Sunday, 8 July 2012

0 uhud




Ghazwah / Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu, 15 Syawal, tahun ke-3 hijrah.

Sebab berlaku ghazwah ini ialah kerana kaum Quraisy ingin menuntut bela terhadap kekalahan dalam Perang Badar. Mereka membuat persiapan sehingga mereka benar-benar bersedia untuk memerangi Rasul s.a.w. di Madinah. Mereka keluar dalam angkatan tentera seramai 3,000 pejuang, tidak termasuk bilangan tentera Ahabisy.[1] Dalam angkatan ini terdapat 700 tentera berbaju perisai dan 200 pahlawan berkuda. Bersama mereka juga, 17 orang wanita termasuk Hindun binti 'Utbah, isteri Abu Suffian. Bapanya telah terbunuh dalam Ghazwah Badar.

Quraisy bergerak sehingga sampai ke tengah-tengah wadi menghala ke Uhud (sebuah bukit tinggi yang terletak dua batu di utara Madinah) bertentangan dengan Madinah. Mengikut pendapat Rasul s.a.w. dan beberapa orang sahabat, orang Islam tidak perlu keluar menghadapi mereka. Bahkan orang Islam hendaklah bertahan di dalam kota Madinah.

Sekiranya orang musyrik menyerang mereka, orang Islam akan menghalang mereka. Namun sebahagian pemuda-pemuda Islam serta sesetengah Muhajirin dan Ansor bersemangat untuk keluar dari Madinah dan melawan orang musyrik di tempat perhimpunan mereka. Khususnya mereka yang tidak turut serta dalam Ghazwah Badar dan tidak memperolehi kemuliaan berperang dalam ghazwah tersebut.

Lantaran itu, Rasulullah s.a.w. telah beralah kepada pendapat mereka. Baginda masuk ke dalam rumah, memakai baju perisai, seraya meletakkan dinding perisai di belakang tubuhnya dan memegang tombak di tangan. Kemudian Baginda keluar menemui orang Islam dengan menggantung pedangnya di leher. Mereka yang mencadangkan kepada Baginda untuk keluar berperang di luar Madinah telah menyesal, kerana mereka menjadi sebab memaksa Baginda melakukan tindakan yang bertentangan dengan pendapat peribadi Baginda. Mereka berkata kepada Rasul s.a.w.: "Kami tidak seharusnya menyalahi pendapat kamu. Oleh itu, buatlah apa yang kamu mahu, atau kamu duduk di sini sekiranya kamu mahu."

Maka Rasul s.a.w. menjawab kepada mereka dengan sabda Baginda: “Tidak wajar bagi seorang nabi, apabila dia memakai baju perisainya untuk dia menanggalkannya semula, sehinggalah Allah memberikan hukuman antaranya dan musuhnya.”

Kemudian Baginda bersama kira-kira 1,000 orang Islam telah berangkat keluar Madinah termasuk 100 tentera berbaju perisai dan 2 pahlawan berkuda.

Ketika orang Islam berhimpun untuk keluar, Rasul s.a.w. melihat satu kumpulan Yahudi mahu turut keluar bersama Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua orang munafik. Rasul s.a.w. bertanya: "Adakah mereka telah Islam?" Mereka berkata: "Tidak wahai Rasulullah." 

Baginda bersabda: “Suruh mereka pulang. Kita tidak meminta pertolongan orang musyrik untuk memerangi orang musyrik.”

Di pertengahan jalan, Abdullah bin Ubai bin Salul bersama 300 orang munafik menarik diri daripada turut serta membantu orang Islam berperang. Oleh itu, bilangan orang Islam hanya tinggal 700 orang. Kemudian Rasul s.a.w. meneruskan perjalanan sehingga sampai ke medan Uhud. Baginda menjadikan tenteranya membelakangi bukit Uhud dan menghadap tentera musyrik. Baginda telah membariskan tentera Islam, melantik seorang ketua bagi setiap pasukan. Baginda juga memilih 50 orang pemanah yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair al-Ansori, untuk melindungi bahagian belakang orang Islam daripada serangan balas tentera musyrik dari arah belakang. 

Baginda berpesan kepada mereka: "Lindungi belakang kami supaya mereka tidak datang menyerang kita dari arah belakang. Hujani mereka dengan anak-anak panah. Kuda tidak dapat melawan panah. Kita akan terus menang selagi mana kamu tetap tidak berganjak daripada tempat kamu. Ya Allah, aku bersaksikan Engkau dalam menghadapi mereka ".

Dalam riwayat lain, Baginda berpesan kepada mereka: "Jika kamu melihat kami dilanggar garuda (kiasan kepada kebinasaan yang cukup teruk), jangan kamu tinggalkan tempat kamu ini sehingga aku kirim utusan kepada kamu. Sekiranya kamu melihat kami mengalahkan kaum (musyrik) itu atau kami menewaskan mereka dan mereka terbunuh, jangan kamu tinggalkan tempat kamu sehingga aku hantar utusan kepada kamu."

Kemudian, bermulalah peperangan. Allah telah membantu orang Islam menentang musuh-musuh mereka. Orang Islam telah membunuh sebilangan mereka. Pihak musuh kemudiannya melarikan diri. Oleh itu, orang Islam sibuk memungut harta rampasan perang yang mereka dapati di kem orang musyrik. Para pemanah di belakang mereka melihat perkara tersebut. Mereka berkata: "Apa yang kita akan buat sedangkan Allah telah memenangkan Rasul-Nya?" Mereka terfikir untuk meninggalkan posisi masing-masing untuk memperolehi habuan rampasan perang. Lantas, ketua mereka, Abdullah bin Jubair memperingatkan mereka tentang pesanan Rasul s.a.w.. Namun, mereka menjawab bahawa peperangan telah tamat dan tidak perlu lagi untuk kekal di tempat mereka, Hanya Abdullah berserta 10 orang lain enggan meninggalkan posisi masing-masing. Khalid bin al-Walid (sebagai ketua sayap kanan angkatan orang musyrik ketika itu) melihat para pemanah telah meninggalkan posisi mereka di belakang tentera Islam, lantas berpatah balik menyerang hendap dari arah belakang.

Angkatan tentera Islam tidak menyedari serang hendap melainkan setelah pedang-pedang menyerang mereka di sana sini. Ikatan barisan mereka menjadi kacau bilau. Ketika itu juga, tersebar khabar angin bahawa Rasul s.a.w. telah terbunuh. Sebahagian mereka telah lari pulang ke Madinah. Orang musyrik dapat sampai kepada Rasul s.a.w.. Batu-batu yang mereka lontar mengenai Baginda sehingga Baginda jatuh pengsan, mukanya luka, kedua lututnya bercalar, bibir bawahnya berdarah dan topi di kepalanya pecah. Dua cincin rantai topi itu telah terbenam masuk ke pelipis Baginda. 

Orang musyrik bertambah ramai menyerang Rasul s.a.w. untuk membunuh Baginda. Baginda s.a.w. tetap bertahan bersama-sama sekumpulan orang mukmin, antara mereka ialah: Abu Dujanah yang bertindak menjadi perisai Rasulullah s.a.w.. Dia melindungi Baginda daripada anak-anak panah orang musyrik. Anak-anak panah itu telah menembusi belakang tubuhnya. Antara mereka lagi, Saad bin Abi Waqqas. Beliau telah memanah pada hari tersebut kira-kira 1,000 anak panah. Antaranya lagi, Nasibah Ummu 'Umarah al-Ansoriyyah. Dia meninggalkan tugas memberi minum tentera yang cedera, untuk bertempur menggunakan pedang dan memanah demi mempertahankan Rasulullah. 

Dia terus bertempur sehinggalah sebatang anak panah hinggap mengenai tengkuknya, menyebabkan luka yang dalam. Bersama-sama Nasibah juga, suami dan dua orang anaknya yang turut serta mempertahankan Rasulullah. Rasulullah s.a.w. mendoakan untuk mereka:

“Semoga Allah memberkati kamu sekeluarga.”

Lantas Nasibah berkata: "Doakan kepada Allah supaya kami menemanimu di syurga."

Lantas Baginda berdoa: "Ya Allah, jadikan mereka teman-temanku di syurga."

Nasibah r.ha. berkata selepas itu: "Aku tidak mempedulikan lagi bencana yang menimpaku dalam urusan dunia."

Baginda s.a.w. telah berkata berkenaan Nasibah: "Aku tidak menoleh ke kanan dan ke kiri pada hari Ghazwah Uhud, melainkan aku melihatnya berperang di hadapanku".

Pada hari tersebut, Nasibah mendapat 12 luka, sama ada akibat tikaman tombak mahupun tetakan pedang.

Pada saat-saat genting itu, Ubai bin Khalaf telah cuba untuk sampai kepada Rasul s.a.w. bertujuan membunuh Baginda. Dia bersumpah tidak akan berpatah balik. Maka Nabi s.a.w. mengambil sebatang tombak daripada sahabat yang bersama Baginda, lalu merejamnya ke leher Ubai. Rejaman tersebut menyebab kematiannya. Ubai bin Khalaf juga merupakan satu-satunya orang yang dibunuh oleh Nabi s.a.w. dalam semua ghazwah Baginda.

Kemudian Baginda s.a.w. dapat berdiri dan bangun dipangku oleh Tolhah bin Ubaidillah. Baginda memandang ke arah orang musyrik dan ternampak sekumpulan daripada mereka berada di atas bukit. Lantas Baginda menghantar sahabat menghalau mereka turun seraya berkata:

"Tidak sepatutnya mereka berada lebih tinggi daripada kita. Ya Allah, tiada kekuatan bagi kami melainkan dengan Kamu".

Pertempuran telah berakhir. Abu Suffian menyatakan kelegaan hatinya dan hati orang musyrik yang lain, setelah berjaya menebus kekalahan mereka dalam Ghazwah Badar dengan kata-katanya: “Hari ini merupakan bayaran bagi hari Badar.”

Di antara mereka yang terbunuh dalam peperangan ini ialah Hamzah, bapa saudara Rasul s.a.w.. Hindun, isteri Abu Suffian telah mengkelar-kelar mayatnya, membelah jantungnya dan mengunyahnya. Dia merasa kepahitan jantung itu, lalu memuntahkannya. Rasul s.a.w. merasa amat sedih melihat keadaan Hamzah, lantas berkata: “Sekiranya Allah memenangkan aku ke atas Quraisy di sesuatu tempat, aku akan kelar 30 orang lelaki daripada mereka.”  Namun selepas itu Allah melarang daripada mengelar mayat.

Bilangan orang Islam yang terbunuh dalam pertempuran ini ialah kira-kira 70 orang, sementara jumlah orang musyrik yang terbunuh ialah 23 orang.

Allah Taala telah menurunkan beberapa ayat berkenaan ghazwah ini bagi merawat kelukaan hati orang-orang mukmin dan menyedarkan mereka tentang punca-punca kekalahan yang menimpa mereka. Allah berfirman dalam surah Ali Imran:

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir. Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal had dalam perjuangan)" (Surah Ali Imran: 139-142)

Selang beberapa ayat selepas itu, Allah berfirman lagi:  "Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurnia-Nya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman. (Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan." (Maksud Ali Imran: 152-153)


Hadis Sahl bin Saad r.a:  Sesungguhnya beliau telah ditanya mengenai luka yang dialami oleh Rasulullah s.a.w dalam peperangan Uhud dan katanya: Muka Rasulullah s.a.w terluka, gigi hadapan baginda patah dan baginda terluka di bahagian kepala. Maka Fatimah puteri Rasulullah s.a.w yang membersihkan darah. Sementara itu Ali bin Abu Talib menuangkan darah tersebut ke dalam sebuah bekas. Ketika Fatimah membasuhnya dengan air, ternyata darah semakin banyak keluar, lalu beliau mengambil sebidang tikar dan membakarnya sehingga menjadi abu. Kemudian Fatimah meletakkan abu tersebut pada luka baginda sehingga darah tidak lagi keluar.  (Hadits riwayat Muslim)


Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:  Sesungguhnya aku seolah-olah melihat Rasulullah s.a.w sedang menceritakan sebuah hikayat tentang salah seorang Nabi yang dizalimi oleh kaumnya sendiri. Baginda menyapu darah pada mukanya dan berdoa: Wahai tuhanku, berilah keampunan kepada kaumku, sesungguhnya mereka memang tidak mengetahui.  (Hadits riwayat Muslim)

[Dipetik dari buku Sirah Nabi Muhammad s.a.w , pengajaran dan pedoman - Dr. Mustafa as-Syibaie]

Saturday, 7 July 2012

0 Bani Quraizoh





Ghazwah / Perang Bani Quraizoh berlaku pada tahun ke-5 hijrah sebaik sahaja selepas Perang Ahzab. Ini kerana beberapa sebab. Antaranya, Rasulullah S.a.w telah menyaksikan bagaimana isi hati Yahudi Bani Quraizhoh yang keji, belot serta berpihak kepada Quraisy dan sekutu-sekutunya. Pada saat-saat genting pertempuran Ahzab, mereka mengisytiharkan pembatalan perjanjian dengan Baginda s.a.w.. 

Mereka juga berniat melakukan jenayah berat yang boleh melenyapkan semua orang Islam. Padahal mereka tinggal bersama Rasul s.a.w. di Madinah. Niat dan rancangan jahat mereka gagal apabila Perang Ahzab telah tamat sebagaimana yang berlaku (tentera bersekutu Qurasiy meninggalkan Madinah tanpa dapat mengalahkan orang Islam). 

Oleh kerana ini, Rasulullah s.a.w. berpandangan untuk mengambil tindakan tatatertib ke atas pengkhianat dan pembelot ini. Baginda juga memutuskan untuk membersihkan Madinah selaku pusat jihad dan dakwah daripada mereka. Tujuannya agar tidak berlaku lagi situasi-situasi yang membuka ruang kepada mereka untuk sekali lagi membantai dan membinasakan orang Islam. Jelas sikap mereka sebagaimana kebiasaan sikap belot Yahudi yang keji.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Aishah r.ha., bahawa apabila Rasulullah s.a.w. pulang pada hari Ghazwah Khandaq, Baginda telah meletakkan senjata dan mandi. Tatkala itu, Jibril datang menemui Baginda dalam keadaan kepalanya dilitupi debu-debu, seraya berkata: "Kamu telah meletakkan senjata? Demi Allah, aku belum meletakkannya." Baginda bertanya: "Di mana?" Jibril berkata: "Di sana." Seraya menunjuk ke arah Bani Quraizhoh.

Aishah berkata: "Maka Rasulullah s.a.w. keluar memerangi mereka." Rasul s.a.w. mengarahkan seorang sahabat menyeru orang ramai supaya tiada seorang pun daripada mereka bersembahyang Asar melainkan di perkampungan Bani Quraizhoh. 

Kemudian Baginda keluar bersama mereka. Panji-panji Baginda telah dibawa oleh Ali r.a.. Orang Islam yang terkumpul seramai 3,000 orang, sementara kuda pula sebanyak 36 ekor. Apabila Ali menghampiri kubu Bani Quraizhoh, dia telah mendengar ucapan yang buruk tentang Rasulullah s.a.w. dan isteri-isteri Baginda. Beliau telah memberitahu perkara tersebut kepada Nabi s.a.w. dan meminta Baginda agar tidak menghampiri Bani Quraizhoh yang keji itu. 

Baginda s.a.w. menjawab, apabila mereka melihat Baginda, mereka tidak akan memperkata sesuatu yang buruk. Ini kerana Baginda tahu sikap berpura-pura dan mengampu mereka. Jika mereka melihat Baginda, mereka bersikap lembut dengannya sebagaimana yang dijangka oleh Baginda s.a.w.. Orang Islam telah mengepung mereka selama 25 malam. 

Setelah mereka tersepit dengan keadaan itu, mereka tunduk kepada hukuman Rasul s.a.w.. Mereka telah dihakimi oleh Saad bin Muaz, penghulu kaum Aus. Bani Quraizhoh merupakan sekutu kepada kaum Aus. Saad telah menghukum pejuang-pejuang mereka dibunuh, zuriat mereka dijadikan tawanan dan harta-harta mereka dibahagi-bahagikan. Rasul s.a.w. melaksanakan hukuman beliau itu. Dengan itu, konspirasi, adu domba dan komplot Yahudi di Madinah dan sekitarnya ke atas Rasulullah s.a.w. dan dakwahnya telah habis dihapuskan.

Dalam peperangan ini, turun ayat-ayat al-Quran al-Karim yang menjelaskan pembelotan Yahudi, pelanggaran mereka terhadap perjanjian dan sikap mereka yang tidak menolong orang Islam dalam Ghazwah Ahzab:

Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata: "Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah". Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik) sambil berkata: "Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan", pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam). Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu melainkan sebentar sahaja. Pada hal sesungguhnya mereka telah pun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan (ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang penyempurnaannya). Katakanlah (wahai Muhammad):

"Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja". (Surah Al-Ahzab : 13-16)

Dan Dia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikan-Nya hati mereka dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman); sebahagian di antara-nya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan. Dan Dia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Ahzab : 26-27)


[Dipetik dari buku Sirah Nabi Muhammad s.a.w , pengajaran dan pedoman - Dr. Mustafa as-Syibaie]

Friday, 6 July 2012

0 al-Ahzab





Perang / Ghazwah al-Ahzab dinamakan juga dengan Perang Khandaq (menggali parit) .Ia berlaku pada bulan Syawal, tahun ke-5 hijrah. Sebabnya, apabila Bani Nadhir selesai diusir, beberapa orang ketua mereka datang ke Makkah mengajak dan mengapi-apikan Quraisy untuk memerangi Rasul s.a.w.. Quraisy telah menyahut ajakan itu. Seterusnya pemimpin-pemimpin Yahudi pergi ke Ghatfan.

Di sana, Bani Fazzarah, Bani Murrah dan Asyjak telah menerima ajakan mereka dan berangkat menuju ke Madinah. Apabila Baginda s.a.w. mendengar kedatangan angkatan mereka, Baginda bermesyuarat dengan para sahabat. Salman Al-Farisi telah mencadangkan kepada Baginda supaya digali parit di sekeliling Madinah. Lalu Rasul s.a.w. memerintahkan agar digali parit.

Baginda sendiri turut terlibat menggali parit-parit itu. Apabila Quraisy dan sekutu mereka sampai, mereka merasa terpegun dengan parit-parit yang mereka saksikan. Ini kerana Arab tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam penggalian parit seperti ini. Bilangan tentera bersekutu Quraisy sejumlah 10,000 orang sementara bilangan orang Islam hanya 3,000 orang. Huyai bin Akhtob salah seorang Yahudi yang berperanan menyemarakkan semangat Quraisy dan sekutu-sekutunya menentang orang Islam, telah pergi menemui Kaab bin Asad, penghulu Bani Quraizhoh.

Dia meminta beliau melanggar perjanjian damai antara Bani Quraizhoh dengan orang Islam. Nabi s.a.w. terfikir untuk melakukan perdamaian dengan Bani Quraizhoh dengan cara membayar satu pertiga hasil buah-buahan Madinah kepada mereka. Namun kaum Ansor dengan rasa megah terhadap agama mereka, menolak untuk tunduk kepada pihak Bani Quraizhoh yang telah belot kepada perjanjian dan pakatan. Peperangan bermula apabila beberapa pahlawan berkuda musyrik berjaya melepasi parit tersebut di salah satu bahagiannya yang sempit.

Orang Islam pun bertempur dengan mereka. Selanjutnya, Nu'aim bin Mas'ud bin 'Amir datang bertemu Rasul s.a.w. memberitahu Baginda bahawa dia telah memeluk Islam, sedangkan kaumnya tidak mengetahui keislamannya. Beliau juga merupakan kawan kepada Bani Quraizhoh. Mereka mempercayai dan meyakininya. Beliau berkata kepada Rasul s.a.w.: "Arahkan aku apa yang kamu mahu." Maka Rasul s.a.w. bersabda kepadanya:

"Di kalangan kita, kamu hanyalah seorang sahaja. Oleh itu, sekiranya kamu dapat, lakukanlah sesuatu untuk mengalahkan musuh. Sesungguhnya perang adalah tipudaya".

Justeru itu, Nu'aim menggunakan kelicikannya sehingga berjaya memecahbelahkan pakatan Quraisy dan sekutunya dengan Bani Quraizhoh. Dia menimbulkan prasangka dalam hati setiap kumpulan terhadap kumpulan lain. Allah telah menghantar angin kencang ke atas tentera bersekutu pada suatu malam yang amat sejuk, sehingga periuk-periuk bertaburan dan khemah-khemah mereka terkoyak. Jiwa tentera bersekutu diselubungi rasa takut, lalu mereka berangkat pulang pada malam itu juga. Apabila pagi, orang Islam tidak mendapati seorang pun orang musyrik yang masih berada di situ.

Dalam peperangan ini, Allah menurunkan beberapa ayat dalam kitab-Nya yang mulia:

Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan. Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. (Surah Al-Ahzab : 9-11)

Kemudian Allah menjelaskan pendirian golongan munafik, sikap mereka yang tidak membantu dan tindakan mereka yang menarik diri dari medan pertempuran. Seterus-nya Allah menerangkan pula perihal orang-orang mukmin:

"Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya".
Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka, pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Dia kehendaki, atau Dia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa." (Surah Al-Ahzab : 22-25)


[Dipetik dari buku Sirah Nabi Muhammad s.a.w , pengajaran dan pedoman - Dr. Mustafa as-Syibaie]

Thursday, 5 July 2012

0 badar




Ghazwah Badar al-Kubra

Ia berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 hijrah. la bermula apabila Nabi Muhammad s.a.w. mempelawa para sahabat Baginda untuk menyekat kafilah dagang Quraisy yang pulang dari Syam ke Mekah. Misi asal sekatan itu bukannya dengan tujuan peperangan. 

Walau bagaimanapun kafilah yang diketuai oleh Abu Sufian tersebut telah terselamat daripada sekatan orang Islam. Namun Abu Sufian sebelum itu telah mengutuskan utusan kepada kaum Quraisy untuk keluar melindungi kafilahnya. Rentetan permintaan tersebut, kaum Quraisy telah keluar dengan bilangan kira-kira 1,000 orang tentera. Antaranya 600orang tentera berbaju perisai, 100 ekor kuda yang dipakaikan 100 baju perisai. Ini tidak termasuk baju perisai tentera pejalan kaki dan 700 ekor unta. Mereka turut membawa penyanyi-penyanyi perempuan yang memukul gendang dan menyanyi mengutuk orang Islam.

Sementara itu, bilangan orang Islam pula seramai 313 atau 314 orang. Kebanyakan mereka daripada golongan Ansar. Mereka membawa 70 ekor unta dan dua atau tiga ekor kuda sahaja. Mereka bergilir-gilir dalam kumpulan-kumpulan kecil menaiki unta tersebut dari satu masa ke satu masa. Sebelum Nabi s.a.w. memasuki pertempuran, Baginda ingin mengambil pandangan para sahabatnya, khususnya kaum Ansar. Baginda ingin mengambil pandangan mereka untuk terlibat dalam peperangan. Kaum Muhajirin telah mencadangkan kepada Baginda untuk terlibat dalam peperangan itu. Mereka telah berucap dengan baik.

Kemudian Ansar menyedari Baginda mahukan pandangan mereka. Lantaran itu, Saad bin Muaz, ketua Ansar, berkata kepada Baginda: "Wahai Rasulullah, kami telah beriman dengan kamu, membenarkan risalahmu. Kami menyaksikan apa yang kamu bawa adalah benar dan kami telah berikan janji juga ikrar untuk mendengar arahan dan taat kepadamu. Oleh itu, teruskan wahai Rasulullah, apa yang kamu mahu. Kami tetap akan bersama kamu. Demi Tuhan yang mengutuskan kamu membawa kebenaran, kalau kamu bentangkan kepada kami laut ini, nescaya kami akan mengharunginya bersama kamu. Tiada seorang pun daripada kami yang tercicir. Kami tidak benci untuk bertemu dengan musuh kami esok. Kami kaum yang sabar ketika perang dan jujur (tidak belot) ketika bertemu musuh. Semoga Allah membuatkan sesuatu berlaku kepada kalangan kami yang menggembirakan kamu. Berangkatlah bersama kami dengan berkat Allah." 

Sahabat yang lain juga berucap seumpama itu. Rasul s.a.w. merasa gembira dengan jawapan itu, seraya bersabda: "Berangkatlah kamu dengan berkat Allah. Bergembiralah. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadaku untuk berhadapan dengan salah satu kumpulan; sama ada kafilah dagang ataupun angkatan tentera."

Kemudian Rasul s.a.w. berjalan sehingga sampai ke perigi Badar yang paling hampir lalu Baginda berhenti di situ. Lantas al-Hubab bin al-Munzir bertanya: "Wahai Rasulullah! Adakah tempat ini ditetapkan oleh Allah Taala kepada kamu; di mana kamu tidak boleh terkedepan mahupun terkebelakang. Atau ia merupakan buah fikiran, strategi perang dan tipu helah?"

Rasul s.a.w. menjawab: "Bahkan ia berdasarkan buah fikiran, strategi perang dan tipu helah".

Maka al-Hubab bin al-Munzir mencadangkan kepada Baginda agar berpindah ke tempat lain yang lebih strategik dan membolehkan orang Islam menyekat air Badar sampai kepada orang musyrik. Oleh itu, Rasul s.a.w. dan para sahabat Baginda berangkat sehingga mereka sampai ke tempat yang dicadangkan oleh al-Hubab. Mereka kemudiannya berhenti di situ. Seterusnya Saad bin Muaz mencadangkan agar dibina sebuah khemah untuk Rasul s.a.w. di belakang barisan tentera Islam. Sekiranya Allah memuliakan mereka dengan kemenangan, itulah yang mereka sukai. Jika tewas, Baginda boleh menaiki tunggangannya dan kembali menyertai orang Islam di Madinah. Saad berkata kepada Baginda: "Sebahagian orang Islam tidak hadir bersama kita, wahai Nabi Allah. Ini bukanlah bererti cinta kami terhadapmu lebih hebat berbanding mereka. Jika mereka tahu kamu akan berperang, nescaya mereka tidak tercicir untuk turut serta bersamamu."

Oleh itu, Nabi s.a.w. mendoakan kebaikan untuk Saad bin Muaz. Baginda memerintahkan agar dibina sebuah khemah untuk Baginda. Apabila kedua-dua kumpulan (orang Islam dan orang musyrik) bersemuka, Rasul s.a.w. meluruskan barisan orang Islam, membakar semangat mereka untuk berperang dan memotivasi mereka untuk mati syahid.

Baginda bersabda: "Demi Tuhan yang jiwaku di dalam genggaman-Nya, sesiapa yang memerangi mereka (tentera orang musyrik) pada hari ini, kemudian dia terbunuh dalam keadaan penuh kesabaran dan ikhlas, terus maju dan tidak lari dari medan pertempuran, pasti Allah akan memasukkannya ke dalam syurga."

Setelah itu Baginda pulang ke khemah bersama Abu Bakar dengan dikawal oleh Saad bin Muaz yang siap menghunuskan pedangnya. Rasul s.a.w. mula berdoa. Antara doa Baginda: "Ya Allah, aku menagih janji dan jaminan-Mu. Ya Allah, jika Kamu binasakan kelompok ini (pejuang-pejuang mukmin), Kamu tidak akan disembah lagi di muka bumi."

Baginda memanjangkan sujudnya, sehingga Abu Bakar berkata: "Cukuplah. Sesungguhnya AlIah akan melaksanakan janji-Nya untukmu." Kemudian peperangan meletus dan berakhir dengan kemenangan orang Islam. Kira-kira 70 orang musyrik telah terbunuh termasuk ketua mereka yang paling tegar dengan kesyirikannya, Abu Jahal. Turut terbunuh sebahagian pemimpin mereka. Mereka yang ditawan pula kira-kira 70 orang. Baginda telah memerintahkan agar semua yang terbunuh dikebumikan. Baginda pulang ke Madinah dan melakukan syura (mesyuarat) dengan para sahabat Baginda tentang urusan tawanan perang. Umarmencadangkan supaya mereka dibunuh. Abu Bakar pula mencadangkan supaya mereka menebus diri mereka. Rasul s.a.w. menerima cadangan Abu Bakar. Oleh itu, orang musyrik telah menebus tawanan mereka dengan harta.

Terdapat beberapa ayat al-Quran al-Karim telah turun berkenaan Ghazwah Badar ini. Allah Taala berfirman dalam surah Ali Imran: "Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan 3,000 tentera dari malaikat yang diturunkan ?," Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan 5,000 malaikat yang bertanda masing-masing. Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Kemenangan Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa." (Ali Imran : 123-127)

Al-Quran juga menegur Rasulullah s.a.w. kerana menerima tebusan harta bagi tawanan perang. Allah Taala berfirman: "Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum dia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Kalaulah tidak (kerana) adanya ketetapan dari Allah yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab seksa yang besar disebabkan (penebus diri) yang kamu ambil (dari orang-orang tawanan) itu." (Al-Anfal: 67-68)


[Dipetik dari buku Sirah Nabi Muhammad s.a.w , pengajaran dan pedoman - Dr. Mustafa as-Syibaie]

Tuesday, 3 July 2012

1 Setiap hari amalanmu terangkat ke sisi-Ku




Pengarang kitab Shafwah al-Shafwah menceritakan tentang seorang ahli ibadah melihat seekor burung yang selalu membawa sepotong daging setiap hari. Burung itu hinggap di atas pokok kurma. Ahli ibadah itu merasa hairan kerana tidak ada seekor burungpun yang mempunyai sarang di situ. Beliau berkata: “Saya memanjat pokok itu, saya melihat di sana ada seekor ular yang buta matanya. Setiap kali burung itu mendekatinya iapun bersuara lalu ular itu membuka mulutnya, sang burung meletakkan sepotong daging itu ke mulut ular dan kemudian terbang. Perbuatan itu dilakukannya setiap hari.”
Kisah tersebut mengajar kepada kita bahawa kemuliaan itu terletak pada seberapa besar manfaat yang boleh anda berikan kepada orang lain. Manakala kehinaan itu adalah kerana mensia-siakan potensi dan kekuatan jasmani dan rohani yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Sedangkan binatang bekerja mencari makanan tanpa tangan dan kaki yang sempurna. Tetapi manusia masih lagi diulit mimpi angan-angan yang panjang. Binatang dan alam semesta semuanya berzikir kepada Allah SWT, tetapi manusia sibuk melupakan Allah SWT.
Allah SWT berfirman menyeru kepada orang-orang yang mengaku beriman yang maksudnya: ”Bekerjalah kamu, nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah Ayat 105)
Bekerja adalah ibadat. Bahkan nafkah yang dihulurkan kepada ahli keluarga adalah sedekah yang paling utama. Tetapi sifat malas sering timbul sewaktu melakukan jihad ini. Ia sentiasa hadir dalam kehidupan para pekerja yang beriman. Di manakah kelemahannya hingga semangat bertempur untuk mendapatkan keuntungan dunia yang halal itu menjadi kendur? Padahal Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: ”Jika datang hari kiamat dan di tangan seorang daripada kamu ada satu bijian tanaman, maka jika dia mampu menanamnya, hendaklah dia melakukannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)
Semangat kerja Nabi Allah Idris AS patut dicontohi. Baginda adalah seorang tukang jahit yang mencari nafkah dengan hasil usaha tangannya sendiri. Pada suatu hari Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Wahai Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat darjatmu hingga ke tempat yang sangat tinggi? Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan kami mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi.” (Surah Maryam; Ayat 57). Nabi Idris menjawab: “Saya tidak tahu wahai Tuhanku.” Allah berfirman: “Setiap hari amalanmu terangkat ke sisi-Ku seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana kamu banyak berzikir.” Allah berfirman yang maksudnya: “Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh.” (Surah Fatir: Ayat 10)
Demikianlah keutamaan Nabi Idris AS kerana setiap kali baginda menusukkan jarumnya, pasti kalimah zikrullah yang empat diucapkan iaitu; Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, wa Allahu Akbar. Pekerjaan yang dilakukan sambil berzikir sungguh berat timbangannya di sisi Allah dan boleh menyuntikkan semangat untuk berjaya semata-mata kerana keredaan Allah.
Zikir adalah amalan yang paling mudah dan ringan tetapi amat berat pahalanya. Syaikh al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyah dalam kitab agungnya, Majmu’ al-Fatawa menyatakan; Amalan yang paling utama selepas amalan yang fardhu adalah zikrullah. Dalam hadis sahih riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku tunjukkan amalan yang paling utama dan yang paling bersih di sisi Allah? Lebih baik daripada kamu bertemu dengan musuh-musuhmu lalu kamu memenggal leher mereka dan mereka juga memenggal leher-lehermu? Para sahabat menjawab: Tentu wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda: Zikrullah.”
Demikianlah zikir yang dilakukan. Ia tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat. Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat. Di mana dan bila-bila sahaja dan dalam keadaan apapun ibadat ini boleh dilakukan. Sungguh senang tetapi ramai manusia yang meninggalkannya.
Al-Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan: “Baginda memberi petunjuk supaya berzikir dalam setiap ucapan, tindakan, tarikan nafas, kala berdiri, duduk dan berbaring, gerak geri baginda adalah zikir kepada Allah.”
Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang paling sibuk dengan dunianya dan paling bersedia untuk bekalan akhiratnya. Baginda adalah seorang Ketua Negara yang amanah, Mahaguru yang dihormati, pakar motivasi, Jeneral perang dan penganalisis politik yang hebat, ketua rumah tangga yang adil, pendakwah yang karismatik, ayah yang penyayang, saudara lelaki yang penyantun. Seluruh masa dan tenaga dikerahkan untuk memastikan mereka yang hidup di sisi baginda mendapat kebahagiaan dunia akhirat. Begitu juga dengan kita yang memenuhi hari-hari dengan kerja dan zikrullah, pastikanlah ianya tidak terhenti kecuali kedua kaki ini telah sampai di pintu kenikmatan tertinggi, syurga yang abadi!
Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates