Thursday, 26 April 2012

0 bermula dari niat sebenarnya .....



Kita semua tentunya ada pengalaman sendiri terhadap perkara ini. Kalau setiap hari hati kita terisi dengan zikrullah, bacaan al Quran, puasa, sembahyang sunat, membaca kitab dan mendengar pengajian agama, hati kita akan lembut, terasa indah dalam beribadah kepada Allah, rindu kepada kebaikan, benci dan takut kepada dosa.
Tetapi kalau setiap hari kita isi dengan program TV, berbual kosong, mengumpat dan mencaci, membaca majalah hiburan yang penuh maksiat dan mendengar lagu-lagu tak berfaedah, nanti kita akan jadi malas beribadah, memandang kecil tentang cara hidup sunnah, tidak lagi rasa takut dengan Allah, tidak membesarkan Allah apalagi untuk rindu pada-Nya dan tidak suka lagi pada ahli-ahli agama dan lupa Akhirat.
Hati kita jadi cinta kepada dunia dan segala hiburannya, mahu lepas bebas tanpa sekatan hukum Islam, malas berjuang dan berangan-angan ingin hidup lebih lama lagi. Itulah bukti-bukti menunjukkan tindakan lahir, pendengaran dan penglihatan kepada yang haram, akan membuatkan hati kita buta kepada kebenaran.
Allah berfirman: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercantum (benih) yang akan Kami mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu Kami menjadi kan dia mendengar dan melihat.(Al Insaan: 2)
Tujuan Allah memberi kita mata dan telinga ialah untuk mencari dan mengenal pencipta kita iaitu Allah SWT.Kemudian supaya kita sedar diri untuk berbakti dan menurut perintah-Nya. Firman-Nya: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan  untuk menyembah Aku. (Adz Dzaariyat :  56)
Kita mesti merasai diri kita sebagai hamba dalam melaksanakan perintah suruh dan larang daripada Allah. Yang penting ialah rasa kehambaan itu. Ibadah sebenarnya ialah berpunca dari rasa kehambaan. Kalau masa ibadah itu kita tidak rasa hina dan tidak rasa hamba, tetapi rasa besar diri, sombong, marah, dengki, maka amalan lahir itu bukan lagi ibadah. Misalnya, seorang kuli mengadap tuannya dengan rasa besar diri, dengan becekak pinggang, bukankah lebih baik tidak menghadap, sebab ia tentunya akan menimbulkan kemarahan tuannya.  Hidup bukan untuk dunia tetapi hidup untuk Allah dan untuk mencari bekal kembali ke Akhirat. Untuk tujuan ini kita dikurniakan Allah pendengaran dan penglihatan. Gunakanlah kedua-duanya sebaik mungkin sebagai alat untuk sampai ke matlamat yang diredhai-Nya.
Mari kita ubati hati kita dengan membataskan pandangan dan pendengaran hanya kepada apa yang boleh mengingatkan kita kepada Allah, takut pada-Nya dan untuk berbakti pada-Nya.
Antara langkah-langkah yang patut diambil ialah:
1. Banyakkan membaca Al Quran dan terjemahannya dan cubalah semampu yang mungkin mengamalkan di dalam kehidupan seharian, hadis dan kitab-kitab serta buku-buku agama termasuk majalah dan risalah yang berunsur dakwah. Dalam masa yang sama, elakkan daripada membaca buku-buku khayal, majalah hiburan dan akhbar-akhbar yang kosong dari kebenaran.
2. Selalu mengunjungi masjid, tempat pengajian agama, majlis dakwah, dan zikrullah dan elak-kan dari tempat-tempat maksiat, majlis-majlis sosial liar (percampuran bebas) dan keluar rumah tanpa tujuan. Sebab di luar banyak pandangan dan pendengaran yang membawa kepada maksiat serta elakkan dari bergaul dengan kawan yang mengajak kita kepada maksiat.
3. Menziarahi orang-orang soleh, sebab dengan melihat mereka, dapat memberi kekuatan.
4. Ingat mati, kerana selalu mengingati mati akan melembutkan hati.
5. Elakkan dari menonton program TV yang tidak berfaedah. Sekali kita relakan mata dan telinga memandang dan mendengar perkara yang dikutuk Allah, maka selama itu kita relakan nafsu kita merajai hati kita untuk lalai dan tidak takut pada penglihatan dan pengawasan Allah.
Lebih baik kita tidur dari menonton TV. Nanti kita boleh bangun dengan segar untuk menyembah Allah dan mendekatkan hati pada-Nya. Kalau kita rasa melihat maksiat dengan tidak melihatnya sama sahaja pada hati kita, itu tandanya hati kita sudah rosak dan jauh daripada Allah. Itulah antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjernihkan batin kita. Perlu diingat langkah-langkah ini mesti diperjuangkan sungguh-sungguh dan berterusan.
Kita jangan mudah jemu atau mudah terpengaruh dengan pujukan nafsu liar kita. Dan janganlah kita harap untuk memperolehi hasilnya dalam jangka masa yang singkat. Sebab dalam pengalaman orang-orang yang telah menempuh jalan ini, masa paling singkat untuk memperolehi hati yang bersih (taraf kerohanian yang tinggi) melalui mujahada-tunnafsi ialah 10-20 tahun lebih. Masa selama itu, sesuailah dengan lama masa kita terbiar dalam maksiat.
Sejak dalam perut ibu lagi kita sudah menerima makanan yang tidak jelas halalnya. Bila lahir pula terdedah di tengah-tengah maksiat dan mungkar yang berbagai-bagai. Hati kita sudah gelap pekat dengan karat-karat dosa yang kita lakukan secara sedar atau tidak. Jadi memang patutlah kalau kita korbankan 10-20 tahun umur kita akan datang untuk pembersihan hati nurani kita. Mudah-mudahan penghujung umur kita dapat kita rasa kebersihan hati dan keselamatan nya dari mazmumah. Mudah-mudahan kita dapat mengadap Allah membawa hati yang selamat.
Firman Allah: Di hari itu (hari kita meninggal dunia) tidak berguna lagi harta dan anak kecuali mereka yang mengadap Allah membawa hati yang selamat. (Asy Syuara ‘: 88-89)
perbanyakkanlah mengingati ALLAH swt di dalam hati dengan zikrullah atau solat dengan ikhlas ,mudah mudahan hati kita dapat membezakan antara pekara yang hak dan batil di sisi ALLAH dan RASUL dan kita diberi kekuatan untuk taat dan patuh kepada NYA 
wallahhualam
inshaallah ... 

0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates