Monday, 29 August 2011

0 mahukan rahmat dan redha ALLAH swt ?






Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T:
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan
bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku
telah redha Islam itu menjadi agamamu.”
 - Surah al-Maaidah: 3.
Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala
permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan
isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan
malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke
tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga
telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari
kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita
untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam
mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita
semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan
yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat
ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang
bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah
amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena
menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.
• Bertakbir.
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu
amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika
terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak
hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:
“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa
(sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir)
kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu
bersyukur.” 
– Surah al-Baqarah:185.
Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan
dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri.
Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:
“Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu
dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang
ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat
Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani
Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali
al-Halabi al-Atsari, ms. 32
Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar
Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat
solat.
• Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu
sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil
Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan
amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah
sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h
yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:
“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian
mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’
(Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari,
al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau
hadis ini berstatus hasan.
• Meneruskan qiamullail.
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan
malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan
(solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari
berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak
bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan
qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat
mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan
mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.
• Mandi pada pagi hari raya.
Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu
sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali
bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan
mandi setiap hari? Beliau menjawab:
“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi
pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis
riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.
• Makan sebelum solat Aidilfitri.
Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan
solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa
dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:
“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya
adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa
sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah
Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” - Rujuk Fath
al-Bari, jil. 5, ms. 272.
Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang
ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu
menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri.
Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik
daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi
(tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke
tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.”
Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa
Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.”
 - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.
Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut
dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu.
Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum
air.
• Memakai pakaian yang indah.
Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:
“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya
pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha
dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis
perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai
wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil.
1, ms. 327.
Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang
terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang
bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik
perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie
r.h menambah:
“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian
paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka
juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk
Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.
Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta
paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat
hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian
tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Mana-mana wanita yang memakai
wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat
menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.”
 - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.
Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya
berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta
kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang
keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak
sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang
kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.
• Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:
“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.
Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana
tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan
kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.
. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali
dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:
“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:
“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan
pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini
dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui
kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan
barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan
pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu.
Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di
jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang
ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid
atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat.
Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan
kesalahan-kesalahannya.” - Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim
al-Jauziyyah, ms. 49.
• Tempat perlaksanaan solat hari raya.
Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla
(tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua
hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia
melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang
kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid?
Abu Said al-Khudri r.a berkata:
“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha,
Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama
yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa
ada sebarang solat sunat).”
 - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang
mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum
muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka)
dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan
berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak.
Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi,
dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang
imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan
penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa
bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada
mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” –
Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin
Hasan, ms. 394.
• Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah
perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat
Islam. Ibn Abbas r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w telah keluar pada
hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya
sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya
dan sesudahnya.”
 - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.
Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:
“Pada hari raya Aidilfitri dan
Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama
yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan
mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah
makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan
memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” 
- Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari
raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang
tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan
meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah
selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh
itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa
yang ingin pergi, dia boleh beredar.”
 - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.
• Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri
Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah
sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada
Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan
kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan
suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya
Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan
ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan
sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju
baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah
sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah,
cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli
keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua
bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari
tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia
dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h
berkata:
“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan
agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna),
semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari
raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan
hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.
Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah
al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan
Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:
“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah
sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka
bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu.
Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu
memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa
jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan
kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan
Aidilfitri.” 
- Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.
• Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan
Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal,
seolah-olah dia telah berpuasa setahun.”
 - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.
Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang
paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah
hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal)
sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan
pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas
memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal,
pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara
berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang
melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula
dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari
mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan
puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa
sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud
hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa
setahun.
PENUTUP
Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan
ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri
menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan
bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri
yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan
dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates