Thursday, 18 August 2011

0 pekara aneh disekeliling kita








Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

                        Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

                        Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

                        Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

                        Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

                        Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah s.w.t. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.                                     Ketiga jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.                                             Keempat jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.                                                                                                                                                                         Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

                        Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

                        Maka berkata Allah s.w.t., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Wednesday, 17 August 2011

0 kita dimana







Firman Allah s.w.t dalam hadith qudsi :

“ Aku tidak akan menghimpunkan dua ketakutan pada hambaKu dan tidak pula akan mengumpulkan dua keamanan baginya.  Jika ia merasa aman daripadaKu di dalam dunia, Aku akan berikan rasa takut kepadanya pada hari Kiamat.  Dan jika ia merasa takut kepadaKu di dunia, Aku akan berikan kepadanya rasa aman pada hari Kiamat .”

( Hadith qudsi riwayat Ibnu Mubarak dan Al-Hasan sebagai hadith Mursal )

Tetapi Abu Na’im meriwayatkan pula dari Syaddad bin `Aus sebagai hadith mausul dengan lafaz sebagai berikut :

“ Jika ia merasa aman daripadaKu di dunia, akan Aku berikan rasa takut pada hari Aku menghimpun hamba-hambaKu.  Dan jika ia takut daripadaKu di dunia, ia akan Aku berikan rasa aman pada hari Aku mengumpulkan hamba-hambaKu kelak .”

Sebenarnya hadith ini juga telah disebutkan oleh Imam Jalalluddin as-Suyuthi dalam kitabnya Al-Jami’us Saghir, dengan lafaz yang kedua di atas dan ditunjuknya pada kitab Al-Hilyah.  Al-Bazzar Al-Baihaqi juga telah meriwayatkannya dari Abu Hurairah r.a :

“ Allah s.w.t memberitakan kepada kita sesungguhnya Dia tidak akan menghimpunkan bagi hambaNya dua rasa takut dan dua rasa aman (rasa tenteram).”

1.    Barang siapa yang merasa takut kepada Allah di dunia ini, Allah tidak akan menimpakan rasa takut kepadanya pada hari Kiamat, bahkan Allah menjaganya dan memeliharanya dari kedahsyatan seksa hari Akhirat dan akan menjauhkannya dari rasa gementar dan terkejut.  Orang yang merasa takut kepada Allah, akan selalu tunduk dan taat melakukan peritahNya, menghiasi dirinya dengan segala sifat-sifat keutamaan serta membersihkan dirinya dari segala sifat kekejian dan kecelaan .
2.    Barangsiapa merasa aman di dunia ini, Allah tidak akan memberikan rasa aman dan tenteram pada hari Kiamat, malah akan menimpakan rasa takut dan khuatir serta Allah akan menyeksanya sesuai dengan amal perbuatannya .

“ Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang dating mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera ( dari syirik dan penyakit munafik ) .”

( Surah Asy-Syu’araa’ : 88-89 )

Orang yang merasa aman di dunia ini akan berjalan di luar garisan yang telah ditentukanNya.  Ia merasa aman melakukan maksiat dan menderhaka kepada perintah-perintahNya.  Ia sering melanggar laranganNya, sering tertipu oleh dirinya sendiri, kekuatan dan kesihatannya, sering dikelirukan oleh kebendaan yang berada di hadapan matanya.  Sering alpa, lalai, dan tidak sedar.  Sekurang-kurangnya ada sepuluh saksi yang sentiasa menyaksikan dang mengikuti gerak gerinya, iaitu : telinga pendengarannya, mata penglihatannya, lidah, tangan, kaki, hati, bumi yang dipijak, malam dan siang, dan para malaikat Raqib ‘Atid dan Hafadhatul Kiram.  Ia sering mengikuti ajakan syaitan yang terkutuk, oleh kerana itu, ia sering berpoya-poya dan bersenang-senang dengan segala kelazatan dan syahwat.  Ia selalu berkeinginan untuk memuaskan hawa nafsunya.

Adalah suatu perkara yang tidak perlu diragukan lagi bahawa semakin meningkatnya rasa takut seseorang hamba kepada Allah s.w.t di dunia ini, akan meningkatlah usahanya menjauhkan diri dari melakukan kederhakaan, keburukan dan kejahatan menurut akal, adab dan syarak.  Dan sebaliknya makin menipis rasa takut, semakin menipis pula imannya, dan meningkatlah keberaniannya untuk berbuat kederhakaan dan bertambah luas pula bidang kejahatan dan kebinasaan yang dilakukannya.

Tegasnya barangsiapa yang kuat rasa takutnya kepada Allah di dalam dunia, maka ia akan merasa aman dan tenteram pada hari Kiamat, dan begitulah sebaliknya.

Kiranya, inilah yang dimaksudkan ucapan sebahagian ahli makrifat :

“ Apabila seseorang telah dapat menahan diri sehingga merasai panasnya (terseksa) melawan hawa nafsu di dunia, dia akan diselamatkan oleh Allah s.w.t dari kedasyatan panas di hari kemudian .”

Berkata Imam Qurtubi :

“ Barangsiapa yang merasa malu kepada Allah s.w.t dari apa yang dilakukannya Allah enggan mendakwanya pada hari Kiamat.  Dan Allah tidak menghimpun baginya dua rasa malu sebagaimana Dia tidak akan mengumpulkan baginya dua rasa takut .”

Berkata pula sebahagian ulama :

Rasa takut itu ada dua : Rasa takut terhadap seksaan dan rasa takut dengan kehebatan (jalal).  Yang pertama dapat dirasakan oleh ahli zahir, iaitu orang-orang yang baru dapat merasakan zahir sahaja (orang awam; kaum muslimin yang hanya mengetahui sesuatu yang material, para ulama yang belum begitu dalam makrifatnya). Dan yang kedua, dapat dirasakan oleh ahlul Qulub  (orang-orang yang mengutamakan kebersihan batin/hati) yang meningkatkan amalan untuk mendekatkan diri (bertaqarrub) kepada Allah s.w.t seperti Khulafur Rasyidindi kalangan para sahabat, Uwais al-Qarani di kalangan tabi’in, syaiban ar-Ra’i di kalangan tabi’ tabi’in dan Abdul Qasim al-Junaidi, Abu Yazid al-Busthami, Ma’ruf al-Karkhi, al-Jailani, an-Nawawi, Abdullah bin Alawi al-Hadaad dan lain-lain (dikenali sebagai ahlul makrifah atau al-Arifin )

Yang pertama (rasa takut terhadap seksaan) hanya sementara san akan hilang, sedangkan yang kedua ( rasa takut kehebatan wibawa/jalaj ) kekal dan tidak boleh hilang .

Bila kita kembali meneliti isi al-Quran yang mulia, maka kita akan menemui banyak ayat-ayat yang isinya sama atau hamper sama dengan maksud hadith qudsi di atas .  Misalnya ayat-ayat sebagai berikut :

“ Ketahuilah ! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan ( dari sesuatu yang tidak baik ) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.  ( Wali-wali Allah itu ialah ) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa.  Untuk mereka sahajalah kebahagian yang mengembirakan di dunia dan di akhirat, tidak ada ( sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar ) .”

( Surah Yunus : 62-64 )

“ Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata : “Tuhan kami ialah Allah.” Kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa ( dengan memberi ilham ) : “ Janganlah kamu bimbang ( dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu ) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu .” kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya . “(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu ) sebagai sambutan penghormatan dari Allah yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani !”

( Surah Fussilat : 30-32 )

“ …… maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan ( dari sesuatu yang tidak baik ) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita .”

( Surah Al- Baqarah : 38 )

“ ( Apa yangkamu katakana itu tidaklah benar ) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah ( mematuhi perintahNya ) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan ( dari berlakunya kejadian yang tidak baik ) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita .”

( Surah Al-Baqarah : 112 )

“ …… sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah ( dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w ) dan ( beriman kepada ) hari akhirat serta beramal saleh, maka tidaklah ada kebimbangan ( dari berlakunya kejadian yang tidak baik ) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita .”

( Surah Al-Maaidah : 69 )

Pada asasnya ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa seorang manusia, apabila merasa takut kepada Tuhannya ketiak ia hidup di dunia, dan sangat berhati-hati untuk tidak melibatkan ditinya dalam kejahatan, kederhakaan dan maksiat, mereka akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak dalam keadaan aman, tenteram, tidak merasa takut mahupun cemas, malah ia akan mendapat kejayaan dan kemenangan rahmat Allah serta keredhaanNya.

Marilah kita panjatkan doa, memohon ke hadratNya agar Dia menghiasi hati dan batin kita dengan rasa takut dan rasa dengan kehebatan dan wibawaNya.  Sebaliknya kita mohon agar Dia menjauhkan kita dari rasa takut dan kegelisahan jiwa pada hari pertemuan denganNya.

Tuesday, 16 August 2011

0 dasar agama




aku selalu jugak mendengar ceramah2 agama tazkirah pasal mentauhidkan ALLAH swt
tetapi kebanyakan apa yg ustaz2 cerita tak sampai ,bagaimana nak laksanakanya
bukan la aku lebih handal dari ustaz2 diluar sana cuma pendapat aku setelah apa yg aku buat selama ni
aku percaya ramai yg tercari2 jalan kebenaran ...

ok kita kembali kepada sirah nabi saw secara ringkas dimana sebelum adanya perintah solat
agak2nya apa yg nabi saw ajarkan kepada org2 yg baru memeluk islam pada masa tu
dan selama 13tahun nabi saw di kota mekah berdakwah tanpa kena solat lagi

pekara ini lah yg kita pandang remeh sekarang ini iaitu TAUHID
mentauhidkan ALLAH swt dihati kita dengan meletakan kedudukan ALAH swt paling tinggi dalam hati kita
dengan sentiasa mengingati ALLAH swt
maksudnya cubalah kita latih berzikir didalam hati setiap masa dengan
-kalimah tauhid (laillah hail'lalallah muhammadarasullallah) 
-selawat keatas nabi saw
-istifar
disamping kita
-NIAT aku buat ni semua kerana nak dekatkan kepada ALLAH swt 
-YAKIN hanya ALLAH swt yg berkuasa keatas sesuatu 
-IKHLAS buatlah tanpa mengharapkan balasan

kerana pekara ini bukanlah satu pekara yg mudah
sebab itu nabi saw pun mengambil masa 13tahun untuk mentauhid kan sahabat2 dan orang2 islam pada masa tu
tetapi kita pada sekarang ini adakah kita fikirkan setakat manakah tauhid kita pada ALLAH swt

inilah dasar agama
kerana solat itu tiang agama
pernah  kita terpikir jika tiang ditegakan tinggi2 ,agak2nya terbalik tak jika tak periksa dasarnya
samalah dengan kita jika hanya solat tapi dasar agama tak ada ...
bila kena goda sikit ja mula lah goyang atau terus terbabas

Sunday, 14 August 2011

0 pekara yang kita tak perasan dibulan ramadhan






1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam . Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih . Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah . Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat . Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur . Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu.. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat . Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka . Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Friday, 12 August 2011

0 dibulan ramadhan syaitan dirantai tetapi










ketahuilah bahawa syaitan dirantai pada bulan ramadhan akan tetapi

nafsu umarah kita tetap berkuasa jika kita tidak mengekangnya dengan sungguh2

jadi kita mesti taat dan patuh dan sentiasa selaraskan kehendak kita dengan kehendak ALLAH swt dan kekasihnya nabi saw

kerana dia tetap akan mengajak kita supaya berlaku engkar pada kehendak ALLAH swt dan nabi saw

supaya kita melewat2kan solat subuh 

malas untuk bekerja kerana letih berpuasa 

nak tidur selepas solat zohor

nak beli macam2 makanan di 'bazram'

masih nak tengok wanita seksi walaupun dah tahu ianya dilarang oleh ALLAH swt

nak aja 'shopping' walaupun tak perlu sesuatu benda tu

ini lah yang kita tak perasan sebernanya tetapi mesti dikekang sungguh2 supaya kita mendapat rahmat dan redha dari ALLAH swt

kerana ini lah yang terjadi pada diri aku

wallahhualam ...

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates