Monday, 4 June 2012

1 Kejayaan bermula





Kejayaan bermula dari hati dan akal yang sentiasa hidup. Jika kita mahu berada di puncak kemuliaan, pastikan al-Quran dan al-Hadis menjadi destinasi persinggahan setiap hari. Tak kira siapakah diri kita dan apakah latar belakang kita yang berbeza-beza. Seorang petani atau peniaga, pendidik, pendakwah atau ahli politik, angkasawan atau ahli sains. Dekatilah al-Quran dan al-Hadis agar kekuatan diri lebih terserlah. Keduanya merupakan pusaka Rasulullah SAW yang menyediakan jawapan dan penyelesaian bagi setiap permasalahan umat hingga akhir zaman.
Seseorang yang meletakkan al-Quran dan al-Hadis sentiasa berada di hatinya pasti memiliki karakter yang unik. Dia bukan hanya mulia di sisi Allah SWT tetapi dikasihi manusia yang mengenalinya. Tiada percanggahan langsung antara perhubungannya dengan Allah SWT dan sesama manusia. Untuk apa sembahyang dan zakat, puasa dan haji jika diri suka berkhianat, merampas hak orang lain, menyakiti perasaan ibu bapa, tidak jujur dan amanah dalam bekerja, melupakan tanggungjawab dan mengabaikan hak orang lain. Semua itu berpunca dari salah faham terhadap al-Quran dan al-Hadis.
Generasi para sahabat Rasulullah SAW adalah bukti kesempurnaan peribadi yang hidup bersama al-Quran dan al-Hadis. Merekalah sebaik-baik generasi yang pernah di lahirkan di atas muka bumi ini. Ada beberapa karakter umat Islam yang berinteraksi dengan al-Quran dan al-Hadis, antaranya;
1. Menerima kerana tradisi semata-mata. Dahulu, semasa kecil diajar membaca Al-Quran sehingga khatam dan mendengar Al-Hadis sedikit sebanyak tanpa mengkaji lebih mendalam. Selepas habis Al-Quran dibaca, habis pula pembelajaran agama, sampai di situ tanpa ada usaha berterusan untuk menambah ilmu agama.
2. Menerima sekaligus secara membuta tuli tetapi menolak setiap kandungannya. Orang ini membaca Al-Quran dan Al-Hadis tetapi tidak yakin ajarannya dapat dipraktikkan dalam kehidupan. Dia sekadar mengharap pahala membaca sahaja, tidak lebih daripada itu.
3. Menyalahguna setiap idea Al-Quran dan Al-Hadis untuk kepentingan diri dengan cara memutar belit fakta dan mentafsir mengikut kepentingan nafsu. Mereka bukan hanya dari golongan kaum muslimin yang mempunyai kepentingan tertentu sahaja tetapi orang kafir orientalis juga telah mengeksploitasi idea Al-Quran dan Al-Hadis untuk menghancurkan Islam dari dalam. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud; ”Akan tetapi hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbaniyyin kerana kamu sentiasa mengajarkan kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” (Surah Ali ‘Imran: Ayat 79)
Ibnu Mas’ud RA pernah berkata: ”Seseorang yang mengaku mencintai Allah tetapi mencuaikan kalam Allah, sesungguhnya cintanya itu adalah dusta belaka.” Bagaimana pula halnya dengan mereka yang mendakwa mencintai Rasulullah SAW dan mengaku sebagai umatnya tetapi tiada masa untuk membaca hadisnya, memahami sunnahnya dan mengkaji ajarannya? Sungguh pendustaan yang amat nyata! Kasih sayang para sahabat Rasulullah SAW kepada Al-Quran dan Al-Hadis terbukti melahirkan kembali diri mereka menjadi manusia yang baru dengan pemikiran dan perasaan serta gerakan yang tersusun, terarah dan tunduk kepada ketetapan Allah dan Rasul-Nya.
Sesungguhnya akal dan jiwa kita dicipta sama dengan mereka. Hanya zaman yang membezakan dan tentunya cabaran yang kita hadapi lebih menggerunkan. Iman mereka sentiasa diawasi oleh Rasulullah SAW, bagaimana pula dengan iman kita? Jika mereka bersedih, Rasulullah SAW adalah tempat mengadu, apabila hilang arah mereka pulang ke sisi Baginda SAW untuk mendengar nasihatnya. Namun kita hari ini hendak mengadu dan bersendu kepada siapa? Jika iman semakin menipis, hilang punca dan arah tujuan, ke mana kita hendak mencari kekuatan? Rasulullah SAW tiada di sisi umatnya kini tetapi baginda telah meninggalkan kasih sayangnya dalam lembaran-lembaran Al-Quran dan Al-Hadis, untuk penawar keresahan jiwa kita, sebagai pengubat rindu kita kepada baginda SAW.
Hiduplah bersama Al-Quran dan Al-Hadis di tengah-tengah kesibukan manusia berlari meninggalkan keduanya. Tetaplah pada jalan ini, menghirup dari hembusan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sambil menatap dengan mata penuh keinsafan tiap-tiap lampiran kalam suci yang ditinggalkan oleh seorang Nabi. Berdialoglah dengan hati yang tunduk di tengah keegoan nafsu manusia yang serakah. Bebaskan akal dan pandanglah dunia ini dengan semangat meneroka dan menjelajah setiap cerunnya. Dengan mengikut panduan Al-Quran dan Al-Hadis, bukan bererti kita mengalah pada dunia kerana takutkan akhirat. Bahkan kuasailah dunia dan bersedialah untuk akhirat, itulah idea Al-Quran dan persepsi Al-Hadis.

1 comments:

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates