Wednesday, 27 February 2013

0 harus waspada



Empat perkara utama halang laksana ibadat

KEIKHLASAN hati dan jiwa melakukan ibadat kepada Allah adalah kemuncak kepada kemurnian nurani seseorang untuk menghambakan diri semata-mata kerana Allah. Lantaran itulah, dalam banyak hal, Islam mengingatkan umatnya menyemaikan rasa ikhlas dan jujur dalam setiap perkara.

Keutamaan sifat ikhlas diingatkan Allah SWT kerana sifat ikhlas mampu menghalang dan mencegah diri seorang Mukmin daripada perkara yang menghalang dirinya untuk beristiqamah dalam melakukan ibadat kepada Allah SWT.

Imam al- Ghazali berkata, terdapat empat perkara besar yang selalu menjadi penghalang kepada seseorang mukmin untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT iaitu dunia, makhluk, nafsu dan syaitan.

Jika diteliti maksud dunia seperti mana diperkatakan ilmu Tasawuf, ia merangkumi semua perkara yang tidak memberi manfaat apabila seseorang itu kembali semula ke hadrat Ilahi umpamanya wang ringgit, harta menimbun, pakaian berjenama, makanan dan minuman yang membawa manusia kepada kelalaian dan suka bermewah-mewah dengan kehidupan duniawi.

Skop pengertian itu boleh berubah apabila seseorang itu hanya menganggap segala keperluan duniawi tidak lebih sebagai alat dan perantara untuk mengurus dan membelanjakannya ke jalan yang diredai Allah, maka ia berubah menjadi konsep dunia untuk akhirat.

Setiap amalan bermula dengan niat. Jika niat itu dimulakan kerana Allah maka ia terus saja menjadi ibadat, tetapi ia hanyalah sebuah adat jika sebaliknya. Cara untuk mengatasi perkara itu dengan mengambil kenikmatan dunia sekadar keperluan.

Kedua, gangguan dan halangan daripada makhluk Allah SWT. Apa yang dimaksudkan makhluk ialah apa saja yang dikurniakan Allah termasuk anak, binatang ternakan dan harta benda yang boleh melalaikan manusia daripada menunaikan ibadat wajib dan sunat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak pinak kamu itu adalah ujian kepada kamu.” (Surah al-Anfal, ayat 28) 

Dalam kes harta benda, berapa ramai manusia Muslim yang tidak mampu menghalang diri daripada terus boros membelanjakan ke jalan yang ditegah agama. Ringgit mereka mengalir ke pusat hiburan dan maksiat. Membeli keperluan dengan melampau sehingga lupa hak mengeluarkan zakat dan bersedekah atau menunaikan fardu haji kerana sudah memenuhi syarat ditentukan syariat. 

Harta apabila sudah dikumpul secara menimbun, akan menjadikan seseorang itu hamba kepada harta. Ada yang sanggup tidak mengerjakan solat dan keluar bersosial semata-mata menjaga harta benda.

Kita dapat lihat ramai ibu bapa yang terpaksa melewatkan melakukan ibadat solat atau terus tertinggal daripada mengerjakannya pada tempoh masa yang difardukan semata-mata kerana melayan kerenah anak.

Ada pula di kalangan manusia dikenali sebagai keluarga yang mewah dan berada gemar membina rumah bagaikan istana di puncak bukit untuk mengelakkan diri daripada didekati rakan taulan, demi menjaga harta benda mereka.

Ada pula sengaja membina rumah besar di celah rumah kecil yang didiami orang sederhana dan miskin harta dengan tujuan untuk menunjuk dan mempamerkan kekayaan mereka kepada orang di sekeliling.

Ketiga, keinginan atau lebih dikenali sebagai nafsu yang sentiasa merajai diri. Penghalang dalam diri inilah yang selalunya sukar diperangi supaya tidak terus menyubur dalam diri. Apa yang berlaku, ramai daripada kita gemar tunduk dan tewas kepada kehendak nafsu sendiri.

Kejahatan dan kemungkaran yang timbul daripada nafsu ini sukar untuk dikekang jika kita tidak bersungguh dan beristiqamah melawannya.

Pada akhir zaman ini, kita dapat perhatikan kisah yang berlaku dalam masyarakat yang kadangkala sukar dipercayai kerana apa yang terjadi ada waktunya tidak masuk akal sama sekali. Ada orang melakukan maksiat di waktu azan bergema daripada surau berhampiran.

Ada pula yang terpaksa meninggalkan solat dan puasa fardu semata-mata memenuhi dan menghormati undangan rakan yang tidak berpuasa. Ada pula meninggalkan solat fardu kerana memenuhi tuntutan tugas yang memerlukan mereka sentiasa bergerak pantas dan menggunakan banyak masa supaya dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Keempat ialah desakan serta bisikan iblis dan syaitan durjana yang sentiasa akan menggoda menipu daya manusia ke jalan yang sesat sehingga hari Kiamat. Perlu diingat iblis dan syaitan boleh merubah bentuk asal menyerupai manusia yang cantik, berpangkat atau warak dan soleh.

Dalam hal gangguan ketika solat ini, ramai di kalangan kita yang tidak menyedari peranan besar yang dimainkan oleh iblis dan syaitan untuk membolehkan manusia alpa dan dengan sebab itu ibadat solat kita ditolak Allah SWT.

Umpamanya seorang yang mendirikan solat secara bersendirian di tempat terbuka akan cuba membacanya dengan cepat untuk menyudahkan solatnya, tetapi dibimbangi ia akan tersalah bacaan dan dilihat tidak khusyuk dalam solat.

Maka ia mengubah pula dengan bacaan yang sedikit lambat tetapi dengan suara yang kuat dengan tujuan supaya didengar jemaah lain. Tujuannya supaya beliau akan dipandang warak dan seorang alim dalam ibadat.

Punca lahir perasaan riak kerana disuntik godaan iblis dan syaitan yang sengaja mengacau ketenangan solatnya dengan hal yang bukan-bukan yang seterusnya melalaikan daripada matlamat sebenar solat untuk mengabdikan diri semata-mata kerana Allah.

Rasulullah SAW dalam doanya yang bermaksud: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan aku berlindung dengan Allah daripada kehadiran syaitan itu kepadaku.”

Setiap manusia sebenarnya terdapat syaitan yang akan berusaha menggoda. Terpulanglah kepada setiap individu itu untuk menanganinya supaya terlepas daripada tipu helah syaitan.

Apabila tiba saat menunaikan solat dan kita secara sengaja bertangguh-tangguh, bermakna kita tidak dapat melawan godaan dan bisikan syaitan dalam diri yang sengaja menyebabkan kita suka berlengah.

Ada golongan insan yang sukar diperdaya iblis dan syaitan. Mereka meletakkan sifat ikhlas dan jujur di puncak ibadat kepada Allah seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tiadalah mereka diperintah melainkan agar menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dengan berterusan.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5) 

Pertelingkahan yang berlaku pada Hari Kiamat nanti lebih hebat kerana manusia akan segera menyalahkan syaitan yang menyebabkan manusia dicampakkan ke dalam neraka. Pada waktu itu syaitan akan menjawab tiada siapa yang menyuruh manusia mengikutnya, kerana kelemahan manusia itu sendiri yang memaksa mereka dihumban ke dalam neraka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi. Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka.” (Surah al-Fatir, ayat 6) 

Justeru, apabila kita dengan kekuatan dan iltizam serta istiqamah dalam diri berjaya menyingkirkan keempat-empat halangan yang menghalang kita beramal ibadat kepada Allah SWT, dengan izin Allah SWTkita tidak akan mudah kecewa apabila ditimpa musibah.

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
Berita Harian
Sabtu/2 jun 2007


0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates