Thursday, 29 September 2011

0 kisah hanya berulang semula





Nama ‘Aad’ sudah tidak asing lagi dalam sejarah Nabi Hud a.s. la merupakan suatu suku yang tertua sesudah kaum Nabi Nuh, serta terkenal dengan kekuatan jasmani dalam bentuk tubuh badan yang besar dan gagah. Dengan berkat Allah, kehidupan mereka menjadi makmur, bahagia setelah dikurniakan Allah tanah yang subur memudahkan mereka berkebun dan bercucuk tanam bagi sumber makanan seharian.


Sepertimana berlaku terhadap kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Hud iaitu suku ‘Aad’ juga mempunyai cara penghidupan yang menyembah berhala-berhala dan tidak mengenal Allah. Mereka hidup di da­lam kesesatan di mana iblis mengambil kesempatan menambahkan kacau bilau menghasut manusia melakukan kemungkaran.

Di antara sesama manusia su­dah tidak ada belas kasihan lagi. Perbezaan darjat dan keturunan membuatkan yang kuat menindas yang lemah. Apa yang dipandang hanyalah kekayaan dan kekuatan lahiriah semata-mata. Mereka mencipta patung-patung berhala lalu dinamakan dengan nama ‘Shamud’ dan ‘Alhattar’ dan inilah men­jadi sembahan kerana menurut kepercayaan mereka tuhan-tuhan itu yang memberikan segala nikmat kehidupan, kemewahan, kebaikan dan boleh juga mendatangkan kecelakaan sekiranya manusia engkar kepadanya.

Akibat dari itu mereka tidak henti-henti bersujud serta bersyukur dan memohon perlindungan daripada kedua-dua jaatung berhala itu. Demikianlah gambaran masyarakat suku ‘Aad’ di kala itu.

Sesungguhnya Allah tidak mahu melihat hamba-hambaNya terpesong begitu jauh dari akidah yang sebenar. Lalu kerana telah menjadi sunatullah sejak munculnya Nabi Allah Adam ke bumi ini dari masa ke semasa, jika kedapatan sahaja hamba-hambaNya yang sudah jauh menyimpang dari akidah yang benar yang dibawa oleh Rasul-rasul dan Nabi-nabiNya, maka tatkala itu Allah menghantarkan seorang Nabi atau Rasul untuk menyegarkan kembali ajaran-ajaran suci Nabi-nabi sebelumnya.

Nabi Hud a.s. yang merupakan pilihan Allah s.w.t. Beliau adalah terdiri dari keluarga yang terhormat, dipandang kedudukannya ser­ta terpengaruh di antara suku-suku di zaman itu. Beliau terkenal dengan tingkah laku yang bersopan, baik budi pekerti, lurus tutur-kata, baik pergaulannya serta bijaksana dan mempunyai pemikiran yang amat luas. Nabi Hud mula menyebarkan dakwahnya terhadap kaumnya ia­itu suku ‘Aad’. Nabi Hud memberitahu akan kewujudan Allah serta kekuasaan memberi nikmat kehi­dupan yang berbagai-bagai untuk mereka kecapi bersama. Oleh ke­rana itu kita sebagai hamba-Nya wajib menyembah Allah serta menyatakan rasa kesyukuran kepadaNya. Kita manusia adalah makhluk-Nya yang juga tidak wajib merendahkan diri bersujud menyembah batu-batu berhala yang tidak kekal itu.

Nabi Hud menyeru agar kaumnya sedar dan bertaubat lantas kembali beriman kepada Allah. Tinggalkanlah perbuatan yang terkutuk itu dan hiduplah di dalam keadaan yang tenteram serta berbaik-baik sesama manusia. Dan seandainya kamu enggan mematuhi kepada apa yang diperintahkan oleh Allah, tunggulah balasan-Nya sebagaimana terjadi ke atas kaum Nuh yang mati binasa dengan air bah akibat keangkuhan mereka menolak seruan dakwah yang dilaungkan. Tetapi bagi suku ‘Aad’, mereka tetap berdegil menolak kebenaran yang diajarkan oleh Nabi Hud. Ke­pada mereka seruan itu tidak dapat difahami dan diterima oleh akal mereka kerana ianya adalah perkara baru yang sebelum ini ti­dak pernah didengari. Segalanya membuat mereka enggan menerimanya dengan hati terbuka malah mencaci dengan berbagai ejekan.

Berkata kaum ‘Aad’ kepada Na­bi Hud: “Wahai Hud, kami telah la­ma hidup dengan cara menyembah berhala-berhala ini bahkan nenek-moyang kami juga mengamalkan perbuatan ini. Bagaimana boleh kami meninggalkannya dan beralih pula kepada Tuhan engkau yang tidak dapat kami lihat dan Tuhan menurut katamu tidak bersekutu. Segala-galanya ini adalah karut dan kami tetap tidak akan berubah.”

“Wahai kaumku.” Jawab Nabi Hud, “Sesungguhnya Tuhan yang aku serukan kepada kamu untuk menyembah-Nya, walaupun kamu tidak dapat menjangkau dengan pancainderamu, namun kamu da­pat melihat dan merasakan kewujudan-Nya apabila kamu meli­hat alam semesta ini yang penuh dengan bermacam-macam kejadian seperti gunung, bulan, bintang, tumbuhan serta binatang-binatang yang kesemuanya boleh memberi faedah kepada kamu sekalian agar hidup di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan.”

“Sembahlah Allah yang Maha Esa yang tiada bersekutu, tidak beranak dan diperanakkan. Dia Maha Mengetahui setiap perbuatanmu, setiap gerak langkah hati­mu, setiap denyut jantung dan jalan fikiranmu. Jauhkanlah diri ka­mu bertuhankan patung-patung berhala yang tak bermakna yang kamu ukir dengan tangan kamu sendiri. Takutlah kamu kepada Al­lah serta ingatlah bahawa balasanNya amat dahsyat bagi mereka yang engkar.”

Mendengarkan kata-kata Nabi Hud itu kaumnya menjadi hairan dan salah seorang daripada mere­ka berkata pula: “Wahai Hud. Apa yang membuatkan engkau berpendapat demikian menghina tuhan-tuhan kami yang telah menjadi pegangan kami sejak dahulu kala lagi. Engkau mengaku bahawa eng­kau adalah utusan Tuhanmu un­tuk membawa kami kepada agama yang lurus dan benar itu. Apakah kelebihanmu sehingga dipilih sebagai Rasul-Nya sedangkan eng­kau tetap makan, minum, tidur dan hidup bercucuk tanam seperti ka­mi Apa bezanya antara engkau dengan seseorang daripada kami. Sungguh engkau ini seorang pendusta besar yang hanya berkehendakkan pengaruh untuk mendapat kekayaan.”

“Wahai kaumku,” jawab Nabi Hud, “Aku bukanlah seorang pendusta dan fikiranku tetap waras. Kamu kenal aku sejak lama aku hi­dup bersama-sama kamu sekalian, bahawa aku tidak pernah berkata bohong dan sepanjang pergaulanku dengan kamu, tidak pernah terlihat pada diriku tanda-tanda ti­dak kesempurnaan akal fikiranku. Aku adalah utusan Allah yang diamanatkan supaya memimpin ka­mu ke jalan yang benar dan diredhai Allah. Janganlah kamu mudah terpengaruh dengan bisikan iblis yang hanya ingin menyesatkan ka­mu. Maka percayalah kepadaku, berimanlah dan bersujudlah kepa­da Allah, Tuhan seru sekalian alam, Tuhan yang menghidupkan dan mematikan kamu, Tuhan yang berkuasa atas segala-galanya. Pohonkanlah keampunan daripada- Nya atas pekerjaan sesatmu itu. Aku hanya menyampaikan apa yang Allah perintahkan dan peringatkan akan akibat yang akan menimpa diri kamu jika kamu te­tap mengengkari kebenaran dakwahku.”

Kaum ‘Aad’ dengan megah menjawab: “Kami bertambah yakin dan tidak ragu lagi bahawa eng­kau ini akan mendapat kutukan tuhan-tuhan kami. Engkau telah mengucapkan kata-kata yang tidak masuk akal. Apakah azab seksa yang sentiasa engkau takut-takutkan kami dan mengancam kami? Ketahuilah bahawa kami tidak akan menyerah dan mengikuti ajaranmu dan kami tidak takut akan balasan yang engkau bayangkan bahkan kami menentang kepadamu agar datangkanlah apa yang engkau janjikan jika engkau se­orang Rasul dan bukan seorang pendusta.”

macam biasa sila klik pada nama blog untuk post baru di blog wartamaya
jangan klik pada tajuk post kerana terdapat masalah trafik mengemaskini post baru

0 comments:

Post a Comment

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Israa' 17:44)

aku adalah sepertimana sangkaan hambaku dan aku bersama denganya ketika ia mengingati aku .jika ia ingat kepada aku di dalam hatinya ,aku ingat kepadanya di dalam hati ku .dan jika ia ingat kepada ku di khalayak ramai ,nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik .dan jika ia mendekati kepada ku sejengkal ,aku pun mendekatinya sehasta .dan jika ia mendekati ku sehasta ,nescaya aku mendekatinya sedepa .dan jika ia datang kepada ku berjalan ,maka aku datang kepadanya sambil berlari
(hadis qudsi riwayat syaikhan dan tarmizi dari abu hurairah ra)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Ar-Ra'd 13:28)

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).(Al-Baqarah 2:152)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts

 

mencari kebenaran Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates