Wednesday, 2 May 2012

1 Kenikmatan memiliki iman yang sebenar




Kenikmatan memiliki iman yang sebenar merupakan cita-cita mulia setiap orang hamba Allah. Tetapi ramai yang merasa hampa ketika beribadat. Ritual yang dijalankan hanya sekadar melepas tanggung jawap fardu sahaja, tetapi di manakah kenikmatan dan kemanisannya? Apakah khilafnya sehingga diri terasa jauh kepada Allah walaupun tidak meninggalkan ibadat fardu dan sunat? Bukankah Allah telah berfirman di dalam hadits qudsi yang bermaksud:
“Tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku melainkan seperti mereka yang mengerjakan apa-apa yang Aku fardukan ke atas mereka. Dan sentiasalah hamba-Ku menghampirkan diri kepada-Ku dengan yang sunat sehingga Aku mencintainya, maka apabila Aku telah mencintainya Akulah pendengaran yang dengannya ia mendengar dan Akulah penglihatan yang dengannya ia melihat dan Akulah lidah yang dengannya ia bercakap dan Akulah tangan yang ia menyentuh dan Akulah kaki yang ia berjalan dengannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Hadis di atas jelas menerangkan kepada kita bahawa sesiapa yang sudah mengerjakan fardu dan sunat dalam ibadat hariannya semestinya dia akan menjadi manusia baru yang amat sempurna keperibadiannya. Apabila hati, telinga, mata, tangan, kaki dan lidahnya berfungsi, ia sentiasa ingatkan Allah. Allah memerhati segala perbuatannya dan ia bangga kerana menjadi manusia yang dirahmati dan disanjungi oleh Allah dan para Malaikat-Nya sepertimana dinyatakan dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah apabila mencintai hamba-Nya, Dia memuji mereka dengan mengatakan: Wahai para malaikat, saksikanlah bahawa Aku mencintai-Nya maka cintailah Dia.”
Tetapi mengapa hati kita tidak dapat meresapi kasih Allah itu. Bahkan bagai cermin yang memantulkan cahaya, ia tidak dapat kekal memiliki kasih-Nya yang suci. Mungkinkah kerana kita terlalu yakin sehingga melahirkan sikap berpuas hati dengan iman dan amal kita? Kita merasa syurga di depan mata sedang menanti kepulangan kita, padahal itu hanyalah tipu daya syaitan yang menghiasi pandangan mata. Akhirnya kita meremehkan dosa maksiat kerana merasa ada modal ibadat yang telah dilakukan.
Ada beberapa cara untuk kita mengekalkan iman dan rasa takut kepada Allah SWT. Yang pertama, ingatlah kepada roh kita ketika ia berada di dalam rahim ibu yang dikasihi. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan ruh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan perbuatan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu iapun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu iapun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah ia ke dalamnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas cukup menakutkan bagi manusia yang memahami betapa amal salih itu belum tentu menjaminnya ke syurga, kerana ia masih bergantung pada takdir yang tertulis di Lauh Mahfuz. Betapa kita tidak berdaya, Allah yang Maha Agung menggenggam kita dengan kehendak-Nya. Jadi kenapa rasa takut itu belum hadir ketika kita sembahyang, atau ketika kita berada di pasar? Atau ketika kita dihadapkan oleh dua dilema, kesusahan taat dan kelazatan syahwat? Mengapa kita masih bersuka ria padahal kita tidak tahu beruntungkah atau celakakah kita di akhirat nanti?
Tetapi jangan jadikan hadis di atas sebagai pukulan yang mematikan hasrat untuk beramal. Hal ini cukup berbahaya! Hikmah hadis ini diajarkan oleh Rasulullah SAW ialah agar kita tidak sombong dengan amal salih dan merasa cukup terjamin dengan ibadat kita. Sehingga perasaan takut itu menjadi pemicu kepada kuat beramal ibadat.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang daripada kamu melainkan telah dituliskan tempat duduknya di neraka dan tempat duduknya di syurga.” Lalu mereka berkata: “Ya Rasulullah kalau begitu maka apakah kami patut berserah saja kepada tulisan kami dan tinggalkan amal? Rasulullah SAW bersabda: “Beramallah kamu maka semuanya akan dipermudahkan kepada apa yang telah dituliskan bagi kamu. Adapun orang yang berbahagia maka ia akan beramal dengan amal golongan bahagia. Dan orang yang celaka maka ia beramal dengan golongan orang yang celaka.”
Yang kedua, takut jika amal kita tidak diterima oleh Allah. Mungkin amal yang kita buat itu terlalu kotor dengan debu-debu riya’ atau kerana terpaksa, bukan lahir dari hati dan bukan kerana Allah. Atau mungkin beramal kerana sombong dan merasa kita yang menggerakkan tubuh badan kita sendiri untuk beramal. Padahal semua itu adalah gerakan kuasa Allah Yang Maha Besar. Kerana petunjuk Allahlah kita beribadat, bukan kerana semangat kita yang membara atau ilmu kita yang menggunung atau sebutan dan sanjungan manusia kepada diri kita. Tanyakan pada diri sendiri adakah amal ini tidak terinfeksi oleh kuman-kuman yang merosakkannya? Hadis Rasululullah SAW menukilkan tentang rosaknya amal salih: “Para malaikat yang membawa amal manusia memuji-muji amal salih itu dan mempersembahkannya kepada Allah lalu Allah berfirman: Kamu semua hanya menuliskan tetapi Aku Maha Mengetahui apa yang dikerjakannya itu bukan untuk-Ku. Musnahkanlah ia kerana ia bukan untuk-Ku.”
Yang ketiga, takutlah kepada kematian ketika kita beramal. Maka akan lahirlah perasaan takut kepada kuasa Allah SWT. Mungkin sujud ini sujud yang terakhir. Mungkin kucupan dan pelukan kepada isteri ini yang terakhir. Mungkin sedekah ini yang terakhir. Mungkin puasa ini yang terakhir. Kita mahu ketika ajal sampai, kita sedang beribadat kepada Allah SWT dan takut kepada-Nya. Masa begitu singkat maka pergunakanlah masa itu untuk sebenar-benar penghambaan. Rasulullah SAW bersabda: “Manusia akan dibangkitkan menurut cara kematiannya.”
Yang terakhir, takutlah kepada Allah dengan mengingati hari terpenting dalam hidup kita, iaitu hari akhirat. Aisyah RA menanyakan persoalan paling romantik kepada kekasihnya Nabi SAW. “Wahai kekasihku, Ya Rasulullah, di manakah tempat orang yang mencintai tidak ingat kepada yang dicintai? Jawab baginda: Ada tiga tempat yang ia tidak ingat iaitu: Pertama ketika ditimbang amal apakah ringan atau berat. Kedua ketika menerima catatan amal sehingga tahu dengan tangan kanan atau kiri. Ketiga ketika keluar ular besar dari neraka yang mengepung mereka dan berkata: “Aku disuruh mencari tiga jenis manusia; Orang yang syirik, orang yang kejam dan zalim dan orang yang tidak percaya dengan hari ini.”
Betapa hanya Allah layak untuk diagungkan, ditakuti, dipuji dan diminta pertolongan-Nya. Hanya orang-orang yang diberi petunjuk dan dicurahi nikmat iman serta kasih Ilahi yang dapat merasai takut kepada Allah pada setiap detik jantungnya.
Marilah kita perbanyakkan mengingati ALLAH swt di dalam hati dengan zikrullah atau solat dengan ikhlas ,mudah mudahan akan timbul rasa takut kepada ALLAH swt di dalam diri kita  

1 comments:

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates