Monday, 21 May 2012

0 Pastikan Kesahihan Hadis Tentang Rejab





HADIS PALSU BULAN REJAB

Oleh Mohd Shukri Hanapi, Berita Harian Online, 17 Ogos 2005: UMAT Islam ini berada dalam Rejab iaitu bulan yang ketujuh dalam kalendar Islam. Bagi sesetengah masyarakat Islam, mereka menganggap Rejab adalah bulan teristimewa kerana menyangka mempunyai banyak kelebihan. Sebenarnya tidak thabit dalam hadis sahih yang menyatakan kelebihan Rejab. Cuma bulan ini termasuk dalam salah satu daripada empat bulan yang dilarang berperang padanya selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Tidak dinafikan ada beberapa hadis yang sering kita dengar dalam ceramah dan penulisan mengenai kelebihan bulan ini. Malangnya, kebanyakan hadis itu berkisar sekitar daif, palsu atau tiada sandaran.

Antara hadis yang sering digunakan untuk menyatakan kelebihan bulan ini ialah: "Dalam syurga ada sebuah sungai yang bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya akan diberi minum air sungai itu." - Hadis ini sebenarnya bertaraf daif.

Selain itu, hadis berbunyi: "Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan, sesiapa berpuasa tujuh hari nescaya ditutup daripada tujuh pintu neraka jahanam. Sesiapa berpuasa lapan hari, nescaya dibuka baginya lapan pintu syurga." - Taraf hadis ini juga daif.

Dalam pada itu ada hadis lagi yang berbunyi "Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku (Nabi Muhammad saw), Ramadan bulan umatku." Hadis ini munkar, malah ada sesetengah ulama mengatakan ia hadis palsu, tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan.

Ibnu Hajar al-Asqalani telah berusaha mengumpul mengenai kelebihan Rejab dalam kitabnya, Tabyin al-'Ajaib bima warada fi fadl Rajab. Namun menurut beliau, tiada satu pun hadis sahih yang menyatakan mengenai kelebihan dan fadilat puasa pada Rejab.

Tanda daif atau palsu dalam hadis kelebihan Rejab ketara sekali, terutama apabila menjanjikan pahala yang terlalu besar bagi mereka yang berpuasa atau beribadat padanya. Ulama menyatakan, janji yang terlalu besar tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan. Hal ini menunjukkan kemungkinan hadis itu dusta atau palsu.

Bagaimanapun, tiada hadis yang melarang umat Islam berpuasa pada Rejab. Oleh itu, hukum berpuasa sunat dalam bulan ini sama saja dengan berpuasa pada bulan lain, seperti puasa pada Isnin dan Khamis atau tiga hari dalam sebulan

Namun begitu, soal kethabitan atau ketulenan sesebuah hadis perlu diambil kira. Adalah tidak wajar apa saja yang dikatakan hadis terus disebarkan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) ulama hadis terhadap kedudukannya.

Sebenarnya dengan penyebaran hadis palsu seumpama, akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah yang dipelihara dengan begitu baik oleh ulama Islam terdahulu.

Rasulullah memberikan amaran terhadap orang yang berdusta atas namanya dengan ancaman yang berat. Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka." - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis Mutawatir.

Dalam riwayat lain, Nabi menyebut: "Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka." - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ancaman dalam hadis ini merangkumi segala jenis pendustaan dan pembohongan ke atas Nabi sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat atau ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Dalam menghuraikan maksud hadis ini, Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan: "Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi dan semua jenis pendustaan ke atas Baginda."

Dalam Islam, pendustaan atas nama Nabi adalah jenayah amat berat. Dimaksudkan pendustaan atas Nabi adalah menyandar sesuatu perkataan, pengakuan atau perbuatan kepada Rasulullah secara dusta. Nabi langsung tidak ada kaitan dengan perkataan, pengakuan dan perbuatan yang disandarkan kepadanya. Misalnya, menyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda sesuatu yang Baginda tidak pernah bersabda, berbuat atau mengakui sesuatu yang Baginda tidak pernah melakukannya.

Sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai hadis atau sunnah. Adapun menyandar sesuatu kepada Nabi secara dusta, bukanlah dikategorikan sebagai hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasarkan apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu' (palsu) atau al-Mukhtalaq (rekaan).

Bukan saja membuat hadis palsu itu hukumnya haram, bahkan meriwayatkannya tanpa menjelaskan kepada pendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah haram dan berdosa. Oleh itu, semua umat Islam wajib memandang berat perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasulullah yang menjadi sumber kedua perundangan Islam selepas al-Quran.

Umat Islam jangan mudah tertipu dengan dakwaan palsu yang disandarkan kepada Rasulullah, sedangkan ia tidak ada hubungan langsung dengan Baginda. Sehubungan itu, penyebaran hadis daif dan palsu mengenai kelebihan Rejab ini hendaklah dihentikan agar jangan sampai masyarakat melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala, sedangkan dosa besar pula yang diperoleh akibat menyebar dan beramal dengan hadis palsu seperti ini.

boleh juga rujuk link di bawah

http://smartsufi.com/pastikan-kesahihan-hadith-tentang-rejab-2/

0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

Blogger news

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates