Friday, 2 May 2014

0 Kesan akidah yang benar



Ini adalah yang kedua turun kepada Nabi kita yang dicintai Muhammad s.a.w. Ketika mana ayat ini diturunkan, masyarakat pada waktu itu hidup penuh dengan kemungkaran, antaranya terbabit perjudian, arak dan gejala sosial yang jelas bergelumang dengan dosa.

Bahkan mereka terkenal dengan sikap berpuak-puak, pergaduhan sesama mereka menjadi sudah menjadi kebiasaan bahkan perasaan atau sifat malu tidak ada apabila tawaf Kaabah dalam keadaan bertelanjang.

Imam Ibnu Katsir (Wafat 774H) dalam kitab tafsirnya, beliau menjelaskan maksud ayat “Dan pakaianmu bersihkanlah” iaitu sucikanlah jiwamu dan akhlakmu. Allah mewahyukan kepada Nabi untuk membersihkan jiwanya.

Pengutusan Muhammad sebagai utusan Allah, mengembalikan nilai kehidupan yang diredai Allah dapat digambarkan seawal isterinya Siti Khadijah r.h.a membawa Nabi bertemu dengan sepupunya Waraqah bin Naufal.

Lalu Waraqah menceritakan peristiwa yang berlaku kepada Nabi adalah perkara yang sama terjadi kepada Nabi Musa a.s iaitu Namus (atau Malaikat Jibril) diutuskan untuk menyampaikan wahyu daripada Allah kepada Nabi Musa. Mendengar ucapan Waraqah, Nabi menjadi gembira.

Dalam jangka waktu Nabi berada di Makkah selama 13 tahun selepas turunnya ayat al-Muddatstsir, ayat yang turun selanjutnya memerintah Nabi mengajak manusia kepada Allah yakni pembentukan akidah.

Dalam kekancahan dan keruntuhan akhlak masyarakat ketika itu Nabi menyeru akidah sebagai agenda utama dakwah beliau sesuai dengan ayat perintah yang diturunkan.

Kita sedia maklum bahawa masyarakat Arab ketika itu mengamalkan amalan yang bertentangan nilai kemanusiaan, namun Nabi masih meletakkan akidah sebagai ciri dakwah utama.

Tidakkah ini menunjukkan bahawa akidah menjadi keutamaan yang boleh kita ambil sebagai pengajaran daripada sirah Nabi?


Strategi dakwah Nabi

Apa yang kita boleh pelajari di sini antaranya adalah, pertama sebelum keluar berdakwah pastikan penampilan dan jiwa berada di dalam keadaan yang bersih. Rohani atau jiwa yang bersih terbit daripada ilmu wahyu (al-Quran dan as-Sunnah) yang Allah turunkan. Saya bawakan kisah keislaman sahabat Nabi yang bernama Abu Dzar al-Ghifari iaitu sebelum dia memeluk Islam, dia menghantar adiknya untuk menyiasat siapakah Muhammad yang mendakwa sebagai dirinya Rasul, namun sering menjadi buah mulut ramai kerana dicop sebagai penyair gila dan bermacam lagi gelaran.

Hasil siasatannya dia mendapati bahawa Muhammad adalah seorang baik akhlak dan tinggi budi pekertinya yang risalahnya adalah mentauhidkan Allah. Akhirnya Abu Dzar memeluk Islam selepas dia bertemu dengan Nabi.

Inti dakwah Nabi iaitu mengesakan Allah semata-mata diterima oleh masyarakat Makkah kerana tertarik dengan akhlak baginda. Dan selama 13 tahun di Makkah, dakwah akidah masih menjadi keutamaan.

Cuba perhatikan lagi dakwah Nabi, masyarakat Arab Jahiliyah yang sangat hebat dan berbangga dengan syair dan bahasa sastera tidak mampu menandingi keindahan al-Quran yang disampaikan Nabi yang hanya seorang lelaki yang ummi (tidak tahu membaca).

Percaya atau tidak sebenarnya mereka menyedari bahawa al-Quran bukan rekaan Muhammad. Dengan kebijaksanaan yang dikurniakan kepada Nabi, beliau dapat menarik perhatian masyarakat dengan membacakan petikan ayat daripada al-Quran seperti “Alif..Laam..Mim”. Bacaan seperti ini berjaya membuatkan masyarakat Arab teruja dan ingin mendengar apa yang hendak disampaikan oleh Nabi lalu deretan ayat demi ayat yang memperdengarkan keagungan Allah menyusup masuk ke telinga mereka.

Ada yang menerima dan ada juga yang menolak. Bukan itu saja, Allah juga memerintahkan Nabi untuk mencabar Arab Jahiliyah membuat ayat yang sama seperti al-Quran jika mereka di pihak yang benar, namun tidak ada seorang pun yang mampu berkarya walaupun sebaris ayat. Apa yang berlaku pula adalah sebaliknya, keindahan ayat al-Quran iaitu kalamullah memikat hati mereka dan sebahagian mengakuinya dan memeluk Islam.


Dalil dakwah akidah

Sesungguhnya perjuangan menegakkan akidah dibabitkan oleh lebih daripada tiga ratus rasul yang diutuskan. Allah berfirman, “Dan sungguh Kami mengutus seorang rasul pada setiap umat (supaya menyeru): “Sembahlah Allah (saja) dan jauhilah thaghut (berhala dan apa yang disembah).” (Surah an-Nahl:36)

Kalaulah kita faham tujuan sebenar manusia dan jin diciptakan, pasti kita akan akui bahawa memurnikan akidah adalah perkara pertama yang perlu diselesaikan.
Firman Allah, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan (diri mereka) kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat:56)


Kesan akidah yang benar

Jika dianalisa, kita mendapati bahawa kejayaan dakwah akidah yang diperjuangkan Nabi memberikan kesan luar biasa. Menurut sejarah dan melalui deretan kisah teladan daripada sahabat Nabi, bahkan didasari oleh firman Allah ta’ala menunjukkan bahawa akidah murni adalah teras kepada kesejahteraan hidup.

Seperti yang berlaku di Madinah apabila turun ayat yang mengharamkan arak, Ibnu Abbas menyatakan Madinah dibanjiri dengan curahan arak yang melimpah kerana semua tempayan arak yang dimiliki dipecahkan oleh sahabat nabi kerana begitu taatnya mereka kepada Allah dan rasul.

Begitu juga peristiwa ayat hijab (perintah bertudung), kaum muslimat serta-merta mengoyakkan cadar dan kain langsir untuk dijadikan tudung bagi menutupi kepala mereka.

Adalah sesuatu yang menakjubkan betapa akidah itu menanam sikap ketaatan dan yakin kepada perintah Allah dan rasul. Ketika peperangan Badar, hanya dengan satu seruan janji daripada Nabi “Bangkitlah kamu menuju ke syurga Allah yang luasnya seperti langit dan bumi”, maka sahabat bangun menyahut seruan tersebut tanpa mengira nyawa dan keluarga.

Nabi hanya menjanjikan sesuatu yang tidak dapat dilihat, apatah lagi digambarkan oleh pancaindera, tetapi diyakini hanya atas dasar akidah. Semua ini kerana keyakinan yang kuat terhadap al-Quran terpasak di dalam hati mereka dan terbina atas didikan akidah yang murni oleh Nabi.

Oleh itu, kepada pendakwah, perhatikanlah apa keutamaan dakwah anda dan apakah ia selari dengan apa yang diperjuangkan oleh Nabi sekiranya anda ingin agar zaman kegemilangan Islam kembali sebagaimana yang dilalui oleh Nabi dan sahabatnya. Wallahu a’lam.


Penulis berkelulusan Sarjana Usuluddin Hadis, Universiti Yarmouk, Jordan

*maaf kerana lama tidak 'update entry'

0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates