Thursday, 15 March 2012

0 Kata-kata Saidina Ali





1-Akal wanita pada kecantikannya dan kecantikan lelaki pada akalnya.

Daripada Ghiyats bin Ibrahim, daripada Jaafar As-Sodiq bin Muhammad, daripada ayahnya, daripada datuknya  berkata: Ali bin Abi Thalib berkata: Akal wanita pada kecantikannya, dan kecantikan lelaki pada akalnya.
Penjelasan: 
Kecantikan: Keelokan pada rupa tubuh dan akhlak.
Mungkin dia bermaksud: Tidak patut dilihat kepada akal wanita kerana ia sedikit. Sebaliknya cukuplah dengan kecantikannya.
Atau dia bermaksud: Akal wanita selalunya melazimi kecantikannya. 
Maksud yang pertama lebih zahir.

2-Daripada Jamil daripada Jaafar As-Sodiq bin Muhammad berkata: Amirul Mukminin Saidina Ali berkata:

Asal manusia ialah fikirannya. Akalnya ialah agamanya. Maruahnya di mana diletakkan dirinya. Hari-hari silih berganti. Manusia sama saja keturunannya daripada Adam.

Penjelasan:
Fikiran: Pati segala sesuatu dan akal. Yang dimaksudkan di sini ialah akal.
Maknanya: Kelebihan individu manusia pada kemuliaan asalnya ialah dengan akalnya, bukan dengan nasab keturunan dan harta.
Kemudian dia menerangkan bahawa akal yang menjadi punca kemuliaan itu muncul dengan memilih agama yang benar, dan dengan sempurnakan agamanya dengan iman yang sempurna.

Maruah ialah kemanusiaan. Maksudnya kemanusiaan seseorang dan kesempurnaannya dan kekurangannya dikenali bila dia meletakkan dirinya pada sesuatu perkara dan dia berpuas hati dengannya, berkenaan kesibukan, pekerjaan, kedudukan yang tinggi atau rendah.

3-Daripada Ibnu Nabatah daripada Ali bin Abu Thalib berkata: Jibril turun dari langit untuk menemui Adam (as) lalu berkata: Wahai Adam, aku diperintahkan untuk memberi kamu pilihan satu dari tiga perkara, maka pilihlah salah satu dan tinggalkan dua yang baki.
Maka Adam bertanya: Apakah tiga perkara itu, wahai Jibril? Dia menjawab: Akal, Malu dan Agama. Adam berkata: Aku pilih Akal. Lalu Jibril berkata kepada Malu dan Agama: Pergilah kamu berdua, dan dia memanggil Akal. Maka Malu dan Agama berkata: Wahai Jibril, kami diperintah supaya berada bersama Akal di mana saja ia berada.
Maka Jibril berkata: Lakukan kehendak kamu berdua. Lalu Jibril pun naik ke langit.

4-Wasiat Saidina Ali kepada anaknya, Hasan:

Wahai anakku! Tiada kemiskinan lebih bahaya dari kejahilan. Tiada kehilangan lebih bahaya dari kehilangan akal. Tiada bersendirian dan tiada kesepian lebih bahaya dari ‘Ujub. Tiada kehormatan seperti akhlak yang mulia. Tiada warak seperti menahan diri dari menceroboh perkara yang diharamkan oleh Allah. Tiada ibadat seperti berfikir pada ciptaan Allah a.w.j. 
Wahai anakku! Akal ialah teman sejati seseorang. Sifat penyayang ialah menterinya. Berlemah lembut ialah ayahnya. Sabar ialah tenteranya yang terbaik. 

5-Antara wasiatnya lagi:

Wahai anakku! Seorang yang berakal mestilah memerhatikan keadaan dirinya. Dia mestilah menjaga lidahnya dan mengenali ahli di zamannya.

Wahai anakku! Kemiskinan ialah satu bala’. Yang lebih teruk ialah sakit badan. Lebih teruk lagi ialah penyakit hati. Antara nikmat ialah harta yang banyak. Yang lebih utama dari itu ialah sihat badan. Lebih utama lagi ialah hati yang bertaqwa.

Wahai anakku! Mukmin membahagikan masanya kepada 3 masa: Pertama masa dia munajat kepada Tuhannya. Kedua masa dia menilai (muhasabah) dirinya. Ketiga masa dia menikmati perkara yang diingini oleh dirinya dan kelazatannya dalam perkara yang halal dan dipuji. 

Hendaklah Mukmin memerhatikan tiga perkara: Usaha untuk perbelanjaan hidup, langkah menuju Akhirat atau kelazatan dalam perkara yang tidak diharamkan.


0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates