Ada Pemimpin Yang Memimpin (Mursyid)
Mesti ada seorang pemimpin yang boleh memimpin di bidang
ilmu, di bidang akal dan hati, sama ada yang lahir mahupun
yang batin dan dalam semua hal hingga hidup kita ini boleh
tertuju kepada Allah.
Dalam Islam, pemimpin yang boleh memimpin hidup kita
itulah yang dikatakan mursyid. Istilah mursyid adalah dari
perkataan mursyidun, maknanya orang yang memimpin. Wajib
bagi setiap orang ada pemimpin yang memimpin dirinya, tidak
kira sama ada dia ulama, ustaz, hafiz, pakar Islam atau muallim.
Lebih-lebih lagilah orang awam yang kurang ilmu dan kurang
faham tentang Islam. Orang yang memimpin (mursyidun), dia
tidak sama dengan muallim. Juga dia tidak sama dengan ustaz
atau guru. Sebab muallim itu hanya memberi ilmu. Mereka
hanya memandang yang luaran. Tetapi mursyid yang boleh
memimpin, Allah memang beri kepadanya ilmu-ilmu yang luar
biasa. Ada ilmu lahir dan batin. Bukan saja dia boleh memimpin
akal orang tetapi hati (roh) orang juga boleh dipimpinnya,
walaupun mursyid itu seorang yang tidak hafal Quran dan tidak
hafal Hadis. Sebab itu sebagaimana alim pun seseorang itu, dia
mesti ada seorang pemimpin atau mursyid.
Kita lihat di mana-mana orang menyebut, “Dia itu muallim
saya”, “Itu guru saya”, tetapi mengapa tidak dikatakan, “Dia itu
pemimpin atau mursyid saya.” Memang pemimpin dan mursyid
itu susah dicari. Apatah lagi di zaman sekarang yang sudah jauh
dari zaman Rasulullah. Orang yang layak menjadi mursyid
hanya bilangan jari sahaja tetapi guru yang memberi ilmu atau
muallim atau ustaz, ini ramai.
Sebab itu mursyid kurang popular dan jarang disebut dalam
kehidupan sehari-hari. Orang selalu sebut muallim, guru atau
cikgu. Imam Ghazali r.a. berkata, “Untuk mencari seorang yang
mursyid macam mencari belerang merah.”
Ini menunjukkan bagaimana susahnya hendak mencari
belerang merah, begitulah susahnya untuk mencari mursyid.
Sebab itu, pemimpin atau mursyid sudah tidak wujud lagi di
kalangan umat Islam hari ini. Maka umat Islam berjuang hanya
main-main akal, beribadah main suka hati, bertindak pula main
sembrono, tidak diukur cara ilmu lagi. Jadi kita perlu ada guru
yang mursyid, yang boleh memimpin ilmu dan amalan kita,
yang memimpin lahir dan batin kita. Guru mursyid ini menjadi
tempat kita merujuk walau dalam perkara kecil sekalipun.
Tetapi di sinilah ramai yang tidak faham termasuk alim ulama.
Sesetengah mereka berkata, “Kalaulah kita sudah berguru
di satu tempat, janganlah lagi kita berguru di tempat lain.”
Ini satu kesilapan dan fahaman yang salah. Sebenarnya guru
mursyid sahaja yang tidak boleh ramai. Guru mursyid mesti
seorang sahaja. Tetapi kalau muallim atau guru sumber ilmu,
lebih ramai lebih baik kerana lebih banyak saluran untuk dapat
ilmu. Kalau ada tiga puluh orang guru, ada tiga puluh saluran.
Imam Ghazali r.h. ada 1000 orang gurunya. Guru pimpinan, guru
mursyid, tempat rujuk dalam semua hal hanya seorang sahaja.
Dalam sebarang hal mesti dirujuk kepadanya termasuklah
dalam perkara yang harus. Walaupun perkara itu harus dalam
syariat, tetapi untuk mendapat berkat mesti bertanya kepadanya.
Lebih-lebih lagi kalaulah ia sudah jadi arahannya maka
wajib ditaati.
Katalah mursyid mengarahkan Si A supaya berpindah. Hukumnya
harus sahaja dalam ajaran Islam. Tetapi apabila diarah
oleh mursyid, berdosa Si A kalau tidak berpindah. Setiap arahannya
menjadi wajib aradhi atau wajib mendatang sebab mentaati
pemimpin adalah wajib. Contoh yang lain ialah arahan menghadiri
majlis usrah, majlis tahlil, tukar kerja dan arahan kahwin.
Walaupun semua ini perkara harus dan sunat tetapi kerana
pemimpin yang suruh, maka wajib ditaati. Di sinilah banyak
silapnya para pejuang sekarang. Mereka sudah ada jemaah
tetapi bila ada masalah dalam jemaah, dia tidak rujuk kepada
mursyid. Malahan dia rujuk kepada ulama di luar jemaah atau
kepada dukun. Akhirnya rosak keyakinannya.
Jadi setiap orang yang ingin membaiki dirinya mesti ada
mursyid yang akan memimpinnya sekalipun dia ulama, ustaz,
orang alim, hafaz Al Quran dan pakar Hadis. Kenapa? Dalam
ajaran Islam ini ada ilmu yang datang dari akal, ada ilmu yang
datang dari hati. Ada yang lahir ada yang batin. Ada yang tersirat
dan ada yang tersurat. Belum tentu seseorang itu diberi ilmu
yang tersirat. Bukan semua orang diberi ilmu-ilmu hati. Oleh
itu, walau ulama pakar macam mana sekali pun kena ada guru
yang memimpinnya.
Di sinilah ramai orang silap faham. Terutamanya para ulama.
Kerana hati mereka berkata, “Saya dah jadi ulama, saya dah jadi
alim, saya dah jadi profesor, dah jadi pensyarah, apa perlu pimpinan?
Saya boleh pimpin diri saya sendiri. Buat apa bersandar
pada orang lain?”
Begitulah tabiat ulama sekarang. Sebab itu mana ada ulama
di akhir zaman ini yang ada kesedaran, bertaqwa dan yang baik
dan menyenangkan hati kita. Kenapa? Sebab mereka fikir mereka
tidak perlu dipimpin lagi. Sebab mereka rasa mereka
banyak ilmu dan boleh pimpin diri mereka sendiri.
Akibatnya, kadang-kadang kita lihat orang awam yang tidak
punya ilmu lebih baik lagi amalan dan akhlaknya manakala
ulama hidup lintang-pukang dan merekalah yang sering
menimbulkan masalah dan huru-hara di tengah masyarakat.
Mereka sudah tidak boleh dipimpin oleh manusia lagi. Lebih-lebih
lagi mereka tidak mahu dipimpin oleh guru mursyid.
Orang yang boleh memimpin atau mursyid hanyalah orang
yang pintu hatinya terbuka iaitu yang mempunyai basirah
(pandangan hati). Bukan sekadar akalnya sahaja yang terbuka.
Ramai orang yang akalnya terbuka maka dia boleh menangkap
ilmu tetapi hatinya tertutup. Dia tidak boleh membaca hal-hal
batin, hal-hal hati dan hal-hal rohani seseorang. Dia tidak dapat
melihat sifat-sifat mazmumah dan sifat-sifat mahmudah
seseorang. Lebih-lebih lagi dia tidak dapat mengubat penyakit
hati seseorang. Mursyid itu ialah orang yang hatinya terbuka
luas dan boleh memimpin orang lain. Dia tidak semestinya lebih
alim daripada orang yang dipimpinnya.
Imam Hambali umpamanya dia tidak disebut sebagai ahli
tasawuf sebab dia tidak mengarang kitab tasawuf sebaliknya
hanya mengarang kitab ilmu-ilmu lahir sahaja. Tetapi yang
sebenarnya dia juga alim dalam ilmu batin (kerana semua imam
mazhab itu adalah mursyid dan pakar tasawuf). Dia tahu dan
mengamalkannya. Imam Hambali dan imam-imam mazhab
yang lain adalah orang-orang yang terpimpin dan mampu
memimpin. Tambahan pada itu, menurut riwayat, Imam
Hambali selalu merujuk kepada ulama-ulama, menziarahi
Bisyru al Hafi, sering menziarahi ahli-ahli sufi di hujung negeri
Baghdad.
Guru mursyid itu mampu memimpin manusia kerana kelebihan
yang ada pada dirinya. Dia lebih tahu tentang kecacatan
dan kelemahan muridnya, tentang lahir dan batin muridnya,
dia nampak dan boleh membaca hal-hal yang halus yang ada
pada hati-hati muridnya. Dia nampak dan boleh tunjuk kelemahan
muridnya dan boleh mendidik dan menunjuk ajar
mereka. Cara ini sangat berkesan malahan lebih berkesan dari
latihan-latihan yang lain dalam usaha untuk membaiki diri.
Mursyid bukan ulama biasa. Setiap mursyid itu ulama tetapi
bukan setiap ulama itu mursyid. Mursyid ialah orang yang di
samping mempunyai ilmu lahir, dia dianugerahkan pula oleh
Tuhan dengan ilmu batin atau ilmu laduni, ilmu ilham, ilmu
hikmah serta ilmu firasat hingga dia sungguh faham tentang soal
perjalanan roh atau hati dan tentang penyakit-penyakit dan
kelebihan-kelebihan hati. Dia mampu untuk memimpin, mendidik
dan menunjuk ajar manusia dalam usaha mereka untuk
memperbaiki diri dan menyucikan hati.
Mursyid adalah guru rohaniah yang telah terlebih dahulu
mengamalkan ilmunya dan menyucikan hatinya. Justeru itu, dia
mempunyai kelebihan-kelebihan rohaniah yang biasa dimiliki
oleh orang-orang yang telah membersihkan dan menyucikan
hati mereka. Disebabkan hatinya bersih, dia boleh menyelami
hati-hati orang lain.
Jadi setiap orang mesti mencari seorang guru mursyid untuk
memimpin dirinya walaupun dia alim. Lahir batinnya perlu
diserah kepada guru mursyid. Ini adalah satu dari syarat untuk
mendapat taqwa.
Salam. Terbaek. Skang ni ramai yg menghukum dari yang mendidik. Contoh. Ramai yang dok canang. Si polan munafik sebab dia buat itu dan ini. Kan baik kalo dinyatakan seperti ini. Ciri ciri orng munafik adalah seperti melakukan itu dan ini. Positif kan diri sendiri dari menegativekan diri kerana orang lain yang negative. Namaku o.f
ReplyDelete