Tuesday, 17 January 2012

0 bagaimana jika kita dalam keadaan begini ...

Bilal Bin Rabah merupakan salah seorang hamba abdi yang memeluk agama Islam secara diam-diam. Dengan kuasa Allah SWT, dia tertarik untuk menerima ajaran Islam daripada Baginda Nabi Muhammad SAW.
Pada asalnya, tiada siapa pun di kalangan kafir Quraisy tahu berita tentang keIslaman Bilal Bin Rabah. Bahkan Nabi Muhammad SAW sudah berpesan agar dia menyembunyikan keIslaman kerana dibimbangi akan menjadi mangsa seksaan kejam musyrikin Quraisy ketika itu. Ini kerana saat itu penyebaran Islam masih dalam period permulaan.


Namun begitu, rahsia keIslaman Bilal bin Rabah akhirnya terbongkar ke pengetahuan tuannya bernama Umayyah bin Khalaf. Setelah tuannya mendapat perkhabaran itu, maka marahlah dia sehingga bertindak menyiksa sekeras-kerasnya ke atas Bilal bin Rabah.
Lalu Umayyah bin Khalaf menjerut lehernya dengan tali yang panjang. Kemudian dia menyuruh budak-budak menariknya di atas padang pasir yang kering serta di simbahi terik mentari panas tak terkira. Bayangkan betapa peritnya kesakitan yang dialami Bilal bin Rabah ketika diperlakukan sebegitu.
Namun begitu, dia tetap setia pada yang satu. Dia tetap bertahan bersama agama Islam tanpa tergugat walau sedikit pun. Bibirnya tak lekang mengucap kalimah tauhid.
“Ahad! Ahad! Ahad!” (Yang bermaksud Allah yang satu)
Akan tetapi, penyeksaan itu seakan-akan tidak membawa perubahan ketara kepada Bilal bin Rabah. Bahkan tidak sedikit pun keimanannya tergugat dek penyiksaan dahsyat itu. Kemudian Umayyah menggandakan balasan terhadap Bilal bin Rabah. Dia mengikat kaki dan tangan Bilal bin Rabah dengan tali.
Setelah itu, Bilal bin Rabah dibawa ke tengah-tengah padang pasir lalu dijemur di situ tanpa rasa belas dan kasihan. Sedangkan saat itu padang pasir seolah-olah seperti tempat pemanggang daging yang meluap-luap panasnya. Andainya diletakkan apa jua daging di atasnya, sudah tentu akan menyebabkan ia masak merah menyala. Inikan pula tubuh seorang manusia bernama Bilal bin Rabah, sudah tentu memberi bekas yang tidak kurang pedihnya.
Tidak cukup dengan kaedah penyeksaan secara menjemur, Umayyah bin Khalaf bertindak ganas dengan meletakkan pula sebongkah batu besar lagi berat ke atas dada Bilal bin Rabah. Allahhu Rabbi! Sangat dahsyat seksaannya terhadap insan dhaif seperti Bilal bin Rabah. Dia hanya cuma berpegang teguh pada ad-Deen, tetapi disiksa seperti melakukan kesalahan berat.
“Ahad! Ahad! Ahad!” Itulah perkataan yang menjadi peneman Bilal bin Rabah tatkala diseksa berat tuannya. Tanpa sedikit pun merasa untuk menyekutukan Allah SWT dengan kembali kepada agama asal – yakni penyembahan berhala.
Kemudian Umayyah bin Khalaf berkata kepada Bilal bin Rabah:
“Engkau tidak akan aku lepaskan daripada hukuman ini, melainkan engkau mahu mendustakan Muhammad. Dan engkau kembali menyembah tuhan-tuhan engkau dahulu – iaitu Lata dan Uzza itu.”
Bilal bin Rabah tetap tidak menjawab kata-kata tuannya itu, tetapi terus mengucapkan kalimah:
“Ahad! Ahad! Ahad!”
Akibat kuatnya pegangan Bilal bin Rabah terhadap agama Islam, maka Umayyah bin Khalaf terus menyeksa serta meninggalkannya dalam keadaan kelaparan tanpa diberi makan dan minum selama beberapa hari. Bilal bin Rabah tabah menerima siksaan itu biarpun badannya bagai disiat-siat rasa panas membahang, tanpa diberi makan dan minum, lalu terpaksa pula menahan cuaca sejuk bila malam bertandang.
Ditakdirkan Allah SWT, suatu hari melintaslah Saidina Abu Bakar as-Siddiq melalui tempat penyiksaan terhadap Bilal bin Rabah. Melihat keadaan yang berlaku, Saidina Abu Bakar meminta Umayyah bin Khalaf menjual Bilal bin Rabah kepadanya. Oleh kerana tuannya itu sudah jemu menyiksa Bilal bin Rabah, sedangkan dia tetap teguh kepada kepercayaan agama Islam maka dia dijual dengan harga beberapa dirham sahaja. Tidak lama kemudian, terbebaslah Bilal bin Rabah apabila Saidina Abu Bakar as-Siddiq memerdekakannya.
Rahsia Keteguhan Iman Bilal bin Rabah
Sabda Rasulullah SAW: “Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)
Melihat kepada keteguhan Iman Bilal bin Rabah, maka dapat kita kutip rahsianya melalui sepotong hadis Rasulullah SAW sebagaimana yang tercoret di atas.
Bilal bin Rabah sudah mencapai tahap di mana dia tidak lagi merasa pahit atau perit untuk mempertahankan keimanannya biarpun disiksa dengan dahsyat sekali. Inilah yang dinamakan Halawatul Iman. Halawatul Iman ini adalah bermaksud kemanisan Iman. Sesungguhnya, Bilal bin Rabah saat disiksa dia sudah mengecapi kemanisan Iman ini.
Kemanisan Iman tidaklah wujud ke dalam diri seseorang hamba itu, melainkan apabila rasa cintanya terhadap Azza Wajalla dan Rasul utusanNya itu melebihi apa yang ada seisi dunia. Nah, inilah kekuatan sebenar para sahabat Rasululullah SAW. Dia tidak hanya mengucapkan cinta di bibir sahaja, tetapi rasa cinta itu bagaikan menguasai seluruh tubuh jiwa dan raganya. Hinggakan apabila ditimpa ujian, dia tidak mengeluh kesakitan atau Imannya menguncup hingga lupa Tuhan.
Malah cinta para sahabat kepada Allah dan RasulNya telah diterjemahkan ke dalam kehidupan mereka. Mereka tetap setia bersama-sama Rasulullah SAW, seiring sejalan untuk mengemban dakwah dan menegakkan kalimah Allah SWT ke serata penjuru alam. Mereka tahan disiksa. Mereka tabah diperlakukan dan diperlecehkan musuh. Hidup dan mati mereka hanyalah untuk mendapat redha Allah, dan kasih Rasulullah SAW. Itulah kemanisan paling hebat yang mereka kecapi. Allahu Akbar!
Seterusnya ialah, perasaan cintanya kepada sesama Islam tidak lain tidak bukan tautannya adalah dengan tali Allah SWT. Maka apabila seseorang itu menyintai saudaranya kerana harta benda, itu bukanlah dinamakan ukhuwwahfillah. Begitu juga sekiranya seseorang lelaki atau wanita itu menyintai pasangannya (suami isteri) hanya semata-mata demi untuk menggapai redha Allah SWT, nescaya hubungan itu akan menyuburkan wangian keimanan dan menerbitkan sakinah (ketenangan), mawaddah (rasa kasih), dan rahmah (rasa sayang).
Bilal bin Rabah, adalah di antara sahabat yang cekal dan kental setia bersama Islam hingga akhir hayat. Biarpun disiksa dan diugut supaya kembali kepada kekufuran, kembali mensyirikkan Allah dengan menyembah berhala, tetapi keimanannya begitu menebal hingga sukar untuk dipujuk rayu atau disiksa lagi. Dia tidak tergugah walau sedikit pun. Laksana bahtera yang kuat sanggup menongkah arus dan samudera luas untuk menuju ke destinasinya. Inilah yang dinamakan kemanisan Iman.


0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates