Sunday, 27 November 2011

1 marilah kita hijrah di awal muharam ini

Umat Islam seharusnya sedar bahawa Mekahlah tempat di mana Rasulullah SAW telah memulakan perjuangan untuk menyeru manusia supaya beriman kepada Allah SWT. 
Di Tanah Haram inilah Rasulullah SAW dan para sahabat telah berjuang bermati-matian untuk menegakkan agama Allah sehingga mereka ditangkap, diseksa, dipulau dan dibunuh
Mereka berhadapan dengan kafir Quraisy yang kejam di mana nyawa mereka telah menjadi taruhan, namun mereka sedikit pun tidak gentar dan segala penderitaan dihadapi dengan penuh keimanan. 
Akhirnya mereka keluar meninggalkan Mekah atas perintah Allah, menuju ke Yathrib (Madinah), sebuah Negara Baru yang akan menjadikan Islam sebagai deen dan nidzam (sistem), yang mengatur kehidupan mereka sepenuhnya. 
Inilah hakikat hijrah Nabi SAW dan para sahabat di mana mereka telah keluar dari sebuah Darul (Negara) al-Kufur menuju Darul al-Islam. 



Umat Islam semakin tidak mengerti Hakikat Hijrah Rasulullah SAW

Kini, setelah 1432 tahun Hijrah berlalu, sebahagian kaum Muslimin sudah tidak lagi mengerti akan hakikat hijrah Rasulullah SAW. 
Di Malaysia saban tahun, Hijrah disambut dengan perarakan di sana sini. Dan saban tahun juga kita menyaksikan adanya anugerah tokoh Ma’al Hijrah sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. 
Makna dan hakikat Hijrah sudah berubah sedemikian rupa sehingga umat Islam sudah tidak lagi memahami pengertiannya yang sebenarnya. 
Apa yang diperbesarkan oleh pemerintah dan ulama mereka adalah pengertian Hijrah dari aspek bahasa. Hijrah sering dimaknakan sebagai perpindahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik. 

Jika seseorang itu gagal dalam hidupnya dan kemudian berjaya, ini dikatakan Hijrah. Jika kehidupan seseorang itu miskin, kemudian berubah menjadi kaya, ini dikatakan Hijrah. Jika seseorang naik pangkat dalam pekerjaannya, naik jawatan atau gelaran dalam profesionnya atau jika ada seseorang yang berjaya mendidik kesemua anaknya hingga ke menara gading, maka kesemua ini dikatakan Hijrah. Malah golongan inilah yang layak untuk dicalonkan sebagai tokoh Ma’al Hijrah! 
Pendek kata, inilah makna Hijrah yang telah diindoktrinisasikan oleh pemerintah sekular ke dalam masyarakat, sehingga pengertian sebenar Hijrah (yakni) perpindahan Rasulullah dan para sahabat dari Darul Kufur menuju Darul Islam, sudah dihilangkan dari pemikiran umat. 

Sesungguhnya Darul Islam adalah Daulah Khilafah, dan ia sudah tidak lagi wujud di dunia ini semenjak kejatuhannya pada 28 Rejab 1342H yang lalu. 
Sejak itu hingga kini, umat Islam kesemuanya tinggal di Darul Kufur dan di Tanah Melayu diperintah oleh undang-undang kufur Lord Reid dan sistem warisan kufur British. 
Dan sesungguhnya perjuangan untuk menegakkan semula Negara Islam Global (Daulah Khilafah) ini amat terkait rapat dengan persoalan Hijrah. 
Justeru, hakikat dan hukum hijrah hendaklah difahami dengan benar agar bila tertegaknya Khilafah sedikit masa lagi, umat Islam di seluruh dunia tidak akan terkeliru dalam usaha mereka untuk berhijrah menuju Darul Islam (Khilafah) yang akan baru muncul ini. 

Hukum Berhijrah Berpindah dari Darul Kufur ke Darul Islam

Hukum mengenai Hijrah boleh dilihat dalam dua situasi yakni ke atas orang yang mampu dan yang tidak mampu:- 

(i) Bagi orang yang tidak mampu untuk melakukannya, Allah mengampunkan mereka daripada kewajipan hijrah dan orang tersebut tidak dituntut untuk melakukannya. Ini adalah kerana kelemahannya untuk melakukan hijrah, sama ada kerana sakit, atau dipaksa untuk menetap atau dhaif (lemah) seperti kaum wanita dan anak-anak dan yang seumpama mereka. Ini adalah seperti yang dinyatakan di akhir ayat tentang hijrah (An-Nisa’ ayat 97-99).

(ii) Bagi mereka yang mampu untuk berhijrah dan tidak mampu menzahirkan agamanya serta melaksanakan hukum-hakam Islam yang dituntut darinya (di darul kufur tersebut), maka hukum berhijrah ke atasnya adalah wajib, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat hijrah Surah an-Nisa’ ayat 97-99 di atas. Kalimat ikhbar (berita) dalam ayat ini bermakna perintah, iaitu merupakan sighah al-talab (bentuk tuntutan), seakan-akan Allah berfirman, hajiru fiha (berhijrahlah padanya). Tuntutan dalam ayat ini disertai dengan ta’kid (penekanan) dan disertai juga dengan ancaman yang besar jika meninggalkan hijrah sehingga ia menjadi thalab jazm (tuntutan yang tegas). Ini menunjukkan bahawa hijrah dalam keadaan ini hukumnya fardhu ke atas kaum Muslimin, dan berdosa apabila tidak berhijrah. 

(iii) Adapun bagi orang yang mampu untuk berhijrah dan dalam masa yang sama dia masih mampu menzahirkan agamanya serta melaksanakan hukum syarak yang dituntut darinya (di darul kufur tersebut), maka hukum hijrah dalam keadaan seperti ini adalah sunat dan bukan fardhu. Hukum sunat ini diambil dari hakikat bahawa Rasulullah SAW telah mendorong kaum Muslimin agar berhijrah dari Mekah sebelum terjadinya penaklukan, ketika ia masih lagi berstatus Negeri Kufur. Banyak ayat yang secara tegas menyatakan perkara tersebut.

Allah SWT berfirman, 
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Surah al-Baqarah (2):218].

Allah juga berfirman, 
“Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka.” [Surah al-Anfal (8):82]. [Lihat juga at-Taubah (9):20, dan al-Anfal (8):75].

Kesemua ayat di atas dengan jelas memerintahkan kaum Muslimin agar berhijrah. Namun begitu, hijrah menjadi tidak wajib kerana Rasulullah telah mendiamkan orang Islam yang tetap tinggal di Mekah. Telah diriwayatkan bahawa ketika Nu‘aim al-Nuhham hendak berhijrah, beliau didatangi oleh kaumnya, Bani ‘Adi, dan kemudian mereka berkata kepadanya, 

“Tetaplah tinggal bersama kami, dan kamu bebas memeluk agamamu. Kami juga akan melindungi kamu daripada orang-orang yang hendak menyakiti kamu. Kami akan memenuhi (keperluan) kamu, selama kamu memenuhi (keperluan) kami.” Beliau kemudiannya tetap tinggal di Mekah menguruskan anak-anak yatim Bani ‘Adi dan janda-janda mereka untuk beberapa masa, setelah itu barulah beliau berhijrah. Rasulullah SAW bersabda kepadanya, “Kaum kamu lebih baik terhadapmu berbanding kaumku terhadapku. Kaumku telah menghalau aku dan hendak membunuhku, sedangkan kaummu menjaga dan melindungimu.’ Nu’aim menjawab, ‘Wahai Rasulullah, tetapi kaummu mengusirmu kepada mentaati Allah dan memerangi musuhNya, sedangkan kaumku menahan aku dari berhijrah dan mentaati Allah.”

(iv) Bagi orang yang mampu untuk menzahirkan agamanya serta mampu melaksanakan hukum syarak yang dituntut darinya dan sekiranya dia mempunyai kemampuan untuk mengubah Darul Kufur yang didiaminya menjadi Darul Islam, seterusnya menggabungkannya ke dalam Daulah Islam (sama ada mempunyai kemampuan kerana kekuatannya sendiri ataupun kerana bergabung dalam kumpulan kaum Muslimin yang ada di darul kufur tersebut, atau dengan bekerjasama dengan Daulah Islam, atau dengan sarana lainnya) maka dia wajib berusaha untuk menjadikan (menukar) darul kufur tadi menjadi Darul Islam, dan haram baginya pada ketika itu untuk berhijrah dari sana. Ini berdasarkan dalil bahawa adalah wajib bagi kaum Muslimin (yang diperintah oleh orang kafir atau oleh hukum-hukum kufur) untuk mendakwah penduduknya kepada Islam.

Malah dalam keadaan di mana usaha dakwah telah dijalankan, namun pemerintah di negeri tersebut masih berdegil menerapkan hukum kufur, maka adalah menjadi kewajiban bagi kaum Muslimin di negeri tersebut untuk memerangi penguasanya sehingga mereka memerintah dengan hukum Islam.

Namun perlu diingat di sini bahawa hukum ini hanya berlaku ketika Daulah Khilafah sudahpun wujud dan Muslim tersebut masih tinggal di Darul Kufur di mana sistem kufur dilaksanakan ke atasnya dan dia berkemampuan untuk merubahnya.

Dalam keadaan seperti ini, hijrahnya seseorang dari Darul Kufur yang menerapkan hukum kufur dianggap sebagai melarikan diri dari jihad di satu tempat yang diwajibkan kepadanya, ataupun melarikan diri daripada memerangi orang yang memerintah dengan kekufuran yang nyata. Kedua-duanya adalah merupakan dosa besar di sisi Allah. Oleh kerana itu, tidak dibenarkan bagi orang yang berkemampuan untuk mengubah Darul Kufur kepada Darul Islam, untuk berhijrah dari sana, selagi dia mempunyai kemampuan untuk mengubahnya menjadi Darul Islam. 

Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Kita hendaklah sedar bahawa negeri-negeri yang kita berada di dalamnya saat ini adalah Darul Kufur. Berdasarkan nas yang jelas, kita wajib menukarnya kepada Darul Islam yakni menukarnya menjadi Daulah Khilafah melalui jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Hukum hijrah yang diterangkan oleh Allah dan RasulNya tidak akan dapat dirasai selagi mana Daulah Khilafah masih belum berdiri. Bagaimanapun, kita hendaklah bersedia dan hendaklah memahami hukum hijrah dengan benar kerana dengan izin Allah, Daulah Khilafah yang kita dambakan ini akan segera terwujud dalam masa terdekat.

Ayuhlah wahai saudaraku semua, kita berhijrah dengan menukar Darul Kufur yang kita diami ini kepada Darul Islam (Daulah Khilafah) kerana hanya dengan cara inilah kita akan dapat menikmati kemanisan iman dan merasai hakikat sebenar hijrah sebagaimana yang telah dirasai oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya dengan penuh kemuliaan dan keredhaan dari Allah Azza wa Jalla.

1 comments:

  1. Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kelompok ini perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu

    ReplyDelete

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates