KEUTAMAAN TAQWA
Taqwa adalah wasiat Allah kepada umat terdahulu dan umat terkemudian. Firman Allah SWT: Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah berwasiat (memerintahkan) kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan juga kepada kamu, bertaqwalah kepada Allah.” (An Nisa: 131) Taqwa juga adalah wasiat Rasulullah SAW kepada umatnya.
Baginda bersabda: Maksudnya: “Aku berwasiat kepada Engkau semua supaya bertaqwa kepada Allah, serta dengar dan patuh kepada pemimpin walaupun dia seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas aku kelak, dia akan melihat pelbagai perselisihan. Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk selepasku.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Termizi dan Majah)
Sabda Baginda lagi: Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa di mana sahaja kamu berada. Ikutilah setiap kejahatan (yang kamu lakukan) dengan kebaikan, moga-moga kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Riwayat At Termizi dan Ahmad)
Sabda Baginda: Maksudnya: “Bertaqwalah terhadap perkara-perkara yang diharamkan, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kuat ibadah; redhakanlah dengan apa yang diberi oleh Allah kepadamu, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kaya; buatlah kebaikan kepada jiran kamu, nescaya kamu akan dapat keamanan, kasihilah manusia sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri, nescaya kamu akan selamat; jangan banyakkan ketawa kerana memperbanyakkan ketawa itu mematikan hatihati.” (Riwayat At Termizi, Ibnu Majah dan Ahmad)
Sabda Baginda lagi: Maksudnya: “Bertaqwalah kamu kepada Allah, tunaikanlah sembahyang lima waktu, berpuasalah pada bulan Ramadhan, keluarkanlah zakat harta kamu, patuhi orang yang menjaga hal ehwal kamu, nescaya kamu akan masuk Syurga Tuhan kamu.” (Riwayat At Termizi, Ahmad dan Hakim)
Taqwa adalah wasiat para salafussoleh.
Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a. pernah berkhutbah:
“… maka sesungguhnya aku berpesan kepada kamu semua supaya bertaqwa kepada Allah, supaya kamu sentiasa memuji Allah dengan pujian yang patut kamu memuji-Nya dan kamu campurkan harap dan cemas serta kamu gabungkan bersungguh-sungguh meminta dengan permohonan.”
Sayidina Umar Al Khattab r.a. pernah menulis surat kepada anaknya Abdullah yang berbunyi:
“Amma ba’du, sesungguhnya aku berpesan kepada engkau supaya kamu bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya siapa yang bertaqwa kepada-Nya, nescaya Dia akan memeliharanya. Sesiapa yang memberi pinjaman kepada Allah (menafkahkan hartanya), nescaya Dia akan membalasnya. Sesiapa yang mensyukuri nikmat-Nya, nescaya Dia akan menambahkannya lagi. Jadikanlah taqwa tertegak di kedua matamu dan memenangi hatimu.”
Umar bin Abdul Aziz r.a. pernah menulis sepucuk surat kepada seorang lelaki. Surat itu berbunyi:
“Aku berwasiat kepadamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza wa Jalla yang mana Dia tidak akan menerima selainnya (taqwa) dan Dia tidak menurunkan rahmat melainkan kepada orang yang bertaqwa dan Dia tidak akan memberi pahala melainkan ke atas taqwa.”
Begitu juga, taqwa adalah wasiat sekalian para rasul a.s. seperti yang diceritakan dalam Al Quranul Karim: Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu menyeru Musa (dengan firman-Nya). Datangilah kaum yang zalim itu (iaitu) kaum Firaun: Mengapa mereka tidak bertaqwa?” (As Syu’ara: 10-11)
Maksudnya: “Kaum Nabi Nuh telah mendustakan para Rasul. Ketika saudara mereka, Nuh berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa?” (As Syu’ara: 105-106)
Maksudnya: “Kaum Aad telah mendustakan para rasul. Ketika saudara mereka, Hud berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa?” (As Syu’ara: 123-124)
Maksudnya: “Kaum Tsamud telah mendustakan para rasul. Ketika saudara mereka, Saleh berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa?” (As Syu’ara: 141-142)
Maksudnya: “Kaum Lut telah mendustakan para rasul. Ketika saudara mereka, Lut berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa?” (As Syu’ara: 160-161)
Maksudnya:“Penduduk Aikah telah mendustakan para rasul. Ketika Syuaib berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa?” (As Syu’ara: 176-177)
Demikianlah pentingnya taqwa dalam kehidupan manusia. Para rasul diutuskan untuk menyampaikannya kepada umat manusia di dunia ini. Orang yang tidak bertaqwa dikatakan zalim dan mendustakan para rasul. Ia menjadi sebab kaum Nabi Nuh, kaum Aad, kaum Tsamud dan kaum Nabi Lut dihancurkan dan dimusnahkan oleh Allah SWT.
TAQWA ADALAH KEMULIAAN
Allah sangat memerintahkan kita supaya menjadi orang-orang yang bertaqwa sehingga untuk itu Allah membuat bermacammacam janji muluk untuk sesiapa yang bertaqwa. Taqwa adalah sumber bagi segala kekayaan. Memiliki taqwa ertinya memiliki segala-galanya, yakni segala kesenangan lahiriah dan batiniah.
Orang bertaqwa, dengan jawatan tinggi yang disandang, dia tidak sombong. Dengan kekayaan yang dimiliki, dia tidak bakhil. Dengan ilmu yang tinggi, dia tidak berlagak dan takbur. Kalau dia miskin, dia akan redha dan tidak hasad dengki.
Alangkah hebat dan bijaknya orang yang memburu taqwa. Kerana taqwa mengatasi nilai pangkat, degree, gaji besar, banyak harta dan lain-lain lagi. Taqwa adalah satu darjat tertinggi di sisi Allah. Kalau manusia memperolehinya, jadilah dia semuliamulia dan seagung-agung manusia. Allah berfirman:
Maksudnya:“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah kamu yang paling bertaqwa.” (Al Hujurat: 13)
Cara hidup orang bertaqwa berbeza sekali dengan cara hidup orang yang tidak bertaqwa. Bezanya bagaikan langit dan bumi. Sama ada cara hidup dalam rumah tangga, dalam jemaah, dalam negeri atau dalam negara. Bagi orang-orang yang bertaqwa, banyak perkara yang pelik atau keramat atau maunah yang berlaku. Kalau ada masyarakat dan pemimpin dalam satu negara yang bertaqwa, maka Allah akan datangkan pertolongan ghaib yang luar biasa. Hingga jadilah negara itu seperti yang Allah SWT firmankan: Maksudnya: “Negara yang aman, makmur dan mendapat keampunan Allah.” (Saba’: 15)
BILA UMAT TIDAK BERTAQWA
Bila umat tidak bertaqwa, mereka lupakan Tuhan. Mereka menganggap Tuhan tidak ada peranan dalam hidup mereka. Dalam masalah hidup mereka, mereka tidak rujuk kepada Tuhan.
Rasulullah SAW ada bersabda: “Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang makan dengan rakus.”
Ada Sahabat bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam lemah sehingga musuh begitu kuat?”
Sabda Rasulullah, “Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi macam buih di laut?” Jawab Rasulullah, “Kerana ada dua penyakit iaitu mereka ditimpa penyakit Al Wahan.”
Sahabat bertanya pula, “Apakah itu Al Wahan?”
Rasulullah bersabda, “Cinta dunia dan takut mati.”
Oleh kerana umat Islam cinta dunia maka Allah hukum sedikit demi sedikit. Allah tarik rasa cinta pada Allah. Apabila sudah tidak cinta pada Allah, maka terhakislah cinta terhadap yang lain. Hilang cinta sesama umat Islam. Hilang cinta sesama keluarga. Hilang cinta antara suami isteri. Hilang cinta antara ayah, ibu dan anak. Kerana cinta itu semua berpunca dari cintakan Allah. Cintakan Allah-lah yang menghidupkan cintacinta seperti itu. Bila cinta kepada Allah berpindah kepada cinta dunia, maka cinta-cinta seperti itu akan hilang. Oleh itu, hilanglah perpaduan dan kasih sayang.
Umat Islam takut mati. Takut mati ini ialah takut mati kerana Allah. Umat Islam masih berani mati kerana dunia, kerana perempuan, kerana glamour, kerana nama atau kerana negara. Maka Allah cabut rasa takut dengan Allah dari hati-hati umat Islam dan Allah ganti dengan bermacam-macam rasa takut yang lain. Takut tidak makan, takut miskin, takut hilang kerja, takut hilang jawatan, takut isteri, takut tidak ada masa depan dan sebagainya.
Akibatnya umat Islam hilang wibawa, hilang kekuatan, berpecah-belah dan lemah. Umat Islam mundur di mana-mana, kalah dan terhina di mana-mana. Masalah inilah yang memeningkan para ulama dan pemimpin. Masing-masing tidak tahu kenapa umat Islam lemah dan terhina dan tidak tahu bagaimana untuk menjadikan umat Islam ini kuat. Oleh itu mereka hanya mencuba dan mengagak-agak. Buat cara trial and error. Walhal semuanya telah diterangkan dengan jelas melalui Hadis Rasulullah SAW.
Semua orang menganggap bahkan mereka yakin bahawa dunia ini dan manusia ini tidak akan selamat dan tidak akan bahagia kalau duit tidak cukup atau ilmu tidak tinggi atau jawatan tidak ada atau pangkat tidak tinggi atau pembangunan dan kemodenan tidak tercapai. Tegasnya kalau kita tidak tiru apa yang dibuat oleh Barat atau kita tidak jadi macam Barat, kita tidak akan selamat dan kita tidak akan bahagia. Maka berlumba-lumbalah kita mengejar Barat. Seluruh jentera kemodenan dan pembangunan dikerahkan ke arah tujuan itu. Semua menjadi yakin kalau kita jadi Barat, akan bahagialah dan akan senanglah hidup kita.
Hingga hari ini, sedikit sebanyak kita sudah membangun seperti yang kita kehendaki. Negara kita sudah agak cantik, berkat meniru pembangunan Yahudi dan Nasrani. Ekonomi kita pun seakan-akan sudah pulih, walau belum ada seorang pun umat Islam yang telah berjaya membangunkan supermarket atau megamarket di mana-mana shopping centre di negara kita. Walaupun masih banyak gerai-gerai orang Melayu di tepi-tepi jalan, ianya tidak kekal dan pendek umur. Walaupun ikan-ikan tangkapan orang Melayu banyak, ia masih menjadi sumber kekayaan orang tengah dan kaum kapitalis yang terus-menerus menghisap darah para nelayan. Dari segi ilmu, bolehlah dibanggakan memandangkan jumlah universiti yang kian bertambah dan orang Melayu yang berdegree bertambah ramai. Namun para ilmuan itu tetap tidak boleh hidup kalau tidak diberi gaji. Yang tidak diberi kerja jadi bebanan pula pada negara. Mereka tetap tidak mampu berdikari untuk membina perusahaan, pembangunan dan perindustrian sendiri yang bebas dari makan gaji. Di samping itu, akhlak para lulusan tinggi tetap tidak jauh bezanya dengan akhlak orang yang berkelulusan rendah. Sikap mereka sama sahaja bahkan ada yang lebih teruk lagi. Soalnya, hingga di tahap ini, adakah kita sudah mendapat masyarakat bahagia yang hidup penuh aman damai seperti yang kita idamkan?
Memandangkan pada gejala dan penyakit masyarakat yang bertimpa-timpa dan kian kronik dan masalah yang tidak habishabis, tentu kita belum boleh mengatakan masyarakat kita sudah bahagia. Memang mungkin ada individu-individu atau keluarga-keluarga yang bahagia, tetapi ini bukan majoriti. Ini tidak boleh mencorak masyarakat. Secara umumnya orang-orang yang ada kuasa tidak bahagia kerana dilanda penyakit gila kuasa. Orang kaya pula tidak bahagia kerana penyakit gila dunia. Orang miskin tidak bahagia kerana sering rindu pada kekayaan dan harta. Ulama-ulama tidak bahagia kerana takut periuk nasi terancam. Ibu bapa hilang bahagia kerana anak derhaka. Guru tidak bahagia dengan perangai anak muridnya. Pemudi-pemudi tidak bahagia kerana sering diganggu dan takut jadi andartu. Pemuda hilang bahagia kerana susah hendak kahwin dan bermacam-macam lagi penyakit yang sedang meragut kebahagiaan hidup semua golongan dalam masyarakat kita.
Dalam keadaan ini apakah peranan pembangunan, kemodenan, ekonomi, jawatan dan ilmu yang tinggi yang diagungagungkan tadi? Mampukah ia menyelesaikan segala masalah ini? Lihat di Barat! Kemodenan hidup telah menghantar manusia ke kancah kehidupan yang derita, sengsara dan bergelora. Keinsanan dan kemanusiaan rosak. Manusia sudah hilang moral, keperibadian dan tatasusila. Kasih sayang tidak ada dan jenayah berleluasa. Sebagai contoh, sudah ramai orang Barat yang lebih rela hidup berdua dengan anjing atau bertemankan kucing atau itik atau ayam daripada hidup dengan manusia lain. Kebahagiaan dengan sesama manusia sudah tidak ada. Kalau begitu, apalah erti segala pembangunan dan kemodenan yang dikejar itu?
KEBAHAGIAAN YANG SEBENAR
Kebahagiaan sebenarnya bukan terletak pada mata, tangan, kaki atau anggota-anggota lahir. Rasa bahagia itu tempatnya di hati. Kalau hati senang, dalam miskin pun boleh rasa bahagia. Sebaliknya kalau hati rosak binasa maka ilmu tinggi mana pun, kaya raya macam mana pun dan sebesar mana pun pangkat, tetap tidak akan hidup bahagia.
Itu bukti yang cukup jelas yang memang sudah menjadi pengalaman hidup semua orang. Kerana itu, untuk mencapai kebahagiaan hidup untuk individu mahupun untuk masyarakat, apa yang mesti diutamakan ialah mendidik individu-individu manusia dengan iman dan taqwa. Bukan dengan duit, pangkat, ilmu tinggi, kemewahan, pembangunan, kemajuan dan kemodenan.
Iman dan taqwa boleh membuatkan orang miskin terhibur dengan kemiskinannya. Iman dan taqwa boleh membuatkan orang kaya pemurah dengan hartanya dan rasa terhibur kalau dapat menyumbang kepada masyarakat dan menderma kepada fakir miskin. Iman dan taqwa boleh membuatkan orang-orang yang berkuasa rendah hati dengan rakyatnya serta terhibur kalau dapat berkhidmat pada rakyat.
Iman dan taqwa membuatkan anak-anak terhibur untuk taat kepada ibu bapa, isteri suka dan terhibur untuk taat kepada suami, pengikut terhibur mentaati para pemimpin, anak murid terhibur untuk hormat dan kasih kepada guru, si gadis jadi malu serta terhibur tinggal di rumah dan pemuda terhibur untuk memikul tanggungjawab dan menyumbangkan tenaga.
Bila manusia sudah berada dalam keadaan seperti ini, barulah duit banyak akan membawa bahagia. Barulah pangkat tinggi berguna dan segala kemodenan, kemajuan dan pembangunan akan menjadi sumber keselesaan hidup yang bermakna.
PERANAN NAFSU
Hari ini semua perkara yang disebutkan di atas belum berlaku. Kerana hanya memikirkan supaya negara maju, maka yang terus maju ialah negara bukan rakyatnya. Yang membangun ialah negara bukan orangnya. Masyarakat manusianya dibiarkan bermain dan berlalai dengan nafsu. Hati mereka tidak dihiasi dengan iman dan taqwa. Maka nafsulah yang menjadi raja dan yang menjadi Tuhan. Nafsulah yang mengatur kehidupan. Kehendak nafsulah yang diturutkan. Sebab itu masyarakat menjadi huru-hara dan kacau-bilau.
Negara dibangunkan, dimajukan dan dimodenkan. Ilmu dicari, ekonomi dibina, jawatan dikejar. Dalam masa yang sama, kehendak nafsu diikuti dan dituruti. Nafsu dilayan semahumahunya. Akhirnya nafsu menjadi subur. Bila nafsu subur maka ia berputik. Putik itu menjadi bunga. Bunga nafsu menjadi buah. Apakah buah nafsu? Buah nafsu ialah mazmumah. Buah nafsu ialah sombong, hasad, dengki, bakhil, pemarah, pendendam, panas baran, ujub, sum’ah, riyak, gila dunia, gila puji dan macam-macam lagi.
Nafsu sangat mendorong kepada kejahatan. Nafsu suka pada apa yang Tuhan larang dan benci pada apa yang Tuhan suruh. Nafsu benci kepada sembahyang, puasa, zakat, menolong orang dan bersedekah. Nafsu suka kepada berfoya-foya, membazir harta dan wang ringgit, arak, judi, zina dan lain-lainnya. Bila nafsu berperanan, susah hendak taat dengan Tuhan. Susah hendak tegakkan suruhan dan syariat Tuhan. Nafsulah penghalang utama kepada iman dan taqwa.
Buah-buah nafsu pula iaitu segala sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati, merosakkan hubungan sesama manusia. Sifat-sifat mazmumah seperti sombong, hasad, dengki, bakhil, pemarah, panas baran itulah yang menyebabkan berlakunya berbagai jenayah dan menjadi punca manusia bergaduh, berkelahi, berkrisis dan akhirnya membunuh dan berperang sesama sendiri. Hidup manusia rosak binasa. Manusia hidup penuh cemas, bimbang dan dalam ketakutan. Hilang kedamaian, keamanan, keharmonian, perpaduan dan kasih sayang. Musnahlah kebahagiaan.
IMAN DAN TAQWA SANGAT-SANGAT DITUNTUT
Iman dan taqwa adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Ia sangat penting untuk kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat. Hanya ibadah dan amalan orang yang bertaqwa sahaja yang diterima oleh Tuhan. Hanya orang yang bertaqwa sahaja yang akan selamat di sisi Allah.
Akan tetapi, oleh kerana taqwa itu telah disalahertikan, telah diambil ringan dan telah tidak lagi dititik beratkan, maka ia telah terpinggir dan dipandang sepi. Ia jarang sekali diperkatakan, tidak diajar dan orang tidak faham lagi tentang taqwa dan tuntutan-tuntutan untuk menjadi orang yang bertaqwa. Orang tidak lagi bercita-cita untuk menjadi orang yang bertaqwa. Orang tidak mahu lagi berkorban dan bersusah payah untuk mendapat taqwa. Taqwa sudah tidak lagi menjadi pakaian umat Islam. Taqwa sudah tidak lagi menjadi teras dalam kehidupan umat Islam dan tidak lagi menjadi matlamat dalam beragama.
NILAI TAQWA YANG SEBENAR
Taqwa terlalu mahal harganya. Ia aset bagi orang mukmin dunia dan Akhirat. Kalau umat Islam tahu akan nilai sebenar taqwa, mereka akan bergolok-bergadai untuk memperolehinya. Tetapi oleh kerana mereka tidak tahu, mereka menganggap taqwa itu tidak ada nilai apa-apa dan tidak berharga. Mereka tidak sanggup berusaha untuk mendapatkannya. Namun kalau kerana duit, harta, kuasa, nama, glamour dan perempuan, mereka sanggup bersusah payah dan berkorban apa sahaja.
Kalau kita setakat hendak menjadi Islam, itu mudah. Setakat hendak digelar sebagai orang Islam, itu senang. Hanya dengan mengucap dua kalimah syahadah, kita sudah Islam. Kalau sudah bersyahadah, orang tidak boleh kata seseorang itu kafir. Kalau orang itu mati, ditanam di kubur orang Islam. Tetapi setakat Islam sahaja tidak memadai. Ia belum selamat dan menyelamatkan. Kalau kita baca Quran dan Hadis, tidak ada satu ayat pun yang mengatakan bahawa orang Islam itu selamat. Allah dan Rasul tidak pernah menjanjikan apa-apa kepada orang yang hanya semata-mata Islam.
Taqwa adalah keselamatan bagi orang mukmin di dunia dan Akhirat. Kita kena bersungguh-sungguh mendapatkannya. Kita kena berhempas pulas. Kalau boleh guna duit untuk mendapatkan taqwa, gunalah duit. Kalau boleh guna tenaga, gunakanlah tenaga. Kalau boleh guna fikiran, gunalah fikiran. Kalau boleh guna ilmu, gunalah ilmu. Kalau perlu berkorban dan bersusah payah, kenalah berkorban dan bersusah payah. Kerana taqwa itu terlalu mahal dan sangat berharga.
Kalau kita sanggup berkorban dan bersusah payah untuk mendapat dunia, kekayaan, jawatan yang tinggi dan gaji yang besar, kenapa kita tidak sanggup berkorban dan bersusah payah untuk mendapat taqwa? Kalau kita sanggup mati, sanggup sakit, sanggup menempuh segala macam halangan, sanggup tinggalkan anak isteri, sanggup bertungkus-lumus mencari ilmu hingga sampai ke Eropah, England dan Mesir yang nilainya separas bumi, kenapa kita tidak sanggup bersusah payah untuk mendapatkan taqwa yang nilainya setinggi langit malahan lebih tinggi dari itu.