 19 September 2013

0 MANUSIA SANGAT MEMERLUKAN



MUTIARA HADIS-HADIS QUDSI


Petikan ini adalah salah satu bab yang dipetik dari terjemahan buku karangan Imam Al-Ghazali berjudul 'Mutiara Hadis-Hadis Qudsi - Renungan dan pengajaran yang menyentuh Qalbu'. Saya cuma menyalin semula sahaja.
Allah SWT berfirman:
Ertinya: "Wahai sekalian manusia, carilah (dekatilah) Aku sekadar hajat kamu kepada-Ku dan berbuat dosalah kamu sekadar kesabaran kamu tinggal di dalam neraka. Janganlah kamu memandang umur kamu yang masih panjang, rezeki kamu yang sekarang serta dosa-dosa kamu yang tertutupi. Tiaptiap sesuatu pasti binasa, melainkan wajah-Nya (Zat-Nya), Dialah yang berhak menghukum dan kepada-Nya-lah kamu semua dikembalikan."

Carilah Aku sekadar kamu memerlukan Aku

Allah SWT berfirman:
"Wahai sekalian manusia, carilah (dekatilah) Aku sekadar hajat kamu kepada-Ku."
Betapa cantik dan mendalam kata-kata Allah ini. Allah SWT berfirman: "Carilah (dekatilah) Aku sekadar hajat kamu kepada-Ku." Kita disuruh mencari atau mendekati Allah sekadar hajat dan keperluan kita kepada-Nya.
Seolah-olah nampak sedikit sahaja. Namun cuba bayangkan betapa banyak keperluan kita kepada Allah. Bererti kita perlu mencari atau mendekati Allah setiap saat dan sepanjang masa.

Lakukanlah maksiat sekadar ketahanan kamu diseksa

Allah SWT berfirman:
"Dan berbuat dosalah kamu sekadar kesabaran kamu tinggal di dalam neraka."
Allah SWT mencabar kita. Silakan derhaka atau berbuat maksiat kepada Allah, tetapi ingat, sekadar kesanggupan kamu menahankan seksa neraka. Cubalah bakar jari telunjuk anda dengan api lilin selama satu minit. Cuba bayangkan pula panasnya api neraka. Bagaimana kalau anda diseksa di neraka selama satu hari, satu minggu, satu bulan atau satu tahun? Kalau begitu fikirlah dahulu sebelum berbuat dosa.

Jangan melihat umur kamu yang masih panjang

Allah SWT berfirman:
"Janganlah kamu memandang umur kamu yang masih panjang, rezeki kamu yang sekarang serta dosa-dosa kamu yang tertutupi. "
Jangan melihat umur kamu yang masih panjang, maksudnya masih panjang menurut anggapan kamu. Ramai orang beranggapan bahawa umurnya masih panjang. Padahal orang muda yang masih sihat pun ramai yang mati secara tiba-tiba. Rezeki hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah.
Begitu juga tentang dosa-dosa yang tertutupi. Memanglah Allah tidak mendedahkan dosa-dosa orang yang berbuat dosa. Maksudnya orang yang banyak dosa tidaklah dijadikan sakit-sakit, miskin, menderita dan sebagainya. Namun orang yang banyak dosa itu jangan merasa aman daripada seksa Allah, tetapi hendaklah dia segera bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah.

Friday, 7 June 2013

0 kita ahli apa ,boleh periksa di sini



AHLI WARAK

"Wahai Musa ! Sesunggunya hambaKu tidak akan menemuiKu di medan pengadilan hari kiamat kelak ,kecuali pada saat Aku periksa apa yang ada padanya dan kecuali orang orang yang warak .Aku segan kepada mereka dan Aku  hormati mereka dan Aku masukkan ke dalam syurga tanpa hisab ."

(Hadis qudsi riwayat Al-Hakim ,at-Tarmizi dalam kitabnya "Nawadirul Usul" dari Abdullah ibnu Abbas r.a)

ALLAH SWT memberitahu kepada kita bahawa Dia berkata kepada Nabi Musa a.s  tentang hisab di hari akhir .Setiap hamba pasti diperiksa dan diselidiki apa yang ada padanya ,baik kebajikan mahupun kejahatan .
Pemeriksaan dilakukan dengan amat teliti ,sehingga perkara yang sekecil kecilnya .
JIka seseorang didapati telah melakukan kebaikkan dan kebajikan ,ALLAH akan membalasnya dengan yang lebih baik kerana ALLAH Maha Kaya ,Maha Pemurah lagi Maha Pengasih .

Bila seseorang didapati telah melakukan kejahatan dan kederhakaan ,ALLAH akan membalasnya dengan yang setimpal dengan dosanya : 

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
(Az-Zalzalah 99:7-8)

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.
(Al-Baqarah 2:81-82


Didalam hadis di atas disebutkan "pemeriksaan" padahal ALLAH SWT Maha Mengetahui apa yang tersembunyi di dalam lubuk hati setiap seorang hambaNya .
Perkataan itu memperlihatkan betapa telitinya ALLAH SWT memeriksa hambaNya sehingga benar benar adil dalam memutuskannya .

Selanjutnya dalam pemeriksaan dan penyelidikkan pada hari kiamat itu ada yang mendapat pengecualian dari ALLAH SWT  ,iaitu orang orang yang warak .
Mereka ini adalah orang orang yang bertakwa kepada ALLAH SWT tanpa mencampur adukkan amalan yang baik dengan amalan yang jahat ,menjauhi perbuatan yang syubhat ,apa lagi yang terang terang haram .
Mereka dapat menahan diri dari perkara perkara yang merosakkan ,dan benar benar memilih kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia .Mereka itulah orang orang yang tidak mendapat pemeriksaan ,kerana ALLAH SWT tidak merasa perlu memeriksanya lagi ,mereka ditempatkan pada tempat kehormatan dan kebesaran dan lebih dari itu ,mereka dimasukkan kedalam syurgaNya tanpa melalui hisab .

Dalam sejarah diungkapkan bahawa Abu Bakar  as Siddiq terkenal sebagai ahli warak .
Beliau seorang yang amat teliti mengenai soal pakaain dan makanan .
Apabila dihidangkan makanan ,beliau tidak memakannya begitu sahaja ,tetapi diselidikinya terlebih dahulu apakah betul betul halal .
Beliau suka bertanya dari mana atau dari siapa ,dan bagaimana makanan itu didapati .Setelah beliau yakin bahawa makanan itu halal ,barulah dimakannya .
Tetapi kalau tidak atau beliau masih ragu ragu ,beliau tidak segan minta maaf untuk tidak memakannya atau mengucapkan terima kasih dan menahan diri daripadanya .

Pada suatu hari seorang hamba datang membawa dan menghidangkan makanan ke hadapan beliau .Kebetulan sekali pada saat itu beliau sedang dalam keadaan sangat lapar ,sebab memang benar benar tidak ada makanan di rumahnya .

Dengan pandangan seorang yang lapar melihat makanan yang kelihatan begitu enak ,beliau mulai makan ,tanpa bertanya dan menyelidik seperti biasa .
Setelah beberapa suap ,beliau teringat dan berhenti makan .Beliau terus memanggil hamba yang membawa dan menghidangkan makanan tadi dan bertanya tentang sumber makanan itu .
Dengan jujur hamba itu menceritakan perihal makanan itu .Ternyata menurut pendapat beliau ,makanan itu mengandungi sedikit syubhat (syubhat yang ringan) .
Dengan segera beliau lari keluar sambil menjolokkan telunjuknya kedalam kerongkong  untuk memuntahkannya kembali .Beliau mengusahakannya dengan bantuan air panas ,sehingga bersih .

Ketika beliau memuntahkan dan membersihkan mulutnya ,ada orang yang melihat dan bertanya :

"Apakah tuan lakukan semua ini disebabkan hanya satu suapan sahaja ?"
Beliau menjawab : "Demi ALLAH ,jika makanan itu tidak mahu keluar melainkan dengan nafasku ,nescaya aku akan keluarkan juga .Aku telah mendengar Nabi SAW berasbda ".

"Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram ,api neraka lebih berhak baginya ."
(Al -Hadis)

Mengenai "syubhat"  ini Rasullallah SAW bersabda :

"Sesunggunya yang halal itu jelas dan yang haram jelas .
Di antara keduanya terdapat beberapa hal yang syubhat ,yang tidak di ketahui oleh kebanyakkan orang .Barang siapa  yang menjaga dirinya dari perkara perkara yang syubhat ,sesungguhnya ia telah berjaya mencari kebersihan bagi agamanya dan nama baiknya sendiri .
Barang siapa yang terjatuh kepada perkara perkara syubhat ,sesungguhnya ia telah terjatuh kepada hal yang haram ,laksana seorang pengembala yang mengembalakan (binatang ternaknya) di sekitar tempat yang terlarang ,(sesekali) akan termasuk ke dalamnya .
Ketahuilah bahawa bagi setiap raja mempunyai tempat tempat larangan .
Ketahuilah ! Bahawa larangan ALLAH ialah segala yang diharamkanNya .
Ketahuilah ! Bahawa di dalam tubuh tiap orang terdapat segumpal daging yang apabila baik ,maka baiklah tubuh itu seluruhnya dan apabila rosak ,maka rosaklah tubuh itu seluruhnya .
Ketahuilah itu adalah hati."

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Nu'man bin Basyir)


Semoga ALLAH memberi taufik kepada kita untuk bertakwa kepadaNya dengan sebenar benarnya dan menjadi orang yang warak .Amin 


tidak lupa juga kita tingkatkan dan perbanyakkan kalimah tauhid di dalam hati dengan penuh keikhlasan mengharap rahmat dan redha hanya dari ALLAH SWT



sumber hadis qudsi 
Victory Agencie
bab 51 ahli warak ms409-413

Friday, 17 May 2013

0 jalan ke syurga



"Sesungguhnya Akulah ALLAH ,tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Aku .Rahmat (kasih sayang)Ku mendahului kemurkaanKu .Barang siapa yang naik saksi bahawa tiada Tuhan sebenarnya berhak disembah kecuali ALLAH dan Nabi Muhammad adalah hamba dan utusanNya ,nescaya ia berhak mendapat syurga."
(hadis qudsi riwayat ad-Dailami dari ibnu Abbas r.a)

Erti rahman dalam perkataan 'rahmati' adalah kasih sayang .
Rahman atau rahmat manusia berbeza dari Rahmah ALLAH.

Pada manusia rahmah bererti kasih sayang yang mendorong seseorang untuk melakukan kebaikkan atau kebajikan kepada orang yang dikasihi .
Ianya kadang kadang digunakan untuk perbuatan kebajikan sahaja ,tanpa ada dorongan kasih sayang .
Rahmat dari ALLAH bererti pemberian nikmat dan kurnia bukan dalam erti belas kasihan .

ALLAH bernama dan bersifat 'Ar-Rahman' yang kasih sayangNya meliputi segala yang ada ,dan bersifat 'Ar-Rahim' yang menunjukkan kasih sayang ,kurnia dan rahmatNya yang banyak .

Asal erti 'ghadab' dari perkataan 'ghadaba' ,ialah meluap dan mendidihnya darah dalam hati atau jantung ,yang begitu cepat naik ke kepala ,sehingga dapat dilihat pengaruhnya pada muka dan matanya yang menjadi merah padam .
Musuhnya atau  orang yang dimarahi itu menjadi kecil pada pandangannya ,seolah olah dapat ditelannya bulat bulat .
Telinganya juga kelihatan merah dan kadang kadang tidak dapat mendengar nasihat orang lain ,mulutnya kelihatan gementar dan menyemburkan cacian makian dan sumpah seranah dan kata kata yang tidak sopan ,otak dan akal fikirannya hilang pertimbangan yang waras  ,kerana dikuasai oelah amarahnya yang melampaui batas .

Darah yang mendidih itu juga merebak ,sehingga tangannya gementar dan mengepal serta diacukan kepada lawannya .
Kakinya pun membuat langkah persiapan untuk menyerang .

Kerana itulah Nabi SAW menyebutkan dalam hadis 

"Jagalah dirimu dari ghadab (marah) kerana ia laksana bara api yang dinyalakan di dalam hati manusia .Bukankah kamu lihat mengembangnya leher dam merahnya kedua biji matanya ?"


Adapun kemurkaan ALLAH ,dijelmakan dalam bentuk seksaan yang diberikan kepada orang yang bersalah ,sehingga orang itu merasa gundah ,sakit dan sebagainya ,atau orang itu dikembalikan ke jalan yang diredhai ALLAH.

ALLAH telah memberitahu hambaNya bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar benarnya kecuali Dia .Juga Dia memberitahu bahawa sifat kasih sayang kepada hambaNya berupa pahala dan kurniaNya didahukan daripada hukuman dan seksaanNya .

Kerana itulah ALLAH berirman dalam surah al-Hijr


"Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).

Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya)."
(Al-Hijr 15:49-50)


Didahulukan rahmat atas kemurkaanNya itu adalah kurnia dan kemurahanNya .

Barang siapa yang beriman dan percaya kepadaNya ,iman yang benar dan percaya dengan bersungguh sungguh ,serta mengaku dan menetapkan keesaanNya  ,mengaku dan menetapkan dengan sepenuh hatinya kerasulan Nabi Muhammad serta menerima dan melaksanakan apa sahaja yang datang dari baginda ,maka ALLAH SWT akan menempatkannya di dalam syurga ,suatu nikmat dan kurnia yang besar lagi kekal  dan abadi .

Dapatlah kita ambil pengajaran bahawa sudah tentu tidaklah cukup dengan hanya semata mata penyaksian lisan sahaja ,sebab 'iman' adalah iktikad dan percaya dengan hati ,pengakuan dengan lidah ,dan perlaksanaan dengan seluruh anggota .
Kalau sudah percaya dengan hati akan keesaan ALLAH dan diucapkan pula pengakuan itu dengan lidah (dua kalimat syahadat) ,hendaknya ia melaksanakan semua ajaran berupa perintah dan larangan ALLAH dengan tulus ikhlas dan sepenuh hati .

Dengan demikian barulah ia berhak mendapat syurga seperti yang telah dijanjikan dalam hadis qudsi di atas .

Syahadatul Tauhid atau penyaksian terhadap keesaan ALLAH dengan ucapan "La ilaha illallah" itu ,menuntut beberapa hak ,beberapa ketentuan ,dan beberapa kewajipan .
Demikian juga Syahadaturrisalah "wanna Muhammadar Rasullallah," menuntut kewajipan mengikuti petunjuk baginda dan melaksanakan sunahnya .

Barang siapa yang telah memenuhi syarat syarat tersebut dengan penuh keikhlasan ,ia berhak mendapat balasan syurga sebagaimana yang telah dijanjikan .

Mengenai keesaan ALLAH ,dalam al quran terdapat beberapa ayat sebagai berikut :

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya) ...
(Al-Baqarah 2:255

... Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa ..,
 (An-Nisaa' 4:171)


...Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(A-li'Imraan 3:6

...Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa... 
(Al-Maaidah 5:73)

Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya...
 (Al-An'aam 6:102


Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik.
(Taha 20:8)


"Allah! - Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar ".
(An-Naml 27:26


"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
(Taha 20:14)


Demikianlah semoga ALLAH SWT mengukuhkan di dalam jiwa kita kepercayaan tauhid dan iman yang benar dan ikhlas ,dan semoga Dia menjadikan kita termasuk golongan orang orang yang taat dan mengerjakan kebajikan .Amin 

sumber hadis qudsi 
penerbit Victory Agancie
bab 6 Jalan Ke Syurga ms47-52






marilah sama sama kita perbanyakkan kalimah tauhid di dalam hati kita dengan penuh keikhlasan ,semoga ALLAH akan memberi kekuatan kepada kita untuk melaksanakan segala perintahNya dan dapat mengekang segala laranganNya 

wallahhualam

in sya allah ...


Sunday, 21 April 2013

0 ALLAH SWT Hairan Kepada Mereka



ALLAH SWT Hairan Kepada Mereka


Berfirman ALLAH SWT yang bermaksud :

Wahai anak Adam :

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kematian tetapi masih bergembira

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap hari perhitungan tetapi masih mengumpul harta

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kehidupan di akhirat tetapi masih beristirehat

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap dunia dan kemusnahannya tetapi masih tenang dengannya

Aku hairan kepada mereka yang alim pada lidahnya ,tetapi jahil pada hatinya

Aku hairan kepada mereka yang sibuk bersuci dengan air ,tetapi hatinya tidak suci

Aku hairan kepada mereka yang sibuk dengan aib orang lain ,tetapi lupa terhadap dirinya sendiri

Aku hairan kepada mereka yang mengetahui sesungguhnya ALLAH itu mengawasinya ,tetapi masih boleh melakukan maksiat atau mengetahui sesungguhnya dia akan mati berseorangan ,akan memasuki kubur berseorangan dan akan dihitung keseorangan tetapi masih jinak bersama manusia

Ketahuilah ,tiada tuhan yang sebenarnya melainkan Aku ,dan sesungguhnya Muhammad adalah hamba dan utusanKu .


[petikan hadis qudsi : Kitab Imam Al Ghazali : al-Mawa'iz Fil Ahadis al-Qudsiah]


marilah sama sama kita kembali mentauhidkan ALLAH SWT dengan sebenar benar tauhid atau tunduk  merendahkan hati hanya kepada Nya dengan ikhlas dan memperbanyakkan kalimah
LA'ILLAH HA'IL LALLALLAH MUHAMMADAR RASULLALLAH



Saturday, 17 November 2012

0 janji ditepati yang sebenarnya



HAK ALLAH

ALLAH SWT berfirman dalam hadis qudsi :

"Tidaklah Aku akan memperhatikan hak hambaKu ,sebelum ia menunaikan hakKu ."

(Hadis qudsi riwayat Tabrani dalam kitabnya "Al-Kabir" dari Ibnu Abbas r.a)

ALLAH SWT menegaskan kepada kita ,bahawa Dia tidak akan memberikan perhatian kepada hak-hak hambaNya serta kemaslahatan dan keinginannya ,sebelum hamba itu memberikan perhatian dan memenuhi hak-hakNya serta menunaikan kewajipan-kewajipan yang dipikulkan kepadanya .

Adapun hak ALLAH SWT itu terbahagi kepada dua :

1-Hak yang berhubungan dengan amalan dan perbuatan zahir ,misalnya :
Menunaikan sembahyang ,puasa Ramadhan ,mengeluarkan zakat ,melakukan ibadah haji bagi yang mampu dan memenuhi syarat ,menjauhi dosa-dosa besar ,menghindari dan tidak mengekalkan dosa-dosa kecil ,memberikan pertolongan kepada hamba-hamba ALLAH dan perbuatan-perbuatan lain yang sudah ada perinciannya dalam syariat islam yang mulia .

2-Hak yang berhubung dengan iktikad (keimanan) dan amalan batin .
Setiap orang ,wajib beriktikad dan menyakini bahawa ALLAH SWT Maha Esa dalam ZatNya dan perbuatanNya ,satu-satunya tempat berlindung ,serta bersifat dengan segala sifat kesempurnaan tidak melahirkan ,tidak dilahirkan ,dan tidak ada bandinganNya dengan sesuatu pun .

Setiap orang wajib beriman bahawa ALLAH SWT telah mengutuskan dua puluh lima orang RasulNya untuk memberikan bimbingan dan contoh teladan kepada semua makhluk ,menerangkan tentang halal dan haram ,menggariskan cara-cara mencapai kebahgian dunia dan akhirat ,mengajak mereka melakukan kebaikkan ,menegakkan amar makruf nahi mungkar  .

Setiap orang wajib taat dan patuh kepada para Rasul ,beriman kepada mereka ,beriman kepada apa yang telah disampaikan oleh mereka dari Tuhannya ,beriman kepada kitab-kitab suciNya yang telah diturunkan .(Sebagaimana telah diturunkan kepada mereka ,bukan yang telah dipalsukan) ,dan wajib pula beriman pada qada' dan qadar ,yang baik dan yang buruk dari ALLAH SWT .

Setiap orang wajib beriman ,dan beribadat kepada ALLAH SWT di atas segala-galanya dan menunaikan segala hakNya di atas ssegala hak ALLAH telah berfirman  :


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.



Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu.



Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.
(Adz-Dzaariyaat 51:56-58)


Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; 
(An-Nisaa' 4:36)


Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.
(Al-Bayyinah 98:5

Demikianlah hak-hak ALLAH SWT secara ringkas yang menjadi kewajipan atas hamba-hambaNya 

Adapun yang menjadi hak hambaNya atas ALLAH dapat kita terangkan sebagai berikut .

ALLAH SWT dengan rahmat dan kemuliaanNya ,akan mengambil berat tentang hambaNya ,menjaganya menutupi aurat kecelaannya ,menjamin rezekinya ,memberi taufik untuk beramal saleh ,menjadikannya dicintai makhlukNya ,memudahkan segala urusannya ,memperbanyakkan kebaikkan baginya ,menghapuskan keburukkan dan dosa ,memaafkan kekeliruannya ,meninggikan kedudukkannya di dunia dan di akhirat ,memberinya berbagai kurnia ,dan menghalangi daya upaya penyesatan syaitan ,sesuai dengan firmanNya :


Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).
(Al-Israa' 17:65)

Setelah manusia diciptakan ALLAH SWT ,tidaklah dibiarkanNya begitu sahaja ,tetapi untuk kepentingan dan keperluannya ,disediakan dan diserahkanNya seluruh alam semesta ini kepada mereka .

Nikmat yang diberikan ALLAH begitu banyak hingga tidak terhitung dan tidak terhingga ,sebahagian disebutkan dalam ayat-ayat sebagai berikut :


Bahkan siapakah yang telah mencipta langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan mereka (yang musyrik itu) adalah kaum yang menyeleweng dari kebenaran (tauhid).



Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat penetapan dan telah menjadikan sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya dan telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang menetapnya; dan juga telah menjadikan di antara dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi) yang memisahnya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik itu) tidak mengetahui.



Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).



Atau siapakah yang menunjukkan jalan kepada kamu dalam gelap-gelita darat dan laut, dan yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatNya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Maha Tinggilah keadaan Allah dari apa yang mereka sekutukan denganNya.



Atau siapakah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian dia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya). dan siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar ".
(An-Naml 27:60-64)

Demikianlah ALLAH SWT telah memberikan kepada kita sebahagian nikmatNya .Barang siapa yang telah dapat memenuhi hak-hakNya dengan mengerjakan dan melaksanakan kewajipan-kewajipannya ,sudah pasti ALLAH menyiramkan nikmat-nikmat kebaikan dan ihsanNya kepadanya dan memberinya taufik kepada yang disukai dan diredhaiNya .

Oleh kerana itu manusia wajib tekun dan tidak lalai ataupun alpa dari amal-amal yang saleh ,dan tidak membuang masa pada perkara-perkara yang tidak ada manafaatnya ,sehingga ia berhasil mencapai keredhaan dan taufik ALLAH .


Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
(Al-A'raaf 7:56)

Marilah kita tetap memohon taufik dan hidayatNya supaya kita sentiasa taat dan dapat menunaikan ibadat kepadaNya ,Amin 

sumber
hadis qudsi keluaran Victory Angecy
bab 56 hak allah 
ms441-447
Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates