SAAT melakukan amalan muhasabah menilai amalan diri sendiri, perkara pertama penting untuk disoal kepada diri ialah mengenai kesucian amalan. Apakah sudah hadir niat yang ikhlas pada setiap amal dikerjakan? Layakkah amal ibadat itu dipersembahkan kepada-Nya? Apakah sudah sempurna kefahaman mengenai ikhlas?
Ikhlas membawa maksud tidak mencampurkan amal dengan niat meminta pujian manusia atau melakukan amal kerana takut dicela orang, hendak mencari nama, darjat, penghormatan, kerana inginkan perhiasan dunia dan pangkat yang tinggi.
Ramai orang yang beramal tersalah faham mengenai hakikat ikhlas. Mereka memilih untuk tidak beramal jika hati belum dapat membulatkan niat kerana Allah. Kata mereka yang jahil ini, “Buat apa beramal jika Allah akan tolak?”
Masalah utama yang akan muncul selepas timbul persoalan dangkal ini ialah orang ini sudah membuka ruang untuk syaitan duduk dalam hati dan meniupkan rasa was-was sehingga semua kebaikan tidak akan dibuat kerana takut tidak ikhlas.
Untuk menguatkan azam dalam beribadat, al-Fudhail bin Iyadh memberi petuanya: “Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riak sedangkan melakukan amalan kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah Allah menyelamatkan kamu daripada kedua-duanya.”
Maknanya dibuat juga amalan itu sambil berjuang memantapkan niat semata-mata kerana Allah. Sesungguhnya niat menjadi penyelamat terhadap rentetan amalan yang kita lakukan setiap hari.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan.” (Surah Al-Furqan, ayat 23)
Apabila membaca wahyu ini, terasa hati kita begitu sedih memandangkan amal yang menjadi debu itu dan tiada nilainya di sisi Allah. Mungkinkah sembahyang, puasa, sedekah, zakat, haji atau keelokan budi pekerti yang kita tonjolkan terhadap sesama insan tidak dinilai Allah.
Hakikatnya dalam beramal, seorang hamba dituntut untuk memenuhkan syarat tertentu. Syarat wajib dilakukan untuk mendapatkan darjat orang yang ikhlas di sisi Allah:
Membuka dua tingkap dalam hati. Tingkap ‘ikhlas’ kerana Allah dan tingkap ‘benar’ caranya mengikut sunnah Rasulullah SAW, bukannya amalan rekaan manusia atau amalan mengikut rasa hati sendiri.
Al-Fudhail bin Iyadh berkata lagi: “Sesungguhnya amal itu apabila dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak benar caranya, maka ia tertolak. Dan jika dilakukan secara benar tetapi tidak ikhlas ia tidak akan diterima juga. Kedua-duanya mesti ada iaitu ikhlas dan benar.”
Tatacara ibadah yang benar mestilah seratus peratus ikut cara Nabi SAW, bukan cara nenek moyang yang dipengaruhi budaya setempat, bukan cara syeikh yang suka menambah atau mengurang bahkan membuat sesuatu yang baru tidak pernah Rasulullah SAW amalkan.
Amal yang berkualiti. Bukan sekadar menunaikan kewajipan, tetapi memberi pengaruh ke atas seluruh tubuh badan, jiwa dan raga. Amalan sembahyang apabila dilakukan dengan berkualiti akan melahirkan sahsiah yang berdisiplin, rajin, jujur, amanah, dekat dengan Tuhan, jauh daripada maksiat, takut kepada akhirat dan berbekal untuk perjalanan ke alam barzakh.
Tetapi sembahyang yang hanya sekadar gerakan tanpa mempengaruhi apapun yang berada dalam jiwa dan raga orang itu maka sembahyangnya amat rendah kualitinya. Jika pun berpahala hanya Allah saja yang berhak menilai.
Kualiti sesuatu amal berkait rapat dengan pengaruh ditimbulkan dalam keperibadian seseorang. Tidak hairanlah jika ada orang yang sembahyang tetapi merampas harta saudaranya, berpuasa tetapi bercakap dusta dan menunaikan haji pun suka mengamuk sakan. Semua itu membuktikan rendahnya kualiti ibadah yang mereka kerjakan.
Beramal kerana mahu berbakti kepada Allah. Alangkah senangnya lidah melafazkan syukur kepada Allah, tetapi amalan dan perlakuan tidak menunjukkan sedemikian. Seorang hamba yang sudah melalui pelbagai rintangan untuk mendekati Allah jiwanya terlalu sensitif apabila menerima kenikmatan ataupun dilanda musibah. Kedua -dua keadaan ini tidak mempengaruhi sedikitpun kualiti amalannya di sisi Allah.
Ketika senang atau susah hatinya tetap dekat kepada Allah. Semua yang berasal daripada Allah baginya hanyalah nikmat belaka. Maka hanya rasa syukurlah yang menghiasi lidah dan hatinya. Jika begitu, dia tidak akan menyurutkan langkah ke belakang ketika susah. Ibadah dilakukan diiringi dengan kegembiraan, reda dan syukur kepada Allah.
Berhati-hati dengan rasa puas dan bangga. Amal boleh menyebabkan seseorang takbur dan sombong. Pandai menilai dan mengaibkan orang lain kerana kononnya ilmu dan amal yang dilakukannya lebih baik daripada orang lain. Selepas itu dia berasa berpuas hati dan tidak menemukan sebarang kecacatan dalam amalnya, berasa diri paling benar, paling tinggi imannya.
Maka lahirlah manusia yang terlalu yakin dengan kekuatan ilmu dan ibadatnya. Dia lupa siapakah sesungguhnya yang mencampakkan hidayah ke dalam hatinya, menggerakkan tubuh badannya untuk sujud, menuliskan catatan takdirnya hari ini, esok dan di penghujung hidupnya?
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam.” (Surah al-Takwir, ayat 29). Di sini kita boleh melihat belitan syaitan yang begitu halus merosakkan amal ibadat seorang hamba.
Allah berfirman lagi yang maksudnya: “Jika tidaklah kerana kurniaan Allah nescaya tidak seorang pun daripada kamu bersih selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah Al-Nuur, ayat 21)
Orang yang sudah berpuas hati dengan amalannya akan dijangkiti penyakit malas untuk melakukan pembaikan. Ia berasa semua baik, jadi tidak perlu menambah ilmu dan amal. Lama-kelamaan dia pun terheret oleh arus semasa yang semakin mencabar. Amal dan ilmunya itu nyata tidak mencukupi untuk melawan kejahatan syaitan dan hawa nafsunya sendiri.
Menghadirkan rasa takut tidak diterima amal. Ketika melakukan sesuatu kebaikan yang diniatkan kerana Allah, seseorang hendaklah mendampingi niat itu dengan rasa takut, sedih dan harap supaya Allah menerima amalannya.
Keempat-empat perasaan itu bagaikan cahaya yang menghiasi hatinya iaitu, ikhlas, takut, sedih dan harap kepada Allah. Allah berfirman yang maksudnya: “Dan orang yang memberikan apa yang sudah mereka berikan dengan hati takut, kerana (mereka mengetahui) mereka akan kembali kepada Tuhan mereka.” (Surah al-Mukminun, ayat 60)
Rasulullah SAW bersabda mengenai ayat ini yang maksudnya: “Mereka ini adalah orang yang berpuasa, solat dan bersedekah tetapi ia takut amalannya itu tidak diterima.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Untuk apa seseorang itu beramal? Tentu saja kerana dia beriman kepada hari kiamat dan pembalasan yang akan diberikan kepada seluruh makhluk. Demi mengingati hari pengauditan yang begitu ketat dan mahkamah Allah yang Maha Adil sewajarnya kita mengamati kembali bekalan apa yang sudah dipersiapkan untuk ke sana.
Amal pula mesti bermutu tinggi mengikut tertib dan sunnah Rasulullah SAW
0 comments:
Post a Comment